Asalnya ialah tekad budaya (cultural will). Kira-kira tahun 2008 dahulu, saya menghadiri beberapa majlis sastera dan budaya.
Beberapa orang tokoh sastera-budaya kita merungut dan merintih akan nasib sastera-budaya dan juga nasib orang-orang sastera-budaya.
Mereka merintih dan berharap kepada orang-orang politik supaya membela nasib mereka.
Ada yang merintih dan berkata: orang-orang politik tidak ada political will untuk membuat perubahan yang diperlukan golongan sastera-budaya (saya lebih suka guna istilah ‘seni-budaya’).
Masa itu saya terfikir – kenapa kita orang-orang seni-budaya merintih dan merayu kepada orang politik supaya membuat sesuatu untuk kita?
Kata mereka, sebab kuasa berada pada orang politik, bukan pada orang seni-budaya. Orang politik yang ada political will boleh dan mampu untuk membuat perubahan yang boleh memberi manfaat atau faedah kepada golongan seni-budaya.
Dalam konteks tersebut saya bertanya: apakah kita orang seni-budaya tidak ada kuasa? Jawapan saya: kita orang seni-budaya juga ada kuasa.
Perhatikan sejarah kehidupan manusia zaman berzaman – ia menunjukkan seni-budaya sesuatu yang menjadi fitrah dalam kehidupan. Sesuatu yang tak dapat dinafikan wujudnya, dan perlunya manusia kepada seni-budaya.
Maka saya beranggapan seni-budaya itu mempunyai haknya sendiri dalam kehidupan manusia bermasyarakat.
Justeru kita orang seni-budaya tidak perlu merintih dan merayu kepada orang politik; sebaliknya kita menuntut hak kita, atau hak seni-budaya. Kita menuntutnya pada kerajaan yang memerintah.
Dan kerajaan apabila memberi peruntukan kewangan kepada seni-budaya dia bukannya ‘membantu’ kita dengan ehsannya, tetapi dia memberikan hak seni-budaya itu kepada kita.
Kita tidak mengemis belas-ehsan pegawai kerajaan yang berkenaan. Kita menuntut hak kita atau hak seni-budaya yang perlu diberikan kepada kita aktivis seni-budaya.
Saya berkata begini kerana pengalaman berurusan dengan pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan, mereka menganggap aktivis seni-budaya mengemis bantuan daripada ehsan mereka.
Bacalah buku ‘Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya’ – banyak cerita-cerita berkenaan yang saya rekodkan dalam buku itu, untuk rujukan.
Pemikiran dan sikap seperti itulah yang kita katakan ‘tekad budaya’, yakni pemikiran dan sikap yang percaya kepada hak seni-budaya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara; dan percaya seni-budaya mempunyai hak dan pengaruhnya tersendiri dalam kehidupan.
Manakala sejarah kehidupan manusia moden menunjukkan suatu sistem dan struktur kehidupan yang didominasi dan dikawal oleh politik dan orang-orang politik; maka terjadilah seolah-olah seni-budaya itu hanya ehsan daripada orang politik; dan yang ada hanyalah tekad politik (political will) dan tidak ada tekad budaya (cultural will).
Cuba perhatikan kehidupan di sekeliling kita hari ini – masyarakat kita keterlaluan berpolitik atau berpolitik berlebih-lebih; seolah-olah segalanya dilihat dari perspektif politik, dan segala masalah hendak dan dianggap boleh diselesaikan dengan politik. Maka yang berkuasa atau memegang kuasa dalam kehidupan kita hari ini ialah orang politik.
Mereka yang menentukan itu ini dalam kehidupan – mereka yang berhak memungut cukai, mereka yang berhak menangkap orang yang mereka anggap bersalah, dan mereka juga yang berhak mengenakan hukuman dan denda ke atas orang yang didapati bersalah.
Memang semua itu dilakukan melalui proses pentadbiran, tetapi mereka mempunyai kuasa dan pengaruh terkuat ke atasnya. Dan mereka mendapat hak-hak tersebut melalui proses politik.
Sedarkah kita, atau tahukah kita, bila masanya kita serahkan hak-hak kita itu kepada politik?
Orang budaya yang sedar akan tekad budaya percaya hidup ini mesti ada keseimbangan. Berpolitik yang terlampau atau berlebih-lebih itu bertentangan dengan teori keseimbangan tersebut, dan akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Kesan negatif itu terzahir dalam pelbagai bentuk, antaranya seperti yang sedang berlaku dalam masyarakat kita sekarang – krisis dalam parti-parti politik itu sendiri, penyelewengan kuasa oleh mereka yang diamanahkan kuasa, peminggiran atau kealpaan terhadap golongan tertentu, dan sebagainya.
Seni-budaya dengan tekad budayanya berusaha untuk mengembalikan keseimbangan tersebut, dengan cara memperbanyakkan aktiviti seni-budaya dalam masyarakat, dan mendidik masyarakat supaya menghargai dan tahu menikmati karya-karya sastera dan seni-budaya.
Mudah sahaja bunyinya, kan? Hanya memperbanyakkan aktiviti seni-budaya dalam masyarakat. Memang mudah sahaja bunyinya, tetapi merealisasikannya sangatlah sukar, hingga memerlukan kepada suatu ‘revolusi budaya’.
Seperti disebut di atas, lahirnya idea tekad budaya itu kerana melihat sikap dan pemikiran orang-orang seni-budaya yang suka merintih dan merayu kepada orang politik.
Sekarang kami Seniman Paksi Rakyat melancarkan ‘revolusi budaya’ ini pun memang dengan beberapa program yang dirancang untuk dilaksanakan dengan kerjasama para pentadbir kerajaan dan juga pimpinan politik dalam kerajaan.
Namun untuk kelangsungannya, kami berharap pada perubahan sikap dan pemikiran di kalangan para aktivis seni-budaya. Tekad budaya dan ‘revolusi budaya’ inipun sebenarnya tidak ditujukan kepada semua orang. Ia ditujukan lebih kepada orang-orang seni-budaya itu sendiri.
Kita bercakap mengenai budaya yang digerakkan oleh orang-orang budaya, untuk mencapai matlamat budaya. Apabila ia digerakkan oleh orang budaya, maknanya ia tidak mempunyai kuasa politik dan tidak menggunakan pengaruh politik.
Ia benar-benar sebuah gerakan budaya. Begitu juga dengan ‘revolusi budaya’ – pun digerakkan oleh orang-orang budaya, yang tidak ada kuasa politik.
Seorang kawan saya dalam Seniman Paksi Rakyat berpendapat cabaran terbesar dalam ‘revolusi budaya’ ialah kesanggupan para seniman-budayawan kita untuk keluar dari kepompong yang menyelubungi mereka selama ini.
Sikap mereka yang umumnya dihinggapi penyakit rendah diri (inferiority complex) ―bukan merendah diri ― adalah halangan psikologi yang terbesar.
Walaupun mereka menulis dan berbicara hal-hal yang besar lagi hebat seperti keadilan, kebebasan, kezaliman – mereka sangat feudal dan sentiasa mencari ‘tuan’ untuk berlindung. Prof Shaharir Mohd Zain menyebutnya sebagai sifat ‘hambawanisme’ (keinginan mencari ‘tuan’ kerana selesa menjadi hamba).
Sifat ini masih ada di kalangan seniman-budayawan kita. Maka mereka mesti keluar daripada cengkaman itu – hambawanisme.
Dan kawan saya itu juga mengingatkan dalam Seniman Paksi Rakyat kami bermula dengan tag-line atau ungkapan pemacu semangat ‘berkata benar’.
Isu dan persoalan ‘berkata benar’ ini pernah suatu ketika dulu menjadi polemik di kalangan beberapa orang sasterawan, yang seolah-olah sangat yakin pihak yang menang (dalam politik) itulah yang menentukan kebenaran. Pandangan tersebut disanggah dengan kerasnya oleh Paksi.
Oleh itu satu lagi cabaran buat para seniman-budayawan kita ialah untuk mencari keberanian bagi menyanggah kezaliman. Apakah kita cukup bersedia untuk melakukannya?
Jadi, di manakah revolusinya? Seperti saya tegaskan tadi – ini ialah revolusi budaya, yang digerakkan oleh orang-orang seni-budaya dengan matlamat untuk memperbanyakkan aktiviti seni-budaya, dan membangunkan tekad budaya di dalam diri seramai mungkin golongan seni-budaya.
Siapakah golongan seni-budaya? Mereka terdiri daripada penulis, seniman, wartawan, ilmuwan dan pemikir.
Seniman itu termasuklah pelukis, penyanyi, pelakon, pemuzik, penari, pengukir, designer dan sebagainya. Semuanya tergolong dalam satu istilah besar ‘budayawan’.
Inilah golongan yang menjadi sasaran gerakan ‘revolusi budaya’.
Dan dengan definisi golongan seni-budaya yang disebutkan itu, dengan menerima definisi ini sahaja pun, saya percaya sudah berlaku perubahan dalam set-minda sebahagian besar anggota masyarakat kita, khasnya para pegawai kerajaan.
Dan perubahan set-minda ini pun satu perubahan yang penting. – 29 April, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments