Opinion

27 kampung menjadi ‘Negeri Budaya Gombak’

Siti Zainon Ismail seorang penyair, cerpenis, novelis, pelukis, seorang sarjana seni-budaya (PhD dan pernah menjadi profesor di UKM), seorang pengkaji busana Nusantara dan seorang pejuang Kampung Warisan Melayu di Kuala Lumpur. Setelah bersara seketika dari Universiti Kebangsaan Malaysia, kini dia mengajar lagi di Universiti Malaysia Sabah.

Tidak ramai orang mengenali dia dengan pengenalan terakhir itu – pejuang Kampung Warisan Melayu di pinggiran Kuala Lumpur. Memang dia penghuni asal Kampung Banda Dalam di Jalan Gombak itu, dan rumah asalnya pun masih dijaganya dan mahu dijadikannya “Rumah Buku”, terletak berkembar lorong yang dijadikan jalan lalu-lintas kenderaan menyeberangi kampung yang sedia sesak dengan rumah-rumah itu.

Saya pun beberapa kali melalui jalan sempit itu dan merungut di dalam hati, seperti yang ditulis Siti: “Besarkan jalan di sini. Oi, kenapa buat pagar di pinggir jalan!” Dan tak pernah terfikir pula seperti yang dijawab Siti: “Aku setengah mati ingin berteriak; ‘Oi, kenapa jalan lewat kampung kami, jalanlah ikut lebuh Karak sana!’”

Siti Zainon merakamkan hal tersebut dalam buku terbarunya “Rumah Waris Uwan (Membaca Peta Kuala Lumpur 2020)” hal.32 (buku berukuran comel terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia – ITBM).

Dalam tulisan (cerpen) berjudul “Gerimis Musim Bunga 2003”, Siti yang waktu itu berada di Eropah, di kalangan sahabat-sahabat akademiknya kerana mengahadiri suatu seminar budaya, tersentak apabila menerima emel yang berpesan: “Pulang segera, kampung kita akan ditelan jentera peledak Bandaraya.” Namun begitu pun dia sempat terkenang beberapa hal mengenai kampungnya, termasuk hal jalan sempit itu.

‘Orang luar’ yang menggunakan jalan itu (sebenarnya ‘lorong’, kata Siti, bukan ‘jalan’) tak terfikir pun permasalahan sebenar penduduk jati kampung. Seperti kata Siti – itu kampung laman mereka, kenapa kita nak susahkan mereka untuk senangkan kita memandu kereta melalui lorong sempit yang asalnya adalah laman rumah mereka itu.

Ya, itu satu hal kecil sahaja sebenarnya. Hal yang lebih utama ialah “Plan Kuala Lumpur 2020” yang mahu menukar keseluruhan kampung-kampung warisan Melayu di sekitar Batu 4 dan 5 Jalan Gombak itu, untuk projek pembangunan komersil yang akan menghapuskan rupa dan bentuk kampung-kampung itu, seperti berlaku kepada Kampung Abdullah Hukum (Jalan Bangsar) dan juga Kampung Segambut.

Bermula dari tarikh 2003 itulah, Siti Zainon dan orang-orang seperjuangannya di beberapa kampung itu menjadi gelisah, marah dan cemas memikirkan nasib dan masa depan Kampung Warisan Melayu di Kuala Lumpur. Saya dan kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pun mula bergabung dan bermuafakat bersama dengannya dan Cikgu Ishak Surin (Imam dan Ketua Kampung), beberapa tahun kemudian.

Antaranya kami pernah menganjurkan Himpunan Budayawan 1Muharam 2010, bertempat di laman Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam, dan melancarkan buku “Antologi Puisi 56 Penyair” sempena menyokong perjuangan orang-orang kampung mempertahankan hak mereka terhadap warisan tamadun Melayu itu.

Saya katakan tadi tak ramai orang mengenali Siti Zainon Ismail sebagai pejuang Kampung Warisan Melayu. Memang, dia sendiri pun barangkali tidak mahu dikenali begitu. Tetapi saya melihat penglibatannya dengan gerakan berkenaan agak konsisten, khasnya sejak pelancaran buku kumpulan puisi dan sketsanya “Kasih Bonda – Kampung Paya Kami”, Oktober 2008. (Kampung Paya ialah nama asal kepada Kampung Banda Dalam).

Bacalah koleksi 47 buah puisi diiringi sketsa (atau sketsa diiringi puisi) dalam “Kasih Bonda” (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka) itu – anda akan mengerti betapa kasih dan sayangnya Siti Zainon dan betapa intimnya dia dengan seni-budaya warisan Melayu yang dihayatinya sewaktu dia membesar di kampung dalam daerah Gombak itu (menjadi wilayah Kuala Lumpur sejak 1972).

Warisan seni-budaya yang diabadikannya dalam 47 sketsa dan puisi itu dibahagikan kepada lima kategori – keluarga kami, halaman sekolah, kehidupan kampung, mari bermain dan perayaan.

Manakala buku terbarunya “Rumah Waris Uwan” pula memberikan kewajaran dan semangat yang lebih kental lagi terhadap perjuangan melestarikan seni-budaya warisan tersebut, yang secara organisasinya dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin.

Ia barangkali sebuah dokumen mengenai sejarah Kuala Lumpur yang lengkap dari sudut pewarisnya, ditulis dengan gaya kreatif, segar dan menarik untuk dibaca, mengandungi cerita-cerita manusia peneroka dan pewarisnya serta cabaran-cabaran yang mengancam kewujudannya dan mencabar kesahihan dan kewarasan budi Melayu menyambut serangan modenisasi dan globalisasi abad ke-21.

Kalau orang bertanya kenapa empat-lima buah kampung warisan Melayu yang masih berbaki di sekitaran Kuala Lumpur itu perlu dipelihara dan dikekalkan, dan jangan sekali-kali dimusnahkan, maka dua buah buku Siti Zainon ini – Kasih Bonda dan Rumah Waris Uwan – bolehlah dikemukakan sebagai dokumen yang mewajarkannya (di samping hujah-hujah lain).

Cerpen “Gema Ronggeng 2008” misalnya, melukiskan reaksi marah penulis dan protesnya terhadap rancangan pihak berkuasa hendak meroboh kampung, seperti dalam perancangan Plan KL 2020 itu. Ia diisi dengan pelbagai fakta menarik mengenai kampung itu, termasuk senarai barang-barang lama yang diwarisi penulis dari nenda dan ibunya, terdiri daripada pinggan mangkuk, pakaian dan buku-buku.

Walaupun ditulis dalam bentuk cerpen, ia diisi dengan fakta-fakta. Makanya ia juga contoh bagaimana cerpen boleh menyalurkan pandangan dan pemikiran yang sebenar (real) mengenai sesuatu yang menjadi persoalannya.

“Jalur Muafakat Awal” pula, dengan 9 notakaki di hujungnya, menelusuri sejarah keluarga penulis hingga ke tiga generasi sebelumnya. Kisah nenek-neneknya yang berasal dari suku Batangkapeh, dari Teluk Inderagiri dan Pagar Ruyung, Indonesia. Ayahnya pula datang dari Tanjung Karang (asalnya) dan bekerja di bengkel keretapi Sentul, bersama beberapa orang lagi ahli keluarganya.

Ini cerpen autobiografi susur galur sejarah keluarga. Fakta-fakta sejarah yang ditulis secara kreatif-imaginatif sebagai cereka. Sebuah bahan rujukan yang cukup baik untuk mengenali sejarah sebahagian penghuni asal Kuala Lumpur, tiga generasi yang lalu. (Ditulis dalam naratif yang lurus tanpa unsur kenangan dan silang bersilang masa lalu dengan masa kini seperti dua cerpen sebelumnya).

“Mutiara Ilmu” pula menyelami isi kampung – merakamkan watak tokoh-tokohnya dari kalangan yang berilmu (cikgu, tok imam) dan yang tidak. Ibunya sendiri walau tak berilmu tetapi pandai menjahit dan menghias diri. Tuk Sarip Kambing yang pandai silap mata itupun turut mendapat sorotan. Dan digambarkan juga secara terperinci bagaimana tokoh-tokoh tertentu berpakaian dan menghias diri. Suatu rakaman sejarah budaya yang sangat penting.

“Rumah Waris Uwan” selain mengandungi cerpen dan puisi, juga memuatkan dokumen yang dibacakan pada majlis “Dirgahayu 150 Tahun Kampung Banda Dalam” pada 9-10 Oktober 2010, dan dokumen yang dibentangkan pada majlis penyerahan memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, 14-16 April 2009.

Ada satu perkara yang menarik pada akhir dokumen kedua itu. Siti Zainon mengakhirinya dengan menyatakan harapan: “Semoga seluruh 27 buah kampung di Gombak – dari Kampung Puah, Setapak hingga ke Batu 12 – dapat diangkat sebagai Negeri Budaya Gombak.” (hal.22)

Barangkali Siti Zainon perlu menulis sebuah buku lain pula bagi menjelaskan idea dan gagasannya mengenai Negeri Budaya Gombak itu. – 22 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments