Suatu hari saya tiba-tiba dihubungi seorang sahabat lama yang sudah bertahun-tahun tidak berjumpa. Chan Yong Sin namanya. Saya panggil dia Chan. Sahabat yang dulu sering bertemu kerana sama-sama menjayakan aktiviti seni dan sastera. Dia dan beberapa orang kawan lagi yang meminati sastera Melayu, bergiat dalam satu badan yang mereka namakan Perspektif (kalau tidak salah ingatan saya).
Chan Yong Sin antara lain banyak menterjemah karya sastera Melayu ke dalam bahasa Cina (Mandarin). Antara hasil terjemahannya yang penting ialah drama Uda Dan Dara karya Usman Awang.
Sudah lama tidak berjumpa, dia menghubungi saya kerana hendak mengadakan acara bagi mengingati atau menyambut ulang tahun ke-30 Malam Salam Benua, suatu acara seni budaya yang pernah kami menjayakannya pada 1984 dulu.
Wah, mereka hendak sambut ulang tahun ke-30 acara tersebut. Hebatnya! Saya tidak pernah pun terfikirkan, atau terbayang, atau terlintas dalam fikiran saya hal seperti itu. Tentulah bagi Chan dan kawan-kawannya yang hendak menyambut ulang tahun peristiwa itu menganggapnya sebagai satu peristiwa yang penting dan besar maknanya. Kalau tidak takkan mereka sampai terfikir hendak membuat satu program khas bagi mengingatinya.
Apa hebatnya Malam Salam Benua itu? Atau apa dia sebenarnya Malam Salam Benua itu?
Seingat saya ia adalah suatu malam yang diadakan oleh masyarakat Cina bagi menyambut penganugerahan “Sasterawan Negara” kepada Usman Awang oleh Kerajaan Malaysia. Ia diadakan di hotel Dayang, Petaling Jaya, pada 22 Januari 1984. (Sekarang hotel itu sudah ditukar nama lain). Waktu itu kumpulan Teater Elit (kumpulan seni teater dan puisi yang digerakkan oleh Sutung Umar Rs dan saya) masih aktif.
Malam itu dinamakan Malam Salam Benua kerana mengambil sempena judul sebuah puisi Usman Awang, Salam Benua (ditulis pada 1970), iaitu puisi yang menyatakan sikap persaudaraan dan kemanusiaan Usman Awang yang melampaui batas perkauman, darjat, warna kulit dan juga sempadan negara. Bacalah rangkap akhir puisi tersebut:
Salam
tanpa visa
passport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua.
Memang saya masih ingat pada peristiwa Malam Salam Benua itu. Beberapa orang sahabat karib Usman Awang, yang juga menjadi sahabat saya dan Sutung Umar Rs (kerana saya dan Sutung memang sangat rapat dengan Usman Awang), berpakat menganjurkan malam tersebut. Kami beberapa kali mengadakan mesyuarat, yang diketuai Tan Kai Hee.
Saya kurang pasti siapakah atau badan/persatuan apakah yang menganjurkan program tersebut. Saya tanya Chan, dia kata, “Kita sama-samalah yang anjur.” Saya tanya pula, atas nama badan atau persatuan apa? Dia kata, “Tak ada badan atau persatuan. Kita sendiri saja. Tan Kai Hee sebagai ketua. Kita sama-sama mesyuarat, you tak ingatkah? You, Sutung Umar, Jomo…”
“Oh, Jomo pun ada?” tanya saya.
Rupa-rupanya Chan masih simpan kad jemputan untuk malam itu. Memang tidak ada nama badan yang menganjurkannya. Yang ada hanya nama empat orang untuk dihubungi (bersama dengan nombor telefon), iaitu Tan Kai Hee, Jomo, Chan dan Dinsman.
Walaupun saya terlibat sama menganjurkannya, seingat saya, yang hadir pada malam itu, sekitar 700 orang, kebanyakannya adalah masyarakat Cina. Ia adalah inisiatif Tan Kai Hee dan kawan-kawannya. Dan hari ini pun, yang teringat untuk menyambutnya lagi, sekaligus mengingati Usman Awang yang pernah menjadi ikon persahabatan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, ialah Tan Kai Hee dan kawan-kawannya.
Saya jadi teringat pada suasana waktu itu, yang berbeza dengan suasana sekarang, iaitu dalam hal persahabatan antara individu pelbagai kaum. Bukan sebagai agenda politik, tetapi sebagai individu manusia sesama mansuia, tanpa dipengaruhi (atau mempengaruhi) kepentingan politik. Dan yang menjadi pengikat kepada hubungan itu ialah aktiviti atau hal seni budaya.
Hari ini keakraban yang seperti itu hanya menjadi nostalgia.
Penulis Lee Ban Chen, misalnya, pernah menyatakan kepada saya akan nostalgianya terhadap suasana keikhlasan persahabatan antara Melayu-Cina-India seperti yang pernah terbina di lingkungan Usman Awang itu. Tetapi kenapakah suasana seperti itu hilang bersama dengan ‘hilang’nya Usman Awang?
Saya dan beberapa orang kawan pernah berbincang mengenai perkara ini dan pernah berusaha untuk menghidupkannya kembali, tetapi rupa-rupanya ia tidaklah semudah yang dijangka atau difikirkan. Padahal di waktu Usman Awang dulu saya melihat ia seperti terjadi begitu natural sekali, seperti terjadinya begitu sahaja tanpa diusahakan. Barangkali itu adalah sebahagian daripada keistimewaan peribadi besar orang seperti Usman Awang itu.
Ya, Malam Salam Benua. Saya masih ingat lagi, pada malam itu saya membaca puisi “Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul” (karya Usman Awang) secara berduet bersama dengan Noor Azam.
Memang, yang itu begitu kuat terlekat dalam ingatan saya. Yang lain-lainnya tidak lagi. Sangat kabur, malah boleh dikatakan saya tidak ingat pun lagi.
Chan mengatakan pada malam itu juga Sutung Umar Rs membaca sebuah puisi khas tentang Usman Awang dalam loghat Kelantan – Sme Awe. Dan kita juga mementaskan sebahagian daripada teater Uda dan Dara dalam bahasa Mandarin, yang saya menjadi pengarahnya. Oh ya? Memang saya masih ingat saya pernah mengarah sekumpulan pelajar Cina melakonkan beberapa adegan menarik dari drama tersebut. Tetapi ingatan itu sangat kabur dan saya tidak ingat langsung yang ia dipentaskan pada Malam Salam Benua itu.
Terima kasih Chan, kerana menolong saya mengingatkan semula peristiwa itu. Terima kasih lebih lagi kerana mengingatkan saya akan suasana keakraban persahabatan Melayu-Cina-India yang pernah wujud di kalangan kita tidak berapa lama dulu.
Bagaimanakah agaknya dapat kita mengembalikan lagi suasana yang indah dan harmoni itu?
Saya juga teringat kepada Dr Shanmugalingam dan isterinya pelukis Normala, yang selalu juga bersama-sama dalam acara seni-budaya waktu itu. Dan ingat kepada Dr Shan mesti teringat juga kepada Raja Muda Perak sekarang, Dr Raja Nazrin, yang sering hadir bersama dengan Dr Shan, terutamanya pada sesi Baca Puisi dua minggu sekali di Hotel Abad Century di akhir 70-an dan awal 80-an.
Tetapi apakah, dan kenapa, itu semua kini hanya tinggal menjadi nostalgia sahaja! Barangkali Faridah Merican, Chin San Sooi dan Marion deCruz boleh membantu saya menjawab soalan misteri ini. – 5 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments