Sambil membimbing peserta kursus penulisan skrip drama pentas selama 14 sesi (14 minggu) itu saya pun terfikir juga - untuk apa skrip-skrip drama pentas (teater) hendak dihasilkan banyak kalau pementasannya masih sukar untuk dilaksanakan, disebabkan kerajaan masih enggan memperuntukkan bajet yang munasabah untuk itu?
Tetapi saya meneruskan juga tugas membimbing itu. Alhamdulillah, beberapa orang menunjukkan bakat yang sangat memberangsangkan. Maksudnya kalaulah kita memerlukan skrip baru untuk pementasan, beberapa skrip yang dihasilkan oleh peserta kursus ini layak untuk diangkat dan dipentaskan. Karya Ayieat Farid misalnya, pasti akan meletupkan sesuatu yang boleh menggegarkan masyarakat kita hari ini. Demikian juga dengan karya Kassim Muhamad, walaupun akan menghadapi masalah dalam hal teknikal daripada segi pengarahannya.
Sebuah rumah itu tiba-tiba tidak lagi menjadi rumah manusia, tetapi rupa-rupanya rumah para syaitan, dengan sang Atok itu bapanya syaitan, walaupun tidak ada lakonan atau mekap yang meniru syaitan, dan tanpa sekali pun disebut kata 'syaitan' dalam skripnya. Hanya kepala saya yang membacanya merumuskan demikian. Maka saya tak bersetuju dengan judulnya "Suci Dalam Debu". Tak sesuai. Farid perlu berikan judul yang baru. (Tapi itu hanya cadangan. Pilihan tetap pada Farid).
Malah bukan dua itu saja skrip yang bagus. Ada lagi. Karya-karya peserta dari Bali (Indonesia) dan Bangladesh (dalam bahasa Inggeris) itu pun boleh dipentaskan. Demikian juga monodrama "Uri" karya Nik Norimani, dan beberapa lagi - daripada Firdaus dan Amera Yusof, semuanya boleh dipentaskan. Cuma soalnya di manakah skrip-skrip itu hendak dipentaskan?
Nik Norimani mungkin tidak akan menghadapi masalah untuk mementaskan "Uri”, kerana drama itu hanya memerlukan seorang pelakon sahaja. Kalau ada sedikit bajet lebih, bolehlah dimasukkan juga penyertaan beberapa orang korus bagi memeriahkan lagi persembahan itu.
Namun faktor paling pentingnya ialah Nik Norimani itu sendiri; walaupun masih belajar di tahun akhir di Universiti Malaya, dia sudah menjadi aktivis teater yang sangat aktif dan sudah banyak terlibat dengan pementasan, sebagai sinografer, pereka cahaya dan berlakon. (Pementasan teater saya "Pengisytiharan Abul 'As Menantu Nabi" di Kota Bharu 15 Mac lalu, dialah sinografernya). Maka, tentulah dia tahu di mana dan bagaimana boleh mendapatkan penganjur untuk pementasannya.
Kalau saya masih di usia sedang aktif selepas universiti dulu saya pasti teruja untuk mementaskan karya Panji Wilimantara dari Bali yang berjudul "Apa Jadinya?". Sebab apa? Sebuah karya yang kelihatannya mudah dan ringkas, berlatar hutan, gubuk usang dan anak sungai di hutan, tempat dua insan sang bapa dan anak lelakinya tinggal dengan berburu dan menangkap ikan, lalu mereka bercakap soal mengapa manusia perlu kahwin. Ternyata Panji pelajar wayang kulit ini walaupun katanya belum ada pengalaman menulis tetapi gayanya mencipta dialog yang begitu segar bersahaja membawa nada humor bersama makna yang filosofis Hindu itu - saya seperti tidak mahu percaya bahawa "Apa Jadinya?" adalah skripnya yang pertama. Mitos Jaratkaru yang dimasukkan dengan unsur teatrikal itu pasti mampu mengangkat skrip ini menjadi satu persembahan yang menarik.
Nah, itulah dia, kursus penulisan skrip teater 14 minggu yang sedang saya bimbing sekarang ini membuktikan bahawa kita sebenarnya tidak bermasalah dalam penulisan skrip, kalau kita benar-benar mengingin dan memerlukan skrip untuk pementasan. Kita sebenarnya mempunyai ramai yang berbakat. Kita boleh melahirkan ramai lagi penulis skrip teater yang boleh menghasilkan karya bermutu dan boleh memberi nafas segar kepada dunia teater.
Hanya satu masalah dan halangan besar dalam dunia teater kita yang belum dapat kita atasi, iaitu masalah kesedaran pentadbir dalam kerajaan atau pihak berkuasa dalam negara kita sekarang terhadap pentingnya aktiviti teater dan perlunya diperuntukkan sejumlah bajet mencukupi bagi mengaktifkan aktiviti teater.
Itulah masalah kita yang sebenarnya dalam dunia teater di Malaysia hari ini. Untuk menghasilkan skrip bermutu nampaknya tidak begitu bermasalah. Yang bermasalah ialah untuk mementaskannya, kerana skrip-skrip itu perlu dipentaskan. Dan itulah perkara yang sering saya ulangi kepada peserta tersebut: "Mesti ingat dalam kepala sewaktu kita menulis, bahawa tulisan kita ini adalah untuk dipentaskan, untuk dilakonkan di atas pentas, dan ada penonton yang menonton lakonan cerita yang kita tulis ini."
Pesanan tersebut penting, untuk memandu pemikiran dan kreativiti penulis skrip. Makanya dalam sesi-sesi perbincangan pun hal bagaimana sesuatu skrip itu hendak dipentaskan selalu dibangkitkan, hingga sering juga saya perlu mengingatkan, begini:
"Kita ini penulis skrip. Kenapa nak fikirkan sangat soal bagaimana adegan itu hendak dipentaskan. Itu kerja pengarah. Biarlah pengarah yang memikirkannya. Susah atau senang hendak pentaskannya, boleh atau tak boleh, itu bukan urusan penulis. Penulis hanya menyediakan bahan untuk direalisasikan ke atas pentas oleh pengarah. Kalau ia tak boleh dibuat hari ini, belum ada orang yang tahu bagaimana hendak membuatnya, tak mengapa, suatu hari nanti pasti akan ada orang yang boleh membuatnya. Tulis saja. Jangan bataskan imaginasi kamu."
Dalam skrip Farid misalnya, Habil menghentakkan kepala ibunya berkali-kali dengan seketul batu besar. Kata seorang peserta dalam perbincangan: "Biar kepala itu hancur berkecai." Bagaimana membuat itu? Biarkan sang pengarah yang memikirkannya. Biarkan itu menjadi cabaran kepada pengarah yang akan mengarah skrip itu nanti.
Demikian juga dengan skrip Kassim Muhamad. Terdapat beberapa adegan yang tak siapa pun tahu bagaimana hendak menunjukkannya di atas pentas. Tetapi tak mengapa, kata saya. Masalah itu boleh difikirkan kemudian. Sekarang tuliskan saja, kalau itu idea yang hadir dalam kepala.
Begitulah, sebuah teater itu prosesnya pasti akan mengalir menuju kepada pementasan. Maka pementasan itu mesti ada. Tak dapat tidak. Dan pementasan memerlukan peruntukan kewangan yang mencukupi, sedangkan teater bermutu itu di mana-mana pun di dunia ini bukanlah produk yang boleh dikomersialkan. Ia mesti dibiayai oleh kerajaan atau pihak yang kaya (korporat, yayasan, individu filantrofis) dan tidak mengharapkan keuntungan daripada wang yang dibelanjakan untuk teater.
Tetapi kita tidaklah pula boleh menunggu saat bertuah itu. Apa yang boleh kita lakukan sekarang perlu kita lakukan sekarang. Kalau kebetulan ada bakat di bidang penulisan yang boleh dibimbing dan diangkat menjadi penulis, kita lakukan; kerana di situ pun mungkin ada tenaga ampuh seperti Nik Norimani itu, bersama kawan-kawannya, yang mampu menemukan jalan bagi memungkinkan teater selalu dipentaskan.
Kassim Muhamad juga sudah banyak kali terlibat dalam kerja pementasan, mengkhusus di bidang pengurusan, (di samping menulis esei, cerpen dan puisi). Hanya kali ini secara serius dia mahu menulis skrip teater. Kebetulan melalui kursus ini dia menghasilkan sebuah skrip yang sangat menarik. Mengangkat sang ular menjadi suatu watak yang melengkapkan kehidupan seorang anak muda berwawasan besar. Tetapi sang ular berwawasan lebih besar, hingga akhirnya berlaku pertembungan dan pertarungan yang dahsyat.
Tentu dia pun inginkan karyanya yang luar biasa itu dipentaskan, untuk melihat sejauh mana kreativiti dan teknologi boleh saling membantu bagi mencipta sebuah karya seni yang berbeza dan menarik.
Nampaknya, seperti yang memang selalunya pun begitu, penulis tidaklah selesai kerjanya dengan sekadar menghasilkan skrip sahaja. Mereka perlu juga terus berusaha semampunya, bagi membawa hasil karya mereka itu ke hadapan penonton. – 11 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments