Mereka datang dari Jerman, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Sepanyol, Singapura, Indonesia, Thailand, China, Filipina dan Myanmar. Empat orang dari sebuah negara (Jerman) dan ada yang 3 orang (Jepun). Lelaki dan perempuan. Semuanya 18 orang.
Kebanyakan mereka pelukis. Ada juga penari, juru gambar, kurator, pengukir, penulis, penyelidik budaya, dan aktivis sosio-budaya.
Ditambah dengan 7 orang seniman dari Malaysia dalam rombongan itu – jadi 25 orang. (Dan ditambah lagi beberapa orang dari pihak penganjur dan pembantu untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan, termasuk juga daripada Seniman Paksi Rakyat).
Mereka datang dan berkampung di sebuah kampung Melayu di pinggir kota Kuala Lumpur. Lostgens’ Contemporary Art Space selaku pihak penganjur yang berpusat di Jalan Sultan, Kuala Lumpur, pimpinan Yeoh Lian Heng membawa mereka ke situ.
Sebelum berkampung 6 hari di Kampung Banda Dalam (KBD) (19-25 November), terlebih dahulu mereka bermukim di Jalan Sultan, juga selama 6 hari (13-19 November).
Mereka menamakan projek ini “TransActions in the Field”.
Tetapi khusus untuk KBD, pihak Madrasah Tarbiyah, Majlis Perpaduan dan Pembangunan Kampung Banda Dalam (PADU) dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang menjadi tuan rumah mereka di sini, menamakannya “Seniman Dunia Jelajah Kg Banda Dalam”.
Ini peristiwa besar bagi KBD dan juga bagi Paksi. Menjadi tuan rumah kepada satu rombongan 25 orang seniman pelbagai lapangan, khasnya seniman antarabangsa dari 11 buah negara luar.
Mereka datang berkampung di KBD dan mengadakan pelbagai aktiviti bersama dengan orang kampung, di samping aktiviti seni bersama dengan Paksi.
Apa sebenarnya yang mereka buat?
Saya tidak tahu apa yang mereka buat sewaktu bermukim 6 hari di Jalan Sultan, tetapi saya tahu apa yang mereka buat di KBD, sejak tiba di situ petang 19 November hinggalah mereka meninggalkan kampung itu, pagi 25 November.
Pertama, mereka diraikan dengan upacara menyambut tetamu, iaitu jamuan makan malam yang disediakan seorang penduduk kampung, Shaharudin Nacha, di rumahnya.
Tentunyalah secara kebiasaan orang Melayu kampung. Ramai juga penduduk kampung yang hadir meraikan.
Maka malam itu juga mereka sudah berkenalan mesra dengan budaya warisan Melayu, khasnya berkaitan dengan makan dan minum.
Esoknya, jadual pertama mereka, melawat suatu perusahaan membuat batik di kampung berkembar dengan KBD, Kampung Padang Balang.
Mereka bergerak menggunakan basikal. Setiap mereka disediakan sebuah basikal untuk kegunaan selama di KBD.
Selain perusahaan membuat batik, di hari yang lain mereka juga melawat rumah tradisional Melayu yang unik dan cantik yang terdapat di KBD, melihat pembuatan songkok, pembuatan baju untuk pengantin, perusahaan ukiran kayu, aktiviti silat dan juga belajar bermain kompang dengan anak muda Madrasah Tarbiyah.
Semua itu dilakukan dalam masa 5 hari mereka di KBD. (Hari terakhir diisi dengan lawatan ke Muzium Orang Asli, ke Sungai Alang Sedayu dan ke Batu Cave).
Selain itu terdapat beberapa kesempatan mereka berinteraksi secara langsung dengan orang kampung, seperti di pasar malam, di kedai makan dan sebagainya.
Pada hari ke-3 misalnya, mereka membuat lukisan mural di dinding sebuah kedai kaca dan aluminium di KBD. Ada juga anak kampung yang ikut melukis bersama mereka.
Bagi imam muda surau Madrasah Tarbiyah, Khairul Salleh Ishak, 1 pengalaman istimewa yang sangat mengujakannya.
Ini berlaku di Restoran Adi, tempat makan bagi para seniman itu selama mereka di KBD. Hari itu tukang masak Restoran Adi berehat, kerana memberi laluan untuk para seniman memasak pelbagai jenis masakan dari negara yang terlibat.
“Bayangkan saya tinggal di KBD ini, hari itu saya dapat merasai kira-kira 10 jenis masakan dari 10 negara di dunia, yang dimasak seniman dari seluruh dunia di sini.” Ucapnya pada majlis perpisahan di malam terakhir program, menyimpan semacam rasa bangga kampungnya didatangi seniman dunia.
Pada hari ke-2 mereka di KBD pula kebetulan hari Jumaat, iaitu hari untuk program bulanan Paksi di kampung tersebut, iaitu program Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS).
Program ini dibuat di kawasan surau Madrasah Tarbiyah, yang juga dikenali dengan Madrasah Seni.
Memang Paksi sudah bersetuju dengan Lostgens’ supaya BPMS November akan diisi dengan persembahan daripada rombongan 25 orang seniman dunia itu.
Maka petang itu ialah sesi mereka bersama dengan Paksi, di rumah penginapan mereka Homestay Alfafa. Kami berbicara sekitar pengalaman seni, sambil ada yang membuat persediaan untuk persembahan yang bakal dilakukan malam nanti.
Malam itu memang suatu “happening” luar biasa buat KBD. BPMS yang paling meriah sepanjang ia diadakan setiap bulan sejak Januari 2015.
Setiap peserta menunjukkan keistimewaan seni persembahan negara mereka, berdasarkan kebolehan dan kemampuan mereka.
Beberapa tarian tradisional dan tarian rakyat dari Thailand, Jepun dan Sarawak turut dipersembahkan.
Saya terasa sedikit “gayat” pada malam itu sebenarnya, kerana suasananya yang agak melampaui “adab” di kawasan sebuah surau itu.
Bimbang kalau-kalau kegembiraan mereka itu menyebabkan ada ahli qaryah yang kurang senang. Sedangkan BPMS masih memerlukan wadah itu untuk mencapai misi jangka panjangnya.
Tetapi alhamdulillah, pihak surau menunjukkan sikap terbuka dan memahami suasana. Pun begitu, bagi pihak Paksi saya memohon maaf sekiranya ada yang kurang menyenangkan.
Adapun segalanya ini tidak mungkin berlaku sekiranya Cikgu Ishak Surin, imam Madrasah Tarbiyah dan juga Ketua Kampung KBD itu bukan seorang pejuang kemanusiaan yang berfikiran terbuka dan berani mengambil risiko.
Sikap dan perwatakannya yang demikian itulah yang meyakinkan pihak Lostgens’ (khasnya Yeoh Lian Heng) dan pihak Geothe Institute untuk membawa seniman dunia itu berkampung di KBD.
Kecuali seorang sahaja orang Melayu dari Malaysia (Zikri Rahman dari Buku Jalanan) di samping seorang lagi dari Indonesia (Djuwadi dari Taring Padi), mereka semuanya bukan Melayu dan bukan Islam.
Maka bayangkanlah mereka tiba-tiba datang tinggal di kampung Melayu yang masih kuat dengan adat dan budaya Melayu itu.
Wakil Goethe Institut dari Jerman sendiri menyatakan kebimbangan berlaku pertembungan budaya pada awalnya, tetapi beliau bersyukur dan gembira para seniman dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan baiknya selama seminggu di tengah-tengah adat dan budaya Melayu Kampung Banda Dalam.
“Semoga peristiwa bersejarah yang menemukan kemanusiaan dari pelbagai sudut dunia di sebuah kampung Melayu warisan di Kuala Lumpur ini akan memulakan sesuatu yang akan disusuli pula dengan yang keduanya, dan seterusnya.” Demikianlah harapan Ketua Kampung KBD, Ishak Surin. – 15 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments