Opinion

6 cadangan Shaharir kepada Paksi dalam sidang IDE

Dalam sidang meja bulat mengenai seni budaya Selangor anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di Shah Alam, 4 Ogos lalau melalui pembentangannya berjudul “Pengertian kebudayaan yang asasi dan masih terabai dan diabaikan di Malaysia”, Prof Emeritus Shaharir Mohd Zain mencadangkan 6 perkara untuk dilaksanakan oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi).

Sebelum itu beliau mengkritik pemahaman mengenai kebudayaan yang tidak memasukkan aspek “kepandaian dan kepertukangan” (sekarang disebut sains dan teknologi) dalam maksud kebudayaan.

Katanya, hakikatnya bahagian “kepandaian” dan “kepertukangan” yang mencirikan sesebuah kebudayaan itu biasanya terabai atau diabaikan di negara ke-3 atau negara membangun seperti Malaysia sedangkan di nagara maju berlaku sebaliknya.

Bagi Shaharir, kebudayaan terdiri daripada 3 komponen iaitu bahasa, agama dan ilmu dengan andaian bahasa itu termasuklah susastera dalam semua bidang ilmu dan agama itu termasuklah ideologi.

Beliau melihat, Paksi memang ada mengakomodasikan 3 komponen kebudayaan ini dalam kegiatannya, tetapi masih didominasi oleh pengisian budaya kesenian yang belum menjangkau ke peringkat ilmu itu.

Shaharir berpendapat bahasa Melayu di Malaysia masih jauh ketinggalan sebagai bahasa budaya, terutama dalam sektor kehidupan bertaraf tinggi dan berpengaruh, seperti pendidikan dan perniagaan.

Universiti di Malaysia katanya, hampir 100% tidak lagi dalam bahasa Melayu, tidak seperti sebelum 2003, (PPSMI merubah semuanya: budaya berbahasa Melayu di universiti sudah terfosil).

Memfokus kepada kerajaan negeri Selangor, sesuai dengan matlamat sidang meja bulat tersebut, Shaharir berkata beliau belum nampak kerajaan Selangor ada mengambil langkah tertentu bagi memperbetulkan keadaan itu, walaupun ucapan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dalam menyambut bulan bahasa kebangsaan tahun lepas begitu menjanjikan muluk belaka kepada budayawan dan ilmuwan cita-budaya Melayu amnya.”

Maka Shaharir mencadangkan agar IDE segera mengesyorkan perancangan 3 tahun menjadikan 30% ilmu di institusi pengajian tinggi di Selangor dilaksanakan dalam bahasa Melayu, dengan menyediakan segala prasarana yang diperlukan.

Paksi juga, katanya, dapat membantu merealisasikan hasrat meningkatkan penghayatan bahasa dan susatera Melayu di sektor pendidikan dan perniagaan ini, dengan mengadakan kegiatannya seperti berpuisi, berprosa dan berlakon, dalam maudhuk yang lebih luas serta mempopularkan karya berlandaskan ilmu di peringkat tinggi.

Itu cadangan pertamanya untuk Paksi. Cadangan keduanya, berhubung kegiatan resensi dan promosi buku.

Shaharir mencadangkan supaya Paksi memperluaskan kegiatan agar mencakupi susastera, yakni bukan kesusateraaan atau sastera sahaja, dari Malayonesia (bukan Malaysia sahaja) dan karya yang diangkat itu bukanlah karya zaman moden sahaja tetapi hendaklah mencakupi karya susastera zaman pra Islam dan zaman Jawi juga.

Shaharir menyebut beberapa contoh karya susastera besar zaman Jawi yang bukan karya sastera sahaja tetapi juga karya sains mereka yang mendahului sains Eropah.

Antaranya dalam bidang astronomi, kosmologi, kosmogoni dan kosmogenesis oleh al-Raniri berjudul asal kejadian 7 petala langit dan bumi pada 1638, Hamzah Fansuri berjudul Asrar al-Arifin (1590) serta Sharab al-Aashiqiin (akhir abad ke-16) dan bidang matematik, ekonomi dan pengurusan perniagaan oleh Abd Rauf Singkel berjudul Mir’aht al-Tullab pada 1660an.

Karya susastera besar prasasti dalam bahasa Kunlun yang disebut Shaharir ialah Prasasti Talang Tuwo (di Sumatera) bertarikh 683 Masihi, mengandungi ilmu ekonomi, botani dan astronomi; Prasasti Cakravantin di Vietnam pada 1108 Masihi, mengandungi ilmu kepengurusan dan kepemimpinan dan Prasasti Dong Yen Chau di Vietnam sekitar 400 Masihi mengandungi maklumat penomboran (matematik) terawal Malayonesia, medahului bahasa/bangsa di Eropah.

Seperti disebut di atas, Shaharir menganggap agama dan idealogi adalah satu daripada 3 komponen budaya. Sehubungan itu, cadangannya yang ke-3 kepada Paksi adalah dalam konteks ini.

Orang Melayu, katanya, dalam menghayati agama Islamnya amat bertoleransi dengan ideologi baharu yang sering tidak serasi dengan Islam, seperti sekularisme dan liberalisme juga amat bertoleransi dengan riba, judi, fitnah (malah gemar memfitnah), rasuah, zina, dan kezaliman tetapi tidak boleh bertoleransi dengan perkara yang ranting seperti berlainan mazhab dan amat tiada toleransi terhadap anjing dan babi.

Dihuraikannya cara hidup dan pandangan hidup orang Melayu yang bertentangan dengan Islam itu, misalnya Hambawanisme, iaitu fahaman bagusnya menjadi ‘hamba’ kerana semuanya diberi oleh ‘tuan’nya.

Orang Melayu juga, katanya, suka berpesta dan mengisi keperluan ‘nafsu amarah’ yang berlebih-lebihan.

Maka Shaharir mencadangkan agar IDE merangka program ke arah menghakiskan segala kelemahan kebudayaan Melayu-Islam itu manakala Paksi pula disarankan supaya merangka siri penataran kebudayaan keIslaman yang lebih jitu menerusi siri kegiatannya.

“IDE dan Paksi perlu mengisi kegiatannya dengan bermatlamatkan kepada penghakisan cara hidup dan pandangan hidup Melayu yang negatif ini,” tegasnya.

Selanjutnya Shaharir menyentuh komponen ilmu dalam kebudayaan. Katanya, pengkaji kebudayaan, tamadun atau peradaban Melayu selama ini tidak meletakkan kepentingan penonjolan ilmu ciptaan bangsa berbahasa Melayu, sejak abad ke-4 Masehi itu, pada tempat yang sewajarnya.

Malah, katanya, setengahnya berhujah pencapaian tamadun Melayu ialah ketinggian peradabannya selepas mereka memeluk Islam, bukannya pencapaian ilmunya kerana dengan peradaban itu mereka maksudkan budi bahasa dan budi pekerti sahaja dan mengabaikan budi bicara yang melambangkan keprihatinan berilmu.

Menurut Shaharir, ilmu dalam bahasa Melayu terfosil sejak penjajah menguasai sistem pendidikan Malayonesia mulai awal abad ke-20, sehingga bahasa Jawi pun sebahagian besarnya menjadi gharib sekarang kerana kita sendiri melestarikan program penjajah itu dalam sistem pendidikan kita.

Ilmu dalam bahasa Melayu pra Islam lebih lama lagilah terfosilnya, iaitu sejak Islam bertapak di Malayonesia dalam abad ke-16.

Maka tugas besar sarjana dan budayawan kini, kata Shaharir, ialah mengakskavasi ilmu sains dan teknologi Melayu ini yang tertulis pada prasasti Kunlun dan manuskrip jawi dan mempopularkannya dengan merelevankan dengan ilmu sekarang atau membandingkan dengan ilmu Eropah pada zaman yang sama.

Oleh kerana tiada universiti di Malayonesia yang berusaha mengkaji ilmu yang terfosil itu, Shaharir mengesyorkan supaya Universiti Industri Selangor (Unisel) menjadikan penyelidikan etnosains dan etnoteknologi Melayu yang terfosil ini, sebagai satu daripada bidang teras penyelidikannya.

Beliau juga mengsyorkan supaya Selangor menyediakan peruntukan RM1 juta di peringkat permulaan untuk mendapatkan salinan prasasti dan manuskrip sains dan teknologi dalam bahasa Melayu di seluruh dunia (kebanyakannya di Leiden dan di Aceh).

Paksi pula dicadangkannya supaya mencari wadah mempopularkan sains Melayu ini yang sudah ditemui kembali dan dikontemporerkan sehingga kini, menerusi kegiatannya dengan mengundang sarjana yang relevan.

Itu cadangan yang ke-4 kepada Paksi. Cadangan kelimanya ialah agar PAKSI berusaha bagi mempopularkan (mengadakan bengkel penataran) karya ilmu Melayu pra Islam dan Jawi dan sekali gus mengundang pakarnya untuk mengajar tulisan Palawa dan Jawi lama ini kepada generasi baharu.

Akhirnya, dengan merujuk kepada program “Hening Puisi Paksi” di Johor 25 hingga 28 Julai lalu, Shaharir berkata: “PAKSI juga patut memperluaskan kegiatan Heningannya sekarang kepada tujuan menghasilkan karya susastera (bukan kesusateraan sahaja).”

Demikianlah, kertas Shaharir itu walaupun berbicara mengenai maksud kebudayaan yang luas dan membuat beberapa cadangan kepada pihak-pihak tertentu khasnya Institut Darul Ehsan dan kerajaan Selangor, namun 6 cadangan kepada Paksi itu amat menarik untuk diperhatikan. – 25 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments