Opinion

A. Samad Said sasterawan kehormat Unisel

Dia ikon generasi abad ini, bukan sahaja sebagai penyair atau sasterawan yang membesarkan khazanah bangsa dengan karya-karyanya, tetapi juga tokoh kemanusiaan yang hidup di tengah-tengah khalayak massa.

Beliau negarawan yang menyimpan banyak rahsia sejarah bangsa dan negara dan terus prihatin dengan permasalahan negara-bangsanya, seniman yang sentiasa mengalir bersama sungai dan bergolak bersama gelora bangsa, berdenyut rasa bersama nadi dan amarah rakyat.

Beliau juga pemikir yang telah menghazam dan mencernakan kebijaksanaan dan kearifan kehidupan dunia ke dalam dirinya hingga tutur katanya pun kini menjadi indah bak mutiara puisi.

Ya, itulah A. Samad Said yang hari ini disebut Pak Samad saja pun orang sudah tahu siapa yang dimaksudkan. (Seperti disebut pada sepanduk bicara bukunya Di Atas Padang Sejarah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam 14 September lalu).

Saya terfikir orang seperti Samad Said itu, usianya 81 tahun, masih menghasilkan karya sehebat Di Atas Padang Sejarah itu (dan saya mengharapkan ada yang lebih hebat lagi akan dilahirkannya), dan pihak polis di Malaysia masih sanggup “menyerbu” rumahnya (3 September) mengganggunya di waktu lewat malam dan membawanya ke balai hanya untuk mengambil sedikit info darinya.

Saya terfikir, dengan khazanah yang telah disumbangkannya kepada tamadun bangsa kita yang begitu besar maknanya, dan dengan sumbangannya kepada pihak Pakatan Rakyat yang tidak kurang besarnya dibandingkan dengan tokoh-tokoh pimpinan politik sendiri.

Saya terfikir – apakah kita sebagai bangsa yang bermaruah dan berbudi mulia (dikatakan lebih mulia budi kita daripada budi orang-orang di sebelah Umno-Barisan Nasional), dengan negeri Selangor yang menteri besarnya terkenal pandai mengumpul wang simpanan hingga RM3 bilion untuk kesejahteraan rakyat.

Saya terfikir – apakah kita hanya mampu menunjukkan hormat kita kepadanya dan rasa bangga kita mempunyai tokoh/watak seperti dia itu di tengah kita dan bersama dengan kita, hanya dengan sesekali menjemput dia membaca puisi dengan bayaran ala kadar dan Kerajaan Negeri Selangor menganugerahkan dia satu anugerah (yang saya pun tak ingat lagi apa namanya) yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis yang dibuat tergesa-gesa (entah kenapa) hingga para budayawan yang selalu bersama dengan dia pun tak dijemput, dan dengan hadiah wang sebanyak RM10 ribu.

Apakah sebesar itu sahaja kemampuan yang kita ada untuk menyatakan rasa syukur dan bangga kita terhadap khazanah budaya dan harga diri bangsa kita yang sehebat itu?

Tentulah tidak, ya! Makanya alangkah suka dan bangganya kita sekiranya diberitahu bahawa sebuah institusi pengajian tinggi seperti Universiti Selangor (Unisel) itu misalnya, berbangga kerana mereka mempunyai seorang tokoh kreatif seunggul Samad Said bersama mereka, sebagai seorang daripada keluarga besar mereka, sebagai seorang daripada sarjana, pemikir dan penulis besar mereka, yang bertaraf dunia.

Apabila sebuah universiti kita mempunyai dan berbangga mereka ada orang seperti Samad Said itu di kalangan mereka, saya fikir, ia tentunya dapat memberi sumbangan yang besar kepada universiti itu.

Samad Said telah dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kesarjanaannya sebagai seorang yang memiliki ilmu dan kepakaran dalam bidang sastera, penulisan, kesenian, kebudayaan, falsafah dan kesusasteraan dunia, tentulah tak dapat dipertikai. Maka tidak hairanlah kalau dia akan dianugerahkan pula gelaran Profesor.

Akan bersemaraklah nanti kampus Unisel, di Shah Alam dan di Bestari Jaya, dengan kehadiran Samad Said yang ramah dan mudah berinteraksi dengan para pelajarnya, para pensyarahnya dan juga kakitangannya. Akan bersemaraklah kampus Unisel itu dengan aktiviti-aktiviti seni-budaya, di samping keilmuan dan falsafah, dengan kehadiran novelis Salina yang namanya sudah dikenal di peringkat antarabangsa itu.

Samad Said, nama yang sudah menjadi sebuah institusi kesusasteraan itu barangkali akan menghidupkan satu keghairahan baru terhadap seni dan sastera yang berteraskan keilmuan di kampus Unisel. Walaupun buat masa ini universiti itu belum ada pengajian kesusasteraan dan penulisan, tidak mustahil kehadiran A Samad Said di situ akan mengubah keadaan.

Sebagai Sasterawan Kehormat satu-satunya di universiti di negara ini, yang diinstitusikan oleh Kerajaan Negeri Selangor, kehadiran Samad Said di kampus Unisel itu bukanlah semata-mata kehadiran kosong. Ia akan hadir bersama dengan sokongan para budayawan seperjuangannya, juga sokongan dana daripada Kerajaan Negeri Selangor, untuk menghidupkan potensi kesenian dan kesusasteraan Melayu diangkat statusnya ke persada dunia.

Beberapa program yang sesuai akan dirancang untuk memanfaatkan kehadiran seniman berusia 81 tahun ini. Tentunya perancangan yang mengambil kira bahawa tujuan utama dari pelantikan Samad Said ini ialah sebagai menghormati dan menghargai pencapaiannya, dan tidak akan mengganggu proses kreatifnya ke arah melahirkan karyanya yang baru.

Misalnya antara program yang dirancang ialah menganjurkan satu pertemuan penyair-penyair terkenal dari seluruh dunia, khasnya penyair-penyair yang memang sudah ada hubungan dengan Samad Said.

Bukanlah Samad Said yang akan disibukkan dengan kerja-kerja persiapan ke arah menjayakan pertemuan itu. Tidak. Ada pihak lain yang akan melakukan kerja-kerja itu.

Samad Said hanya akan menjadi tempat rujukan dan sebagai penasihat sahaja. Namun pada hari pertemuan itu nanti dialah yang akan menjadi tumpuan penyair-penyair yang datang dari seluruh dunia, kerana mereka itu semua adalah tetamunya.

Itu sekadar satu contoh program yang dirancang. Program lain ialah seperti kuliah penulisan secara bersiri kepada pelajar yang berminat; syarahan budaya kepada pelajar-pelajar dan kakitangan akademik; majlis baca puisi dua bulan sekali, dan sebagainya.

Semoga pihak Pakatan Rakyat, khasnya pimpinan tinggi PAS yang berfikir serius mengenai seni-budaya hingga mewacanakan Malaysia sebagai “Kuasa Budaya Dunia”, boleh memulakan langkah menuju ke arah matlamat besar itu dengan membuat langkah ini – sebagai mesej menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat adalah lebih baik daripada pihak lawannya, dalam hal menghargai seni-budaya dan mengakui pentingnya peranan seni-budaya dalam membina tamadun manusia. – 23 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments