Apakah itu suatu angan-angan, atau suatu andaian, atau apa? Melahirkan 10 orang penulis teater.
Kalau melahirkan 10 orang penulis skrip drama televisyen, itu suatu kemungkinan, dan boleh dijadikan satu perancangan. Tetapi melahirkan 10 orang penulis teater – bolehkah dijadikan suatu perancangan?
Saya katakan bahawa melahirkan 10 penulis skrip drama televisyen itu suatu kemungkinan dan boleh dijadikan satu perancangan, sebab apa? Sebab drama televisyen setiap hari ada.
Malah setiap hari ditayangkan beberapa buah drama di beberapa saluran televisyen. Makanya mereka memerlukan kepada skrip. Maksudnya penulis skrip drama televisyen adalah diperlukan oleh pasaran.
Sedangkan teater tidak menentu bila adanya. Kadang-kadang sampai beberapa bulan tidak ada pementasan. Ertinya ia seperti tidak diperlukan oleh pasaran. Ada atau tidak adanya seperti tidak dipedulikan pun.
Ada Istana Budaya yang sepatutnya memajukan pementasan teater telah diselewengkan menjadi pentas untuk konsert muzika.
Tetapi peliknya teater dalam bahasa Inggeris boleh pula selalu diadakan. Hampir setiap malam. Ertinya peminat teater itu ada, bukannya tak ada. Pasaran teater itu ada. Yang tidak ada ialah pengurusannya atau kepeduliannya di pihak kerajaan.
Tetapi tak mengapalah. Itu bukan cerita kita hari ini. Cerita kita hari ini ialah hendak melahirkan 10 orang penulis teater dalam masa 14 minggu.
Ertinya dalam masa 14 minggu kita akan menghasilkan sekurang-kurangnya 10 buah skrip teater yang baru, untuk dipentaskan. (Tak kiralah bila pun ia akan dipentaskan).
Ya, ini suatu perancangan. Kebetulan ada sekumpulan pelajar yang berminat. Lebih daripada 10 orang.
Mereka semuanya belum ada pengalaman menulis skrip drama/teater. Tapi kata mereka, mereka berminat. Saya bertemu dengan mereka seminggu sekali sahaja, untuk membantu mereka menulis.
Bukannya mengajar mereka mengenai teknik-teknik bagaimana hendak menulis skrip teater yang baik. Tidak, saya tidak mengajar itu, tapi saya berjanji akan membantu mereka, dengan syarat mereka mahu menulis.
Alhamdulillah, mereka sudah mula menulis. Kami sudah bertemu enam kali. Mula-mula mereka menulis “peristiwa yang tak dapat dilupakan”.
Semua orang ada peristiwa yang tak dapat dilupakan dalam hidup masing-masing. Maka tidak susahlah bagi mereka untuk menulisnya. Dan ada di antaranya yang cukup menarik.
Kemudian mereka menulis pula idea yang akan dikembangkan menjadi skrip teater. Ada di antara mereka menuliskan semula dengan lebih kemas lagi peristiwa yang sama seperti yang telah mereka tulis dalam “peristiwa yang tak dapat dilupakan”; dan ada juga yang memilih peristiwa atau idea lain walaupun idea dalam “peristiwa yang tak dapat dilupakan”nya telah dikatakan sebagai menarik untuk dikembangkan menjadi skrip.
Skrip bermula daripada idea. Tak kiralah apa pun idea itu. Penulis akan membina skripnya di atas asas idea itu.
Maka penulis mestilah mengetahui betul-betul, atau sepenuhnya, secara spesifik, mendalam dan terperinci, mengenai perkara atau perkara-perkara di sekitar idea yang dipilihnya itu. Ini perlu untuk memudahkan dialog dicipta. Ataupun mungkin tidak.
Maksudnya penulis boleh juga tidak mengetahui sepenuhnya mengenai perkara yang dipilihnya untuk ditulis itu, tetapi dia memilih juga idea itu kerana dia percaya dalam proses menulisnya nanti dia akan mengetahui atau menyingkap sedikit demi sedikit apa-apa yang perlu diketahuinya untuk pengisian skrip yang ditulisnya itu.
Ada pelajar yang tertarik dengan suatu idea walaupun dia tidak mengetahui sepenuhnya mengenai perkara yang akan ditulisnya itu.
Dia sedar dia perlu membuat kajian mengenai perkara itu terlebih dahulu. Kita akan tengok bagaimana perkembangannya nanti.
Tidak mustahil juga ada yang mengalami kekosongan, atau kebuntuan, atau kekeliruan sehingga tak dapat menulis apa-apa idea yang akan mereka perkembangkan jadi skrip. Itu pun proses kreativiti juga.
Seseorang perlu mengalami atau melalui proses itu. Dan proses kreativiti bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa.
Menarik juga di peringkat ini. Kami berbincang mengenai setiap idea yang dipilih oleh setiap pelajar. Dan perbincangan itu menyentuh pelbagai hal, pelbagai perkara, pelbagai ilmu, dalam selok-belok kehidupan manusia.
Seperti berbincang mengenai kehidupan itu sendiri. Saya dapati perbincangan ini membantu mereka mengenali dan menilai ilmu yang mereka miliki, samada mencukupi atau tidak bagi meneruskan kerja penulisan berkenaan.
Pada minggu keenam ramai yang tidak hadir, kerana mengambil kesempatan menyambung cuti hari raya.
Ada seorang pelajar yang nampaknya sudah memutuskan sejak minggu awal lagi akan perkara/peristiwa yang hendak digarapnya menjadi skrip itu. Dan dia tetap dengan idea itu. Dan dia pun nampaknya agak rajin menulis.
Secara teknikalnya memang dia sangat lemah. Seolah-olah yang menjadi rujukan dalam gambaran di kepalanya ialah drama televisyen, dengan adegan-adegan yang pendek-pendek dan latar set yang kurang sesuai untuk pentas, seperti sekejap dalam bilik tidur dan sekejap berbual di beranda rumah sambil memandang ke langit dan yang seumpama itu.
Cara si isteri itu hendak membunuh diri pun misalnya, dengan cara mencucuk-cucukkan bilah lidi ke pergelangan tangannya, (alat-alat yang tajam di dapur semuanya sudah disembunyikan daripada dia), itu kurang sesuai untuk teater.
Ia tidak dapat memberikan kesan yang maksimum kepada penonton. Kalau untuk drama televisyen mungkin sesuai, kerana ia boleh ditunjuk secara dekat (close-up). Itu contohnya.
Untuk skrip teater seharusnya seseorang penulis itu sewaktu menulis dia ada kesedaran mengenai pentas, dan dia menggambarkan peristiwa atau aksi dan dialognya itu dihidupkan di atas pentas, di hadapan penonton.
Ada penonton yang menonton dramanya itu. Maka dia harus menyampaikan sesuatu yang menarik untuk ditonton oleh penonton.
Kesedaran ini seharusnya ada pada penulis teater, namun dia tidak seharusnya terikat atau terkongkong dengan kesedarannya itu.
Asalkan dia tahu, dia boleh saja menuliskan apa-apa pun yang mungkin melanggar norma-norma teater yang biasa.
Tetapi penting dia mempunyai pengetahuan mengenai pentas itu, walau bagaimanapun bentuknya pentas itu, dan walaupun dia tidak tahu bagaimana ideanya itu akan/mungkin dipentaskan.
Ruang pentas memang terhad. Ruang waktu pementasan juga terhad, kerana ia ada penonton. Maka tidaklah semua peristiwa yang berlaku dalam dunia ini boleh/sesuai diangkat ke atas pentas.
Penulis perlu memilih peristiwa yang sesuai. Pemilihan peristiwa ini kadang-kadang berlaku tanpa kita sedari pun.
Tetapi di kalangan pelajar yang tidak mempunyai pengalaman teater dan banyak dipengaruhi oleh drama televisyen, dan oleh kerana mereka belum mempunyai kesedaran teater, faktor pemilihan peristiwa ini menjadi perlu kepada mereka.
Langkah seterusnya ialah memilih aksi. Dalam contoh di atas tadi misalnya, adegan-adegan yang pendek-pendek sekejap di ruang tamu, sekejap di bilik tidur, sekejap di beranda rumah, sekejap di bilik tidur lagi dan sekejap di dapur pula – semuanya berlegar pada perbualan dan pertengkaran antara ahli-ahli keluarga di rumah tersebut.
Yang demikian itu seperti kurang sesuai. Maka penulis perlu membuat pemilihan aksi, yakni memilih aksi atau aksi-aksi yang paling berkesan untuk menyatakan perkara-perkara yang hendak dinyatakan melalui adegan-adegan yang banyak dan sekejap-sekejap tadi itu. Kita harus fokuskan aliran fikiran dan imaginasi.
Dan langkah seterusnya ialah membina/mencipta dan memilih dialog. Kita akan bincang perkara ini dalam kesempatan yang lain.
Sementara itu fikiran saya masih berlegar-legar di sekitar kemungkinan untuk melahirkan 10 orang penulis teater dalam tempoh kursus selama 14 minggu itu. Apakah masyarakat Malaysia memerlukan penulis teater seramai itu?
Untuk apakah kita melahirkan ramai penulis teater kalau karya-karya teater itu tidak dapat dipentaskan?
Yang sebenarnya 10 orang penulis teater baru tidaklah ramai, kerana sekarang pun kita hanya mempunyai berapa orang penulis sahaja. Boleh dihitung dengan jari, kata orang.
Soal untuk apa skrip teater ditulis kalau skrip itu tak dapat dipentaskan – itu kita akan bincang semula bila-bila ada kesempatan yang sesuai nanti. – 21 Oktober, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments