Opinion

Ada krisis kebudayaan serius di Selangor

“Nampaknya Selangor di bawah kepemimpinan Menteri Besar Mohd Azmin Ali sedang menghadapi krisis kebudayaan yang serius.” Itu lebih kurang ayat yang saya pos ke dalam fesbuk (Facebook) dan WhatsApp kepada beberapa kumpulan dan sahabat. Ada lagi sedikit sambungannya, yang tidak saya salin di sini.

Pentingnya, saya nak katakan ada “krisis kebudayaan yang serius” di Selangor. Dan saya sebarkan pandangan ini kepada beberapa pihak yang berkenaan dengan tujuan untuk menarik perhatian mereka terhadap kebudayaan, khasnya seni-budaya.

Sebenarnya orang tak kisah pun apabila disebut ada “krisis kebudayaan yang serius”. Tak berapa orang pun sebenarnya yang ambil kisah hal kebudayaan ini.

Di sini saya tumpukan maksud “kebudayaan” itu lebih kepada “seni-budaya”, yakni aktiviti-aktiviti seperti penulisan, khasnya sastera; seni persembahan termasuk teater, tarian, juga baca puisi; lukisan dan lain-lain seni visual – arca, ukiran, fotografi, kaligrafi, instalasi; seni muzik dan lagu; filem, dokumentari dan drama TV; aktiviti-aktiviti keilmuan, termasuk bicara buku dan sebagainya.

Saya kata: Tak berapa orang pun yang ambil kesah hal kebudayaan atau seni-budaya. Apa maknanya? Memang saya tak buat kajian atau penyelidikan untuk mendapatkan kesimpulan dan membuat kenyataan tersebut.

Tetapi berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya terlibat di dalamnya sebagai aktivis dan pencatat peristiwa seni-budaya – pengalaman saya selama lebih 45 tahun sejak 1969 selepas berhijrah ke Kuala Lumpur dan mula membuat pementasan teater di Kuala Lumpur, saya kini berani mengatakan demikian.

Dan ini adalah satu krisis – krisis kebudayaan. Apabila tidak ramai orang yang ambil kisah hal seni-budaya, apabila tidak ramai orang yang nak ambil tahu hal seni-budaya – ini menjadi satu krisis kebudayaan.

Kenapa saya katakan “krisis kebudayaan”? Kerana apabila masyarakat tidak ambil kisah hal seni-budaya (iaitu komponen penting dalam kebudayaan), itu menunjukkan masyarakat itu sedang mengalami krisis.

Contohnya ialah masyarakat kita sekarang. Sebuah masyarakat yang kacau-bilau, yang sakit, yang tiada kestabilan politik dan pimpinan politiknya asyik berebutan kuasa, ekonominya meletakkan rakyat dalam kesusahan dan hidup tertekan, jenayah semakin menjadi-jadi, para ilmuwan dan intelektualnya hilang kewibawaan dan jati diri, malah institusi kehakiman dan keadilannya pun menjadi kemusykilan orang ramai, dan sebagainya.

Anda boleh melihatnya sebagai krisis politik, atau krisis ekonomi, atau krisis sosial, tetapi saya melihatnya sebagai krisis kebudayaan. Mengapa?

Sebab saya percaya pada peranan kebudayaan, khasnya seni-budaya, yang boleh memberi keseimbangan kepada hal-hal negatif yang disebutkan tadi – menjadikan masyarakat lebih seimbang dan tidak keterlaluan kepada sesuatu bidang tertentu sahaja, misalnya keterlaluan dalam berpolitik yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini – menyebabkan terjadinya apa yang sedang terjadi itu.

Tidak ramai orang yang ambil kesah hal kebudayaan dan seni-budaya. Saya melihat ini sebagai faktor utama mengapa berlakunya krisis dan kacau-bilau dalam masyarakat kita hari ini. Kita berpolitik berlebih-lebih, keterlaluan. Kita berebutan kuasa sepanjang masa, di pelbagai peringkat – kebangsaan, peringkat negeri, peringkat daerah, peringkat kampung.

Kita berpolitik dalam segala hal – dalam pemerintahan, dalam ekonomi, dalam pendidikan, dalam keselamatan, dalam pertanian, dalam pentadbiran, dalam hal agama juga, dan dalam hal kebudayaan pun. Seolah-olah politik boleh menjawab dan menyelesaikan segala masalah dalam kehidupan dan dalam masyarakat.

Padahal, seperti yang jelas kelihatan realitinya, politik dan berpolitik itulah, yakni berebutan kuasa dalam segala hal di pelbagai peringkat di sepanjang masa itu, yang mencetuskan pelbagai krisis dalam masyarakat kita.

Soalannya – mengapa masyarakat kita berpolitik berlebih-lebih dan keterlaluan? Jawapan saya mudah sahaja. Sebab orang-orang budaya dan cerdik pandai kita (ilmuwan, intelektual, ulama) menyerahkan peranan mereka kepada orang politik. Maksudnya para budayawan dan cerdik pandai kita enggan berfungsi.

Kebanyakan kita – budayawan, ilmuwan, intelektual, ulama, serahkan fungsi dan peranan kita kepada orang politik. Tidak seperti di zaman Syed Sheikh Alhadi, Ahmad Rashid Talu, Rahim Kajai, Za’ba, Ibrahim Yaakob, Buhanuddin Helmi, Ishak Muhamad, A Samad Ismail, Usman Awang.

Siapa yang menggerakkan orang Melayu di awal abad ke-20 supaya bangun menuntut hak dan kemerdekaan, dan membina bangsa yang maju? Merekalah golongan penulis, budayawan dan ulama. Bagi memudahkan bicara ini saya golongkan semua golongan itu sebagai budayawan.

Mereka berfungsi dan berperanan membuat keputusan untuk masyarakatnya. Terlibat dalam gerakan dan pergolakan masyarakat. Berada di barisan depan dan memainkan peranan untuk menentukan kehidupan bangsa/ummah.

Sekarang, budayawan kita hampir tidak berfungsi dan berperanan dalam masyarakat. Ini yang saya maksudkan “krisis kebudayaan”. Dan bukan itu saja. Terdapat pula pihak yang diamanahkan untuk menguruskan usaha-usaha pembangunan seni-budaya, khasnya di Selangor pada waktu ini, juga enggan menunaikan tugas dan tanggungjawab itu. Ini yang saya maksudkan “ada krisis kebudayaan yang serius di Selangor”.

Biar saya jelaskan. Terdapat satu kelompok seniman-budayawan yang mempunyai kesedaran peri pentingnya seni-budaya dalam kehidupan manusia (seperti dijelaskan di atas), bersepakat untuk mengaktifkan dan memajukan kegiatan atau program seni-budaya di negara ini, khasnya di Selangor, sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri ini pada 2008.

Usaha dan perjuangan mereka mengharungi pelbagai cabaran dan halangan itu sebahagian pentingnya dirakamkan dalam buku Pemikiran dan Perancangan Seni-budaya; sebuah buku yang diterbitkan khas (seperti terpampang di halaman pertamanya dicatatkan dalam huruf besar: UNTUK PERHATIAN MENTERI BESAR SELANGOR DAN SEMUA PEMIMPIN DI MALAYSIA) ; dan dijelaskan di kulit belakangnya penerbitan buku ini juga sebagai sambutan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menawarkan dana RM2.5 juta kepada aktiviti seni-budaya di Selangor seketika mendengar kritikan terbuka wakil kelompok seniman-budayawan tadi dalam majlis Konvensyen Penulis Selangor, Jun 2011.

Alhamdulillah, dengan pemahaman terhadap keperluan seni-budaya semasa yang dijelaskan dalam buku itu, menteri besar itu bersetuju dan meluluskan 4 program penting untuk dilaksanakan oleh kelompok tersebut, yang namanya ialah Seniman Paksi Rakyat (Paksi).

Satu daripada program tersebut sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, iaitu program Jelajah Budaya Selangor (JBS). Tiga lagi tak sempat dilaksanakan, kerana selepas PRU itu keadaan politik di Selangor mengalami krisis yang agak sengit, dan pihak pentadbiran kerajaan negeri yang juga turut “berpolitik” itupun difahami kurang selesa melayani hal-hal seni-budaya berkenaan.

Dan kemudian berlakulah pertukaran dalam kepemimpinan politik yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri – menteri besarnya bertukar dan para exconya juga turut bertukar, termasuklah exco yang bertanggungjawab hal seni-budaya.

Dengan berlakunya pertukaran kepemimpinan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu dipercayai berakhirlah sudah krisis politik yang turut membantutkan usaha-usaha mengaktif dan memajukan seni-budaya di Selangor, khasnya dalam perancangan Paksi. Kini Paksi memasuki fasa baru dalam perancangan seni-budayanya di Selangor.

Disangkanya kepemimpinan baharu akan menyemarakkan lagi usaha bagi memajukan seni-budaya. Rupa-rupanya tidak. Sebaliknya yang berlaku ialah “krisis kebudayaan yang serius” di Selangor. – 5 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments