Opinion

Dialah seniman itu – berdiri di tengah rakyat

(Artikel ini ditulis sempena Pameran Lukisan Sasterawan Negara A. Samad Said berjudul “Hitam dan Merah”, pada 15 Mac – 5 April, di galeri Xin Art Space, Jalan Jelatik 1, Pusat Perniagaan Jelatik, Setiawangsa, Kuala Lumpur).

Hari itu saya seperti tergamam membaca berita dalam The Malaysian Insider. Sasterawan Negara Datuk A Samad Said meminta Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang supaya hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Februari. Kalau tidak, dia dan partinya PAS lebih baik keluar saja daripada PR, katanya.

Seorang seniman, seorang penulis, seorang Sasterawan Negara, bercakap demikian dan cakapnya menjadi berita utama dalam akhbar. Itulah dia seniman besar Malaysia – A Samad Said. Dia sudah menjadi ikon masyarakat Malaysia hari ini, di kalangan mereka yang menyokong pendirian dan perjuangannya mahupun yang tidak menyokong.

Wataknya bukan lagi milik sastera-seni-budaya, tetapi sudah melangkauinya. Ke luar daerah itu. Dialah seniman yang kini “berdiri di tengah-tengah rakyat”.

Ketika rakyat turun ramai-ramai memenuhi jalan raya Kuala Lumpur berarak menuju ke Istana Negara bagi menyatakan bantahan terhadap dasar gila kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), 7 Mac 2009, dialah yang berada di hadapan – memimpin himpunan tersebut bersama Pengerusi GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI), Datuk Hassan Ahmad.

Dan selepas itu sentiasalah dia bersama rakyat yang turun ke jalan raya, hingga diminta menjadi pengerusi Bersih 3.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) bersama dengan Ambiga Sreenevasan, menganjurkan himpunan Duduk Bantah, 28 April 2012. Dan banyaklah lagi langkah-langkah beraninya bersama rakyat, menentang pihak berkuasa yang zalim.

Bahawa dia juga menghasilkan karya-karya senilukis, yang membawa gaya dan bentuknya tersendiri, yang kini sudah empat kali berpameran solo, bermula daripada pameran ‘Daerah Samad’ (100 Sketches by A. Samad Said) di Galeri Petronas, 12 Jun–15 Julai 2007. Memang agak memeranjatkan pada mulanya. Samad Said juga melukis? Hingga boleh berpameran solo di Galeri Petronas?

Waktu itu saya bersama Nasir Jani baru saja (dua tahun) selesai mengikuti dan merakamkan rutin kehidupan hariannya selama tujuh hari di antara 4 Februari –5 Mei 2005, untuk sebuah video dokumentari dan buku catatan ringkas bergambar A Samad Said: Kehidupan Seorang Seniman Malaysia (2005). Saya meminta untuk merakamkan apa-apa saja yang dilakukannya sebagai aktiviti hidupnya dalam tempoh waktu tersebut.

Bagaimana dia membaca, menulis, berjalan, menonton teater, baca puisi, solat di masjid, minum di café, naik kapal terbang, LRT, memberi ceramah, melihat pameran lukisan, menjadi model untuk dilukis dan sebagainya. Namun tidak sekali pun disebutnya dia juga ada melukis.

Meneliti katalog yang diterbitkan sempena pameran 2007 itu, kebanyakan karya yang dipamerkan adalah bertarikh 2006 dan sedikit 2007, dan hanya tiga buah bertarikh 2005. Anaknya Helmy yang menguruskan karya-karya dan tahu mengenai aktiviti melukis bapanya pun mengakui Samad Said mulai melukis pada 2005.

Ertinya sewaktu kami membuat penggambaran dokumentari itu Samad tidak menyatakan aktiviti melukisnya kerana memang waktu itu dia belum lagi melukis, atau baru hendak mula, dan belum tahu lagi apakah dia akan menjadi pelukis.

Dan hal dia melukis ini pun sebenarnya bukanlah hal baru, tetapi dilakukannya sewaktu di Singapura, sebelum terkenal sebagai sasterawan lagi. Begitu juga dia pun pernah menyanyi di sana-sini di hadapan khalayak sewaktu di Singapura itu. Tetapi kemudiannya terhenti dan tidak diteruskan.

Paling mengujakan saya ialah apabila naskhah teater saya ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ itu diambil Samad menjadi skrip untuk ditekuni menghafalnya selama beberapa bulan pada awal 2010. Teks monolog solo itu banyak kali dilakonkan oleh Sabri Yunus, mengambil masa selama 40 minit.

“Tindakan ini sebenarnya adalah langkah saya yang terkini untuk lebih ke tengah masyarakat. Dulu saya hanya mencipta karya, tapi kini saya memilih untuk menjadi lebih real di tengah khalayak – di pentas kehidupan. Melalui karya ini, saya bukan berlakon; istilah setepatnya saya berdakwah.

Sebab, dalam teks ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’, yang diperjuangkan adalah bercakap benar – kata luhur! Kita wajib bercakap benar dalam segala tindakan harian kita. Jadi, kalau dilihat kata-kata saya berpindah ke warna, dan kini kata-kata itu berpindah pula ke aksi.”

Itu pengakuan Samad Said kepada Nur Hanim Khairuddin, yang mewawancaranya untuk katalog sempena pameran solo kedua Samad Said, ‘Kata Luhur’, di Balai Seni Lukis Negara, 9 April–10 Mei 2010. Catatan wawancara itu bertarikh 9 Februari 2010. (Nur Hanim ialah kurator bagi kedua-dua pameran solo Samad itu).

Sayangnya, hasrat Samad untuk berlakon teater itu tak jadi direalisasikan, oleh sebab-sebab tertentu, setelah teks itu dihafalnya dan latihan pertama dibuat di Stor Teater DBP. Namun bagi saya ia memberikan makna khas kepada watak kesenimanannya.

Dan keinginannya untuk beraksi di “tengah masyarakat” atau di tengah rakyat itu, yang tak terjadi melalui teater, telah terjadi dengan lebih merakyat lagi melalui pentas-pentas ceramah politik dalam kempen menjelang Pilihan Raya Umum, Mei 2013.

Ramai kawan-kawan penulis dan seniman tidak bersetuju dengan langkah yang diambil Samad, seperti mereka juga tidak bersetuju Samad memimpin rakyat turun ke jalanraya memprotes kerajaan dalam beberapa isu yang padanya adalah jelas menunjukkan kerajaan tidak adil, menindas dan membohongi rakyat, dan menyalahgunakan kuasa.

Dan dia hadir di tengah-tengah rakyat itu sebagai seorang seniman, membaca puisi di mana-mana dan dia pernah dikehendaki polis kerana puisi yang dibacanya – ‘Unggun Bersih’.

Ternyata Samad Said melebarkan dan memperluaskan lagi horizon makna dan peranan seniman. Sama ada disedarinya ataupun tidak.

Dan pada waktu itulah juga dia melukis. Kenapa dia kembali melukis setelah sekian lama meninggalkan kerja seninya di bidang itu? Soalan yang tak perlukan jawapan tentunya. Dia sudah pun menghasilkan sekian banyak karya lukisan.

Dan lihatlah dalam kumpulan ‘Kata Luhur’ itu – garis-garis merahnya ditampilkan dengan begitu berani dan penuh yakin, dalam bentuk-bentuk yang kasar. Tidak lagi garis-garis halus yang lembut seperti dalam ‘Daerah Samad’ sebelumnya. Dan mereka dihadirkan dalam keadaan yang mentah – seperti sapuan-sapuan yang belum siap, seperti lenggok dan tari kaligrafi yang cuba membentuk kata-kata dalam bahasanya tersendiri.

Merah. Hanya merah. Atau hanya hitam. Atau bertindih-tindan hitam di atas merah. Seperti bayang-bayang dari bangunan-bangunan tinggi di tengah-tengah bandar yang kepanasan oleh “global warming” – katanya. Ternyata Samad sang seniman menemui satu lagi medium pengucapannya.

Memang tak mungkin kita membaca gurisan-gurisan warna atau sketsanya itu seperti kita membaca karya sastera. Alangkan susunan bahasa puisi pun kadang-kadang sukar kita membaca dan memahami makna dan maksudnya; inikan pula bahasa lukisan yang hanya warna dan garis!

Namun sang seniman tentunya telah menyatakan sesuatu atau pelbagai pernyataan melalui penghasilan karya seninya itu. Barangkali dia menyatakan kemarahannya, atau keriangannya, atau kesyukurannya, atau dia sedang asyik berbicara dengan dirinya. Dan yang pentingnya dia memberikan sesuatu yang sangat berharga kepada kita. Apa pun lah!

Marilah menghayatinya, atau menerimanya, sepertimana pun yang mungkin bagi anda! Dialah itu – seniman yang berdiri di tengah rakyat. (Jangan lupa: 15 Mac – 5 April). – 11 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments