Opinion

Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah tidak relevan

42 tahun berlalu sejak Malaysia pernah mengadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971, dianjurkan sendiri oleh Kementerian Kebudayaan (Belia dan Sukan) waktu itu. 42 tahun suatu tempoh yang sangat panjang, untuk kita tidak mempedulikan apa-apa rumusan yang dicapai dalam kongres tersebut, walau apa pun alasannya.

Memang, apa yang dikatakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu hanyalah sebuah rumusan oleh kongres tersebut. Ia tidak pernah dibawa untuk diluluskan oleh Parlimen. Tetapi itulah saja yang kita ada dan dan rumusan atau dasar itu diterima dan diguna pakai oleh kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, tokoh-tokoh budaya dan ilmuwan serta masyarakat umum selama beberapa tahun selepas kongres 1971 itu.

Selama beberapa tahun dalam dekad 1970-an itu khasnya, kita selalu merujuk kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu, dan kita masih menganggapnya penting, seperti kita juga menganggap penting soal indentiti sebagai suatu bangsa yang berbudaya dan bertamadun sendiri, berteraskan Islam. Tetapi mulai dekad 1980-an, khasnya sejak pentadbiran Dr Mahathir yang mengajar orang Melayu supaya mementingkan pencapaian ekonomi dan material, masyarakat kita pun sedikit demi sedikit mula melupakan perkara kebudayaan dan identiti warisan.

Ada orang menganggap ini sebagai akibat daripada sikap dan pemikiran 'liberal' yang dibawa oleh kepimpinan Dr Mahathir. Mungkin betul anggapan itu. Saya masih ingat lagi seminar eksklusif Dr Abu Hassan Hasbullah dengan kertasnya "Liberalisme dan Tamadun Melayu: Pembacaan dari perspektif Future Studies" - November 2008, di DBP, KL. (Rujuk buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya).

Namun, saya selalu menekankan faktor bahawa kita kehilangan kesedaran budaya, khasnya di kalangan pentadbir dan pimpinan politik. Pada masa yang sama budayawan dan intelektual kita pula menunjukkan sikap mengalah dan berserah kepada orang politik dan bisnes untuk menguasai dan menentukan corak dan cara hidup masyarakat yang baru (liberal) itu.

Minggu lalu, Azmi Ab Hamid selaku Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membangkitkan lagi soal Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini. Katanya:"Kami melihat kerajaan tidak lagi menghiraukan tanggungjawabnya untuk memastikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan diterjemahkan dalam semua acara yang dilaksanakan."

Katanya lagi: "Banyak acara yang dilulus dan disertakan juga dalam program rasmi kerajaan, bercanggah dengan dasar tersebut. Dalam acara nasional seperti sambutan kemerdekaan, tahun baru, hari belia dan pelbagai sambutan rasmi, kerajaan nampaknya sangat liberal ketika menapis persembahan yang sepatutnya dibenarkan untuk tontonan awam.

"Gara-gara mahu melayan apa yang disebut 'selera anak muda', kerajaan sendiri meluluskan persembahan kebudayaan yang sarat dengan ciri-ciri bercanggah dengan semua unsur yang ditekankan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan tersebut. Inilah yang berlaku pada sambutan Hari Belia lalu."

Azmi yang popular dengan panggilan Cikgu Azmi, menimbulkan perkara ini sempena perhimpunan agung Umno yang baru berlangsung. Di awal kenyataan medianya, beliau berkata:"Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menarik perhatian bahawa perhimpunan parti orang Melayu untuk menyuarakan nasib bangsa dalam keadaan jatidiri serta kebudayaan yang semakin musnah di bawah parti yang mendakwa membela bangsa itu sendiri, adalah perbuatan sia-sia."

Katanya:"Kami sangat kesal, nampaknya persoalan akhlak dan budaya orang Melayu yang terhakis akibat sikap kerajaan yang sangat liberal tidak menjadi perbahasan yang penting di kalangan mereka yang mendabik dada memperjuangkan Melayu."

Memang! Hal budaya dan akhlak Melayu yang sedang terhakis itu tidak lagi menjadi perbahasan dalam persidangan parti Melayu yang mendakwa memperjuangkan Melayu itu. Memang! Sebab apa? Sebab mereka sudah menganggapnya tidak penting dan tidak relevan lagi dengan perjuangan mereka hari ini.

Apa yang penting bagi mereka ialah ekonomi dan kekayaan material. Itulah perjuangan parti Melayu itu hari ini. Mereka akan buat apa saja kalau itu boleh menguntungkan mereka dan boleh menambahkan kekayaan material mereka. Soal budaya dan akhlak Melayu sudah tidak relevan, sebab ia memang tidak boleh menambahkan kekayaan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

40 tahun dahulu memanglah, bahasa Melayu, budaya Melayu dan akhlak Melayu masih relevan dan dianggap penting. Ia menjadi agenda besar perjuangan parti Melayu itu. Bahasa Melayu diperjuangkan hingga berjaya mencapai taraf bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi. Tetapi sedang ia diperjuangkan selanjutnya untuk menjadi bahasa undang-undang di mahkamah, pihak kuasawan politik Melayu mulai meragui kepentingan bahasa itu dan kemampuannya untuk menghadapi gelombang globalisasi.

Dengan rasional keraguan itulah maka dasar PPSMI dilaksanakan, tanpa peduli pada apa-apa pun lagi. Bahasa Melayu nak hilang pun biarlah ia hilang. Budaya Melayu nak hancur pun biarlah ia hancur. Warisan negara nak musnah pun biarlah ia musnah. Mereka yang di tampuk kuasa politik itu tidak nampak lagi pentingnya nilai daripada tamadun tinggi Melayu itu. Yang menjadi fokus utama mereka ialah kekayaan material.

Saya melihat September 1998 sebagai satu tarikh penting dalam sejarah pembinaan bangsa Malaysia moden. Apa pentingnya tarikh itu? Pentingnya ialah kerana pada tarikh itulah benteng akhlak dan nilai budaya Melayu-Islam dirobohkan oleh pihak berkuasa politik Melayu waktu itu, apabila mereka menyiarkan dan menyatakan secara terang di khalayak umum perkara aib yang sebelumnya tidak pernah dinyatakan demikian, disebabkan wujudnya nilai akhlak mulia Melayu-Islam.

Mulai tarikh September 1998 benteng itu dipecah dan diruntuhkan. Masyarakat Malaysia pasca-1998 tidak sama lagi dengan masyarakat Malaysia sebelum September 1998. Soal akhlak Melayu, budaya Melayu, warisan Melayu - semuanya tidak penting dan tidak relevan lagi. Biarlah musnah semuanya itu asalkan kuasa yang di tangan segelintir bangsawan Melayu yang sedang berkuasa pada waktu itu masih dapat dipertahankan mereka.

Dan "perjuangan" itu masih berlangsung dan masih diteruskan hingga ke hari ini. Perhimpunan agung Umno setiap tahun (kalau tidak ditangguhkan kerana kepentingan tertentu) menunjukkan buktinya. Tidak usahlah kita terkejut dengan apa-apa yang berlaku di situ. Kita mungkin menganggapnya ‘perbuatan sia-sia’, seperti yang ditegaskan Cikgu Azmi itu, tetapi 'sia-sia' itu mengikut penilaian kita sahaja. Dalam penilaian mereka ia tidak sia-sia.

Sebaliknya membincang atau membahaskan isu akhlak, bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan itulah yang mereka anggap sebagai ‘perbuatan sia-sia’. Makanya mereka tidak membahaskan hal tersebut.

Sesungguhnya masyarakat kita sekarang dalam keadaan yang keliru dan mengelirukan. Ini hakikat yang sangat menyedihkan. Tetapi siapa peduli? Masing-masing dengan cita-cita dan kepentingan materialistik masing-masing. Hal nilai, akhlak dan budaya yang bukan materialistik - biarlah apa pun terjadi. Nak hancur, hancurlah. Nak pupus, pupuslah. Nak hilang, hilanglah.

Suatu hari nanti, kita jangan terkejut - akan ada seorang perwakilan dalam perhimpunan agung parti itu akan membangkitkan isu "definisi Melayu" dalam Perlembagaan Negara, kerana definisi itu pun sudah tidak relevan lagi. Anda tahu kenapa ia tidak relevan lagi? Anda fikir-fikirkanlah! Atau rujuklah pada Perlembagaan itu. – 18 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments