Opinion

Apocalipso; yang asal dan yang menjadi

Ada yang tidak menjadi dalam pementasan ‘Apocalipso’ yang berlangsung di Dewan Senat Unisel kampus Bestari Jaya, 25 April.

Adegan empatnya tenggelam dalam muzik disco yang terlalu bingit dan tidak diperlahankan ketika pelakon mulai berdialog.

Sedangkan dialog itu sangat penting dalam teater tersebut, iaitu antara dialog yang membawa mesejnya.

Kalau dialog itu tak dapat didengar oleh penonton, maknanya mesej teater itu tidak sampai kepada penonton.

Itu menyebabkan saya agak kecewa petang itu (kerana saya pun tidak memberi respon kepada soalan pelakon yang masih dalam teruja datang meminta pandangan saya terhadap lakonannya yang baru berakhir. Maaflah!).

Sehari sebelum itu, saya sudah berpesan supaya berhati-hati dengan alat yang digunakan untuk memainkan muzik bagi adegan tersebut.

Saya katakan dalam pengalaman saya, bahagian yang kecil itu pernah menyebabkan rosaknya seluruh pementasan. Rupa-rupanya itu yang terjadi.

Apa hendak buat! Tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

“Teater itu macam tidak ada kemuncaknya,” komen kawan saya yang kebetulan sempat menonton latihannya sebelum itu, yang ketika itu muziknya diperlahankan mengikut yang sepatutnya.

“Mesej pun tidak sampai,” tambahnya. “Adegan yang menunjukkan ada pihak luar di peringkat antarabangsa mengatur konspirasi tersebut, langsung tidak timbul. Seolah-olah ia habis begitu saja. Menunjukkan muda-mudi bersuka-ria dalam disko atau kelab mereka – habis! Apa mesejnya? Tidak tahu. Semata-mata bersuka-ria.”

Memang saya kecewa. Buat teater yang semata-mata menunjukkan perancangan suatu fitnah, dan akhirnya pihak muda-mudi itu bersuka-ria kerana kerja mereka selesai.

“Dua teater yang kontras,” kata kawan saya, membandingkan 'Apocalipso' dengan 'Menunggu Kata Dari Tuhan' yang dipentaskan berikutnya.

Satu 30 minit dan satu lagi 55 minit. Memang kontras. Satu menampakkan golongan muda-mudi bercampur gaul terlompat-lompat menari dan menyanyi terkinja-kinja dengan muzik.

Yang satu lagi, monolog sahabat Rasulullah yang menyesal kerana tidak mengikut Rasulullah berjihad di medan perang.

Apakah tujuannya teater itu? Tujuan asalnya untuk menunjukkan perancangan jahat pihak antarabangsa yang menyebarkan budaya tiga serangkai “hiburan, gay dan lucah”, bagi memporak-perandakan dan seterusnya menjatuhkan umat Islam ke dalam genggaman mereka.

Di samping itu, untuk menjelaskan bahawa tuduhan liwat yang dibuat oleh seorang anak muda kepada seorang pemimpin pembangkang itu adalah semata-mata fitnah yang berkaitan dengan konspirasi antarabangsa itu.

Adegan sensasi yang digambarkan dalam pementasan itu sebenarnya adalah suatu pentafsiran terhadap skrip yang asalnya tidaklah sehebat itu sensasinya.

Tetapi apabila skrip yang mempunyai bayangan sensasi sedemikian itu diminta supaya dihayati secara agak bebas oleh sekumpulan pelajar remaja yang sedang ghairah meneroka diri – begitulah jadinya.

Apatah pula, mereka kebanyakannya terdiri daripada gadis remaja.

Bagi menjawab seorang kawan yang bertanya, “Apa tujuan hang buat teater tu?”, saya agak tercari-cari juga justifikasinya.

“Hang sudah buat 'Tamu Dari Medan Perang'. Selepas itu hang buat 'Menunggu Kata Dari Tuhan'; kemudian 'Abul ‘As Menantu Nabi'. Semuanya membawa mesej ke arah mendekatkan pelakon dan penonton kepada Islam dan kepada Allah. Yang ini langsung jauh daripada itu. Aku tidak faham apa sebenarnya tujuan hang.”

Memang sukar hendak menjawabnya. Maka saya pun terdesak untuk merenung kembali skrip tersebut.

Pertama, ia hasil daripada reaksi terhadap konspirasi fitnah oleh pihak yang merancang supaya seorang lelaki muda mengadakan sidang media mengumumkan dia diliwat oleh seorang pemimpin yang berpengaruh di kalangan masyarakat.

Perhatian saya tertumpu kepada tindakan membuat sidang media bagi mengumumkan diri sendiri diliwat. Itu satu peristiwa luar biasa.

Bagaimana media kita mengangkat peristiwa itu dan bagaimana para pemimpin yang berkuasa di negara ini melayaninya sebagai satu peristiwa yang “tidak ada apa-apa”, seperti "tidak salah pun perkara itu”.

Sedangkan sebelum ini kita tidak biasa pun memperkatakan perkara itu secara terbuka; apatah lagi mengangkat orang yang mengakui melakukannya (walaupun dikatakan dia adalah mangsa) seolah-olah dialah seorang ‘hero’ penyelamat masyarakat.

Teater ‘Apocalipso’ merakamkan peristiwa tersebut, dan bukan sekadar merakam sahaja, tetapi juga menunjukkan bahawa itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda yang masyarakat kita sedang dibawa menuju kepada kemusnahan.

Tidak perlu bom, peluru dan kereta kebal seperti di Iraq, Palestin dan Afghanistan, untuk kemusnahan ini.

Cukup dengan budaya tiga serangkai “hiburan, gay dan lucah”, kerana kesan negatifnya lebih hebat daripada dadah.

Itulah yang hendak saya tunjukkan. Itulah tujuannya.

Barangkali skripnya agak lemah untuk membawa maksud tersebut. Tetapi saya memang sengaja memikirkan (sewaktu menulisnya), sebuah skrip yang pendek dan mudah untuk dipentaskan.

Tidak banyak dialog yang perlu dihafal oleh pelakon. Tidak perlu, atau boleh dibuat, tanpa set dan props, dan tanpa teknik lampu; supaya ia mudah dipentaskan di hadapan orang ramai, di mana-mana pun.

Suasana pementasan itu sendiri pun barangkali mempengaruhi – yakni pementasan dijayakan oleh pelajar dan dibuat di hadapan pelajar di dalam kampus universiti.

Keghairahan dengan hal-hal yang sensasi itu memang wujud.

Manakala penyampaian dialog, secara keseluruhannya memang agak lemah (kecuali dua tiga orang pelakon sahaja). Terutamanya adegan tiga dan empat.

Barangkali di situlah masalahnya.

Bukanlah salah pelajar yang mengambil bahagian sebagai pelakon. Mereka semuanya belum ada pengalaman.

Baru belajar mengenal teater dan baru belajar hendak membuat pementasan, dalam masa dua bulan sahaja.

Teater hanya satu subjek, sementara itu banyak subjek lain lagi yang mereka perlu menduduki peperiksaan pada minggu selepas pementasan.

Tentulah masa amat terhad, dan mereka tentulah memerlukan latihan yang lebih lama lagi.

Namun sebagai ilmu mengenai teater, diharapkan apa yang dapat mereka pelajari selama dua bulan itu mencukupi untuk mereka menghayati teater, dan meneruskan penglibatan
selepas tamat belajar.

Bagi saya pula, pementasan pertama Apocalipso itu menjelaskan beberapa perkara mengenai skrip, yang mungkin perlu ditambah lagi di sana sini.

Adegan empat itu rasanya terlalu pendek.

Tidak sempat untuk penonton memahami suasananya, dan menangkap maksud dan mesejnya. Apatah lagi bila terganggu pula dengan muzik itu.

Apapun, ia suatu pengalaman yang sangat menarik.

Makanya saya membayangkan pengalaman kalau mementaskan ‘Teater Nabi Yusuf’ pula selepas ini. Tentulah lebih menarik pengalamannya! – 3 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments