Opinion

Apa lagi Dr Mahathir mahu?

Selepas menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dia sendiri memilihnya sebagai pengganti, dan mengangkat Datuk Seri Najib Razak yang diharapkan menjadi lebih baik daripada Abdullah, kini Dr Mahathir secara terbuka menarik balik sokongannya kepada Najib. Hanya menarik balik sokongan sahaja setakat ini, belum lagi meminta Najib berhenti untuk digantikan dengan orang lain.

Dan setakat ini pandangan Dr Mahathir khasnya di dalam Umno-BN masih didengar dan dianggap penting. Masih berpengaruh dan berkesan. Seorang perdana menteri telah dijatuhkannya dan seorang telah dinaikkannya. Sekurang-kurangnya begitulah tanggapan umum, yang menganggapnya masih berkuasa walaupun tidak lagi memegang jawatan.

Saya tertarik menulis perkara ini bukannya kerana masih berminat dengan beliau seperti suatu masa dahulu, ketika mana saya menganjurkan suatu “Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir” (1982), dan menulis beberapa puisi panjang untuknya serta menerbitkan sebuah buku kumpulan puisi yang semuanya ditulis untuknya atau mengenainya – “Puisi Panjang Untuk Mahathir” (1997).

Memang waktu itu Dr Mahathir dianggap pejuang yang sedang mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu. Golongan penulis dan budayawan juga menganggapnya begitu, dan menghormati beliau. Majlis “Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir” yang diadakan di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 April 1982 itu mendapat sambutan hebat golongan penulis, budayawan dan cendekiawan.

Dr Mahathir pun menjadi sangat terharu melihat sambutan ramai pada malam itu, dan mendengar puisi para penyair kepadanya. Maka pertama kalilah orang ramai menyaksikan dia menjadi sebak tak dapat meneruskan ucapan, lalu duduk menahan tangisnya.

Itu cerita lama di awal era pentadbirannya. Hubungan saya dengannya pun agak baik waktu itu. Malah sewaktu dia Timbalan Perdana Menteri lagi pernah dia membelanja saya bersama Usman Awang dan Ketua Pengarah DBP waktu itu menonton teater Inggeris, persembahan dari West End, di Hotel Regent.

Kemudian dia menghadiri persembahan teater kumpulan saya pula, di Panggung Eksperimen Universiti Malaya. Tak ingat persembahan yang mana, barangkali "Teater Tari Uda Dan Dara" dan "Kesucian Sinta Dinodai". Hanya saya ingat komennya selepas menonton, katanya persembahan itu terlalu "advanced" dan mendahului zaman.   

Apabila Teater Elit hendak mengadakan siri Malam Puisi Tanahair di seluruh negara, saya berjumpa Dr Mahathir memohon dia menjadi penaung. Tahu di mana saya berjumpa dia? Di dalam jet peribadinya, dalam penerbangan ke Alor Setar dan penerbangan balik, duduk berhadapan dengannya, bercakap mengenai puisi, bahasa dan budaya.
 
Tetapi itu semua cerita lamalah ya! Masa telah berlalu dan banyak telah berubah. Negara berubah, ekonomi berubah, masyarakat berubah, dan manusia pun berubah. Apalagi manusia yang memegang kuasa, agak mudah berubah sikap dan pemikirannya.

Dr Mahathir pun demikian – sikap dan pemikirannya pun berubah. Tidak sama antara era permulaan pentadbirannya dengan era setelah lama memegang dan mengumpul kuasa serta mengecap nikmatnya, apatah lagi setelah anaknya pun terlibat dalam perniagaan besar, dan perlukan pertolongannya.

Maka saya pun sudah lamalah juga menarik balik sokongan terhadap kepemimpinannya itu. Berikutan berlakunya Kegawatan Ekonomi 1997, saya menerbitkan sebuah buku “Gawat – Gagalnya Formula Mahathir” (1998). Buku itu secara terbuka mengkritik kepemimpinan Dr Mahathir, dan sejak itu saya tidak lagi menyokong kepemimpinannya.

Kemuncak kritikan saya terhadap Dr Mahathir ialah ketika api Reformasi (pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fadzil Noor) marak menyala sekitar tahun 1999. Kali ini saya bergabung dengan gerakan Reformasi itu, dan menyumbang melalui bacaan puisi yang saya lafazkan di pentas politik hampir di seluruh negara pada waktu itu. Puisi paling banyak saya bacakan dan paling mendapat sambutan ialah yang berjudul “Macam Orang Gila”. Antara bait-baitnya ialah:

“Macam-macam hendak dibuatnya/ Orang pun sanggup menjadi khadamnya/ Asalkan duit dapat berjuta orang sanggup jadi khadam/ Mamak bendahara suka tak terhingga/ Terlupalah dia akan fitrah manusia/ Sangka dia dialah kuasa/ Kata dia semua mesti jadi/ Mahu dia semua orang mesti ikut.

“Siapkan mahligai mahamewah untuk beta!/ Siapkan jet mahacanggih untuk beta!/ Selamatkan perkapalan ananda beta/ Gunakan duit petronas jangan peduli berapa harga.

“Duit rakyat duit dia/ Amanah rakyat harta bapak dia/ Dia bukan lagi manusia biasa/ Mahunya jadi manusia maha/ Negara jadi harta dia/ Rakyat hamba dia/ Siapa tak suka, hokum/ Siapa lawan, pancung!/ Siapa mencabar, tangkap/ Rupa-rupanya timbalan dia sendiri/ Tangkap dan kurung!/ dan racun!

“Rakyat memeprotes, dia tak kira/ Tangkap siapa saja yang mencabar/ Rakyat semakin marah, dia tak peduli/ Ulamak tegur dia ulamak dia hina/ Dia bukan lagi manusia biasa/ Ingat dia dia mahakuasa/ Tapi rakyat tengok dia/ MACAM ORANG GILA/ Timbalan yang dipenjarakan terus dihina, tak kira di mana/ Dia ingat dia mahabijaksana/ Tapi rakyat tengok dia/ MACAM ORANG GILA...”

Apakah perkembangannya yang mutakhir ini boleh dilihat sebagai kesinambungan daripada puisi tersebut? Barangkali ya dan barangkali tidak. Itu tidak penting. Tetapi ternyata Dr Mahathir masih beranggapan dia masih berkuasa dan berpengaruh dalam mencaturkan "permainan kuasa" di negara ini. Dan orang ramai pun masih ramai beranggapan dan percayakan demikian.

Tun Musa Hitam (Timbalan Perdana Menteri pertama daripada empat orang di bawah Dr Mahathir) berpendapat Dr Mahathir akan terus berusaha menjatuhkan siapa saja yang menjadi perdana menteri, sehinggalah seorang klon dirinya sendiri menjadi perdana menteri.

Sementara itu, saya mendengar ramai mengatakan perkara hampir sama, iaitu Dr Mahathir akan terus berusaha menjatuhkan seorang demi seorang perdana menteri Malaysia, sehinggalah anaknya sendiri Mukhriz duduk di kerusi perdana menteri. Itulah matlamatnya.

Dalam perancangannya, mungkin sudah ada selepas ini siapa dan selepas itu siapa, sehinggalah sampai kepada giliran Mukhriz yang sekarang menjadi menteri besar Kedah.

Mengikut teori ini, sesiapa pun yang menjadi perdana menteri Malaysia sekarang tidak akan lama duduk di kerusi kuasa itu. Dr Mahathir akan memberikan sokongannya sekejap, dan kemudian akan menarik balik sokongannya, untuk mengangkat orang lain pula, dan mengulangi cara atau proses yang sama itu sehinggalah tercapai matlamatnya untuk menabalkan Mukhriz.

Soalnya sekarang, siapakah lebih pintar daripada Dr Mahathir untuk menghalang dia melaksanakan perancangannya itu? Apakah Anwar yang mencabar Dr Mahathir sejak 1998 itu masih berkemampuan meneruskan gerakan reformasinya (tanpa Fadzil Noor), dan menghalang kemaraan tokoh yang bergerak di luar gelanggang rasmi ini?

Nampaknya buat masa ini Anwar terlalu sibuk dengan permasalahan untuk menabalkan isterinya Dr Wan Azizah ke jawatan menteri besar Selangor. Dan nampaknya jalan bagi Dr Mahathir pun tidaklah akan banyak halangannya. – 30 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments