Opinion

Beberapa kelainan dalam penulisan biografi Nik Aziz

Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), sebuah institut yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Kelantan sebaik saja Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengundurkan diri dari Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei 2013, baru-baru ini menerbitkan buku pertamanya berjudul "Tok Guru - Sebuah Biografi Awal", ditulis Habibul Izzah Ahmad.

Sudah lama saya menanti penerbitan buku ini. Pengarangnya Habibul Izzah pernah membenarkan saya membaca bahagian awal manuskrip buku yang berasal daripada kajian ilmiahnya untuk ijazah awal beliau di Universiti Malaya 1997 itu, kira-kira 3 tahun lalu. Waktu itu saya menasihatinya supaya membuang atau jangan memasukkan tulisan yang berunsur mitos dan dongeng mengenai Puteri Saadong dan seumpamanya itu, apabila manuskrip itu hendak diterbitkan nanti.

Maka itulah pula perkara pertama yang ingin saya lihat apabila buku berkenaan berada di tangan saya. Dan saya dapati apa yang saya nasihat itu rupa-rupanya tidak diikutnya. Berertinya apa? Bererti pengarangnya Habibul Izzah mempunyai alasan yang kuat mengapa dia mahu juga memasukkan bahagian berkenaan itu. Apakah alasannya yang kuat itu?

Cuba kita baca dulu apa yang saya maksudkan itu. Ini paragraf pertama teks berkenaan:

"Angin similir bertiup lesu di celah-celah rimbunan dedaun yang berbisik sayu. Sinar suria menjengah malas sekadar mengucapkan salam pada pencinta pagi, lantas menghilangkan diri di sebalik gumpalan awan putih, hitam dan gelap yang sarat mengundang mendung. Nyanyian unggas desa yang saban hari menyapa sesama sendiri, entah hilang ke mana pergi. Si Jalak dan Si Rintik seakan hilang ghairah beradu seni. Senda gurau kumbang menyeri bunga, lincahan kodok beraksi kian sepi."

Pertama, perhatikan dulu gaya penulisannya. Itu bukan gaya penulisan biografi yang biasa kita baca. Itu ialah gaya penulisan novel atau cerpen, iaitu penulisan cereka yang imaginatif. Bukan gaya penulisan fakta atau deskriptif.

Dan itu bukan pendekatan yang biasa orang menulis biografi. Barangkali pengarangnya mempunyai bakat besar sebagai penulis novel. Tidak mengapalah. Ia boleh menimbulkan kesegaran membaca.

Dan bukan pada bahagian yang menceritakan lagenda dan mitos/dongeng saja dia menggunakan gaya penulisan cereka. Pada bahagian yang ceritanya berasaskan realiti, iaitu bukan lagenda dan dongeng pun, dimulakan penceritaannya dengan gaya penulisan cereka juga. Misalnya menceritakan pemergian Nik Aziz ke India, teksnya dimulakan begini:

"Seekor gagak kelihatan sedang menyelinap nakal di sebalik deretan kotak-kotak kayu di perut kapal. Mana tahu untung nasib akan bersua dengan serpihan makanan. Sorak dan tempikan anak-anak kapal yang hingar bingar langsung tidak dihiraukan, lantaran perutnya sejak dari semalam hanya sempat diisi dengan cebisan-cebisan roti kering yang dilemparkan si mamak budiman. Sekawan gagak yang lain kelihatan berlegar-legar terbang mengelilingi layar kapal…" (ms 139).

Itulah antara kelainan dalam penulisan biografi ini. Bukan semuanya, tetapi pada bahagian tertentu. Manakala kelainan kedua ialah memasukkan unsur dongeng dan lagenda, khasnya lagenda Puteri Saadong, Cik Siti Wan Kembang dan Raja Bersiong. Kenapa ia dimasukkan? Apa hubungannya dengan kehidupan Nik Aziz?

Barangkali pengarang cuba membina hubungan tersebut. Maka dia bukan saja menceritakan lagenda itu tetapi dia juga menceritakan ekspedisi yang dilakukannya ke tempat berkenaan (seperti Bukit Marak) dalam usahanya untuk mengkaji kesan yang mungkin boleh membuktikan kebenaran lagenda tersebut.

Paling jelas ialah hubungan dengan asal-usul keturunan Raja Jembal, dan Nik Aziz dari keturunan tersebut, iaitu generasi yang ke-8. Diceritakan Raja Bersiong menemui seorang bayi di celah rumpun buluh dan seorang lagi terapung di tengah sungai. Dan itulah mitos asal-usul Raja Jembal.

Saya kurang berminat dengan cerita seperti itu. Tetapi itu tidak mengurangkan keistimewaan buku ini, yang saya anggap sangat istimewa. Ia menceritakan Nik Aziz itu bukan saja dari sejak lahirnya, tetapi sejak dia belum lahir lagi. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Nik Mat itu, ayah Nik Aziz itu siapa dia?

Bahagian yang menceritakan mengenai Nik Mat yang dikenali dengan panggilan Nik Mat Alim itu, saya rasa itu bahagian paling menarik dalam buku ini. Belum ada dalam buku lain. Buku Hussain Yaakub "Peribadi Tuan Guru" (1992) ada juga menceritakannya, tetapi tidak banyak. Buku Habibul Izzah ini memberi tumpuan istimewa kepada kisah Nik Mat Alim, bapa Nik Aziz. Seolah-olah penulisnya hendak mengatakan kerana ayahnya begitulah maka lahirnya dan terbentuknya Nik Aziz itu menjadi Tok Guru Nik Aziz seperti yang kita kenali hari ini. Ya, di situ istimewanya buku ini.

Diceritakannya bukan saja sejak ayah Nik Aziz, tetapi sejak ayah kepada ayah Nik Aziz itu - Raja Banjar. Siapa dia Raja Banjar, bagaimana perangai dan perwatakan 'gedebe'nya dan sebagainya. Namun yang terperinci ialah mengenai Nik Mat Alim. Hingga boleh dikatakan buku ini adalah juga biografi Nik Mat Alim, di samping biografi awal Nik Aziz.

Nik Mat Alim bukan saja ayah kepada Nik Aziz, tetapi dia juga adalah guru pertama kepada Nik Aziz (di samping Mek Aminah, ibu Nik Aziz, yang mengajar anak-anaknya menulis dan membaca tulisan jawi). Dan guru pertama itu bukan saja mengajar hal yang biasa diajar kebanyakan ayah, tetapi dia menjadi guru yang lebih daripada itu.

Tahukah anda, Nik Aziz tidak pernah masuk ke sekolah biasa seperti kebanyakan kita? Tadika memanglah tidak. Sekolah rendah atau sekolah kebangsaan pun tidak. Sekolah menengah pun tidak. Nik Aziz ialah produk sekolah pondok. Dan sebelum ke pondok, rumahnya adalah sekolahnya.

Selain belajar dengan ayah dan ibunya, setelah agak besar sedikit Nik Aziz dibawa ayahnya pergi belajar dengan Tok Khurasan, di Kampung Sireh, Kota Baru. Sebenarnya Nik Mat itu yang menjadi murid Tok Khurasan, bersama murid lain yang sudah merupakan guru agama. Mereka berguru pula dengan Tok Khurasan (berasal dari India) untuk mendalamkan lagi ilmu, khasnya ilmu hadis.

Tidak lama selepas itu Nik Aziz belajar di Pondok Jertih, Terengganu, sebelum bertolak ke India untuk belajar di Darul Ulum, Deoband, pada 1952. (Ini satu lagi episod menarik dalam perjalanan hidup Nik Aziz). Dan seterusnya Nik Aziz belajar sekejap di Pakistan (4 bulan) sebelum meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, 1958.

Di Universiti Al-Azhar Nik Aziz mendapat ijazah pertamanya dalam Pengajian Bahasa Arab dan ijazah Sarjana dalam Perundangan Islam. Februari 1962 barulah dia pulang ke kampungnya, Pulau Melaka, Kelantan, setelah berada di perantauan selama kira-kira 10 tahun.

Kelainan yang ketiga ialah pengarang juga menceritakan hal dirinya dan pandangannya terhadap gerakan Islam dan kepemimpinan, di bahagian akhir buku setebal 251 halaman itu, menyebabkan kita tercari-cari di manakah hubungannya dengan Nik Aziz.

Walaupun terdapat sedikit salah fakta sejarah pada Notakaki 12 di halaman 63 dan Notakaki 52 di halamana 168, ia tidaklah mengurangkan nilai buku ini, yang patut dibaca semua peminat Tok Guru Nik Aziz dan pendidik di Malaysia. – 8 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments