Opinion

Apresiasi teater di kalangan masyarakat

Berjumpa seorang kawan lama ketika menonton sebuah teater baru-baru ini. Selepas menonton kami singgah minum di sebuah kedai kopi sambil berbual. Dia rupanya sedang mengetuai sebuah jabatan teater di sebuah Institut Pengajian Tinggi. Dia tahu saya ada mengajar penulisan skrip dan pementasan teater moden di universiti.

Kami bercerita dan berbincang, menyentuh pelbagai topik mengenai teater. Sempatlah saya menjelaskan kepadanya mengenai kaedah dan pendekatan saya mengajar penulisan skrip, yang saya kira agak berkesan, berdasarkan hasil kursus bersama pelajar Universiti Malaya tahun lalu. Ada kira-kira 10 skrip yang bermutu dan boleh dipentaskan.

Tetapi, kata saya, masalahnya di manakah skrip-skrip itu hendak dipentaskan? Tujuan skrip-skrip itu dihasilkan ialah untuk dipentaskan. Bukan untuk disiarkan dalam majalah atau diterbitkan sebagai buku. Apa gunanya kita menghasilkan banyak skrip-skrip yang bermutu kalau tak dapat dipentaskan?

Berdasarkan pengalaman mengendali kursus penulisan skrip dengan pelajar-pelajar tersebut saya berpendapat kita tidak ada masalah langsung dengan skrip. Yang kita bermasalah ialah kemudahan untuk pementasan, khasnya dalam soal peruntukan kewangan bagi membiayai perbelanjaan yang diperlukan. Di sinilah sebenarnya masalah teater kita di negara ini.

Apresiasi teater itu yang sangat kurang di kalangan masyarakat kita. Dalam pelbagai peringkat.

"Apresiasi teater," sambut kawan saya. "Kita memang ada satu kursus yang kita namakan Apresiasi Teater. Tetapi kandungannya mungkin berbeza. Ia lebih kepada memahami apa itu teater dan mengenali karya-karya penting yang dihasilkan oleh dramatis terkenal, dengan melihat kepada aspek seninya."

Wah, ini cantik! Fikir saya. Dia membuka ruang untuk saya mengemukakan pandangan yang sudah lama saya fikirkan.

"Ya," jawab saya, "Kandungannya mungkin berbeza sedikit. Tetapi asasnya sama, iaitu memahami apa itu teater dengan contoh karya-karya penting yang ada. Cuma saya menambahnya dengan memasukkan aspek yang lebih bersifat praktikal, iaitu menyemai dan menumbuhkan kesedaran apresiasi itu sendiri di kalangan masyarakat."

Bagaimanakah kita boleh mengapresiasi teater kalau teater itu sendiri tidak ada di kalangan kita, atau sukar untuk ditonton kerana ia jarang-jarang sekali diadakan? Manakala yang ada pula disalah mengerti atau diselewengkan pengertiannya. Misalnya Istana Budaya itu sendiri, yang pernah menjadi harapan seniman teater suatu waktu dulu, bagi saya ia banyak melakukan jenayah terhadap seni teater.

Kemunduran teater Melayu hari ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh wujudnya Istana Budaya itu. Ia dipercayakan supaya memajukan teater Melayu, sedangkan yang dilakukannya adalah yang sebaliknya. Yang dimajukannya ialah hiburan pop rock komersial, manakala seni teater yang sebenarnya sedikit demi sedikit dibunuhnya.

Bukanlah saya berhujah untuk meyakinkan kawan saya itu. Dia memang faham apa yang saya maksudkan. Saya sekadar memberi rasional kenapa aspek praktikal ini penting dimasukkan ke dalam kursus Apresiasi Teater iaitu menjelaskan kepada pelajar akan realiti status teater itu di kalangan masyarakat kita.

Satu perkara lagi ialah kefahaman akan pentingnya teater yang aktif bagi sesuatu masyarakat atau negara. Kenapa dikatakan teater itu perlu? Apakah yang boleh disumbangkan oleh aktiviti teater kepada sesebuah masyarakat/negara? Kenapa sesebuah negara perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi aktiviti teater? Kenapa teater perlu diaktifkan dalam masyarakat kita sekarang?

Tujuan kita ialah untuk memberi kefahaman yang secukupnya kepada pelajar berkenaan, agar mereka nanti (setelah bekerja) boleh mempengaruhi pihak pentadbir yang terlibat dalam pembuatan keputusan, supaya dapat menyediakan peruntukan kewangan yang diperlukan untuk menghidupkan aktiviti teater yang aktif di negara ini.

Sekarang kita ada pelbagai kursus di universiti, mengajar dan melatih pelajar bagaimana hendak berlakon, bagaimana hendak membuat pementasan - dalam aspek kreatifnya, pengurusannya dan sebagainya. Tetapi kalau aspek peruntukan kewangannya tidak ada, segala-galanya akan terbantut atau terhenti di situ sahaja.

Misalnya sekarang anda mempunyai skrip yang hendak anda pentaskan. Ke manakah anda harus pergi untuk mendapatkan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi membolehkan anda mementaskan karya tersebut? Kementerian Kebudayaan? Jabatan Kebudayaan di negeri-negeri? Dewan Bandaraya? Dewan Bahasa dan Pustaka? (Istana Budaya memang tidaklah!)? Atau di manakah sebenarnya?

Tidak ada pihak atau institusi yang akan membuka tangan menyambut kedatangan anda dengan peruntukan yang telah tersedia. Tidak ada. Kecuali dalam situasi tertentu sahaja. (Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Syed Alwi beberapa tahun dulu apabila dia berkata "Kita tidak ada institusi teater.")

Mendengar hujah itu kawan saya tiba-tiba bertanya: "Din fikir kalau kandungan seperti itu dimasukkan dalam kursus Apresiasi Teater, ia boleh memberi kesan kepada situasi teater kita hari ini? Maksud saya ia akan boleh membawa perubahan?"

Jawapan saya tegas:"Saya percaya."

Dan begitu sahaja kami berpisah malam itu. Tidak ada komitmen atau apa-apa pengakuan daripada pihak kawan saya. Kami pun sekadar berbual-bual lewat malam sahaja, selepas menonton sebuah persembahan yang agak eksperimental. Bukannya berhujah dalam satu persidangan atau seminar. Dan saya menjemput dia menonton karya terbaru saya 'Apocalipso' yang dipentaskan oleh pelajar Unisel, semalam. – 26 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments