Opinion

Apabila sungai dimatikan dan dijadikan longkang

Cintanya kepada sungai sangat luar biasa. Dia seorang jurutera, tetapi sudah pencen. Dan dalam masa yang sama dia juga menulis - cerpen, puisi, esei. Rajin menulis blog dan facebook, juga SMS dan whatsapp.

Paling dia marah apabila melihat sungai yang diperbaiki atau dijaga atau diperelokkan dengan memasang konkrit di tebingnya dan sebagainya. "Habis sungai-sungai mereka jadikan longkang," katanya. Padahal kebanyakan orang melihat itu sebagai usaha untuk menjaga, memperbaiki dan memperelokkan sungai.

"Itu bukan lagi sungai. Itu sudah jadi longkang besar." Dia selalu merungut begitu apabila kami melintasi kebanyakan sungai di sekitar Kuala Lumpur.

Saya antara faham dan tidak maksudnya apabila dia marahkan orang membina konkrit bagi menguatkan tebing sungai supaya tidak runtuh. Terutamanya sungai dalam bandar. Kalau tidak diperkuatkan tebingnya dengan konkrit simen, pastilah tebing itu akan runtuh, terutama apabila diterjah arus yang kuat selepas hujan lebat.

Kebetulan sebagai satu agenda penting dalam Himpunan Budayawan 1Muharam yang akan berlangsung di Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini, Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera) dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan satu seminar "Konflik Pembangunan".  Dia bersama seorang lagi jurutera akan memperkatakan masalah sungai dalam pembangunan.

Maka setelah berbincang dengan kawannya bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Datuk Ir Ahmad Fuad Embi, sebagai penulis dan pembentang bersama, dia pun menyiapkanlah draf makalah yang akan dibentangkan itu. Dan dimintanya saya menyemaknya.

Maka antara lain saya menemui ayat ini:"Sungai itu sesuatu yang hidup walaupun tidaklah ia berlari di padang yang terbuka mencari pelangi di kaki langit, atau ke Port Dickson untuk berkelah dan mandi manda, atau membeli belah di Leuven, Belgium. Namun, yang jelas, ia hidup. Ia hidup dengan caranya sendiri."

Ternyata jurutera yang pernah bertugas dengan JPS ini bukan seorang jurutera biasa. Dia mempunyai pandangan dan pemikiran berbeza. Dia melihat sungai itu sejenis makhluk yang hidup, lalu dia bertanya:"Kenapakah ia tidak diyakini sebagai sesuatu yang hidup sekiranya ia makan, minum, bernafas dan juga beranak pinak? Qalaupun ia melakukan semua proses hidup ini dengan caranya sendiri?"

Lebih jelas lagi, perhatilah bagaimana dia menggambarkan sungai:"Dalam keadaannya yang semulajadi, belum lagi terusik dek tangan-tangan usil manusia, sesebuah sungai itu mungkin saja berbengkang-bengkok berulang kali sebelum akhirnya mengalir ke laut. Dari udara bengkang-bengkoknya yang berulang kali itu mengingatkan kita kepada pergerakan malas seekor ular besar, terlalu kenyang."

Itu profilnya sungai di kawasan landai. Di kawasan pergunungan tempat ia bermula, lain pula "sikap dan tingkah" sebuah sungai. Katanya, "Di pergunungan, airnya garang menerjah menjerkah tebing dan segala halangan di depannya. Ya betul, watak sungai itu berubah-ubah mengikut tempat ia berpijak; garang dan cergas di pergunungan, lemah longlai bersopan santun di kawasan dataran landai."

Dan seterusnya dia menulis:"Bertebing ia - kiri dan kanan - aman damai, tenteram dan syahdu, dipayungi pepohon rimbun dan segala macam semak-samun yang menghijau.  Semak-samun itu pun juga hidup lalu merayap melata ke segala ceruk tebing. Maka dalam persekitaran yang seperti itulah berteduhnya segala binatang seperti kera, beruk, ular senduk dan siamang."

Dan tambahnya:"Perangainya juga berubah mengikut musim; letih lesu tatkala diuji dera kemarau yang panjang, tapi meletup-letup barannya bila bumi dicurahi hujan lebat."

Ayat-ayatnya memang ayat sastera. Minatnya terhadap seni dan sastera barangkali sama kuatnya dengan kecintaannya terhadap sungai. Sewaktu bekerja dengan JPS dulu dia pernah menganjurkan pertandingan menulis puisi bertemakan sungai, di peringkat kebangsaan. Hasilnya lahirlah sebuah buku antolongi puisi sungai, yang menjadi kebanggaannya. Itulah dia Kassim Muhamad.

"Menuang atau memasang bongkah konkrit ke dalam sungai samalah seperti membunuhnya." Dan ungkapannya itu katanya "bukanlah sebuah metafora, tapi itulah hakikat yang sebenarnya". Kita sedang membunuh sungai-sungai di bandar.

Kata Kassim:"Mustahil tidak ada yang tahu sesungguhnya di antara komponen penting sungai itu tanah, batu batan, pasir, kerikil, rumput rumpai, serangga, anak-anak ikan, berudu, udang, siput, cacing dan lain-lainnya? Inilah di antara makhluk dan pelbagai hidupan yang dihapuskan apabila sesebuah sungai itu dikonkritkan sehingga jadilah ia longkang besar."

Bersama dengan Ahmad Fuad Embi mereka menegaskan:"Sebenarnya kita tidak setuju malah membantah keras pendekatan satu hala (one-dimensional approach) dalam menangani masalah banjir. 'Membangunkan' sungai dengan mengkonkritkannya (yakni membunuhnya) demi menjadikannya sebuah longkang yang cekap untuk menyahkan banjir, bukanlah kaedah yang boleh dibiarkan berleluasa!

"Perlu ada kaedah lain yang lebih mesra alam, mesra hidupan, yang boleh diterokai. Ertinya aspek bio-engineeringnya mestilah diperkemas dan dijadikan satu amalan wajib (atau setidak-tidaknya diutamakan) di negara ini apabila sesebuah sungai mahu dibangunkan."

Di dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) seni budaya itu dilihat dalam satu perspektif yang sangat luas. Saya dan Kassim sering berbincang bagaimana meluaskan skop dan sempadan seni budaya itu hingga mencakupi hal berkenaan dengan sungai - bidang yang sangat rapat dengannya dan dia mempunyai kemahiran dan kepakaran mengenainya.

Misalnya, kalau dia marahkan orang mengkonkritkan tebing sungai, (kerananya dia sanggup meletak jawatan dalam sebuah syarikat swasta yang disertainya setelah pencen jabatan kerajaan), apakah dia mempunyai jawapan atau alternatifnya?

Bagaimanakah tebing sungai di dalam bandar kita hendak dikawal supaya tidak runtuh dan merosakkan bangunan dan jalan raya di sekitarnya, kalau tidak dikonkrit?

Kassim mempunyai jawapannya, dan jawapan itu sangat menarik. Namun tidaklah semua orang akan bersetuju dengannya. Saya pun tidak akan mendedahkan rahsia jawapannya itu. Anda kalau berminat hendak mengetahui jawapan yang boleh mengubah lanskap bandar kita, sekiranya kaedahnya itu dilaksanakan - silalah hadir seminar "Konflik Pembangunan" di Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak, Sabtu 25 Oktober, jam 9.30 pagi.

Selain pembentangan oleh Kassim bersama Ahmad Fuad, ada tiga lagi makalah yang akan dibincangkan dalam seminar sempena Himpunan Budayawan 1Muharam itu. Dr Shaharir Mohd Zain (Universiti Malaya) akan membincangkan tajuk "Senang Lenangnya dan Berlinangnya Pembangunan."

Apakah konflik pembangunan yang akan dibicarakan pakar Matematik yang juga banyak mengkaji manuskrip bukan sastera dalam tamadun Nusantara ini? Berdasarkan tajuknya yang agak pelik itu, pembicaraannya pun dijangka bukanlah hal yang biasa-biasa.

Manakala Ir Ansari pula, tajuk makalahnya pun tidak kurang menariknya, iaitu "Air - dekat tapi jauh, mudah tapi payah". Dan satu lagi makalah daripada seorang profesor dari Universiti Malaysia Kelantan - masih merahsiakan tajuk perbincangannya.

Seminar ini berlatarbelakang Kampung Banda Dalam, sebuah kampung yang menuntut perjuangan penduduknya bagi mengekalkan kewujudannya dalam suatu konflik pembangunan bandaraya Kuala Lumpur. Ia akan diiringi dengan persembahan seni puisi, muzik dan lagu pada sebelah malamnya, di laman Madrasah Tarbiyah. – 16 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments