Lee Kee Hiong, Adun Kuala Kubu, tentunya gembira dan berpuas hati dengan program “Seni & Masyarakat” yang kali pertama diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 8-10 Oktober 2015.
Maka segera diadakannya pula kali ke-2 pada 25-26 Disember ini.
Mudah pun!
Sebuah program seni-budaya sebesar itu. Tiga hari meraikan seorang seniman dengan pelbagai acara, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, seorang Adun biasa sahaja, bukannya Exco pun; mudah sahaja dibuatnya.
Tidak komplen langsung soal bajet.
Tidak perlu kertas kerja pun, dan tidak perlu mesyuarat sampai berkali-kali. (Bukannya mesyuarat berkali-kali tapi tak jadi-jadi, macam program dengan seorang exco tu).
Dan sepanjang acara 3 hari itu dia sentiasa ada bersama dalam acara. Tidak nampak dia sibuk pun. (Padahal cubalah buka FB dia kalau nak tahu bagaimana khidmat dia kepada masyarakat Kuala Kubu).
Kali pertama itu “3 Hari Bersama SN A.Samad Said di KKB”. Kali ke-2 ini “Dua Hari Bersama Prof Dr Siti Zainon Ismail di KKB”.
Walaupun kali ini hanya 2 hari, kurang sehari, tetapi acaranya tidaklah kurang.
Pada hari ke-3, 27 Disember, acara sebenarnya belum berakhir. Ia hanya berpindah ke lokasi bersebelahannya, Batang Kali, untuk program “Ziarah Karyawan Sempadan Tahun”.
Program pimpinan Yassin Salleh ini akan berlangsung daripada pagi 27hb hingga ke awal pagi 28hb.
Ada beberapa kelainan pada Seni & Masyarakat (S&M) kali ini. Bukan sahaja seniman yang diraikan itu berbeza, tetapi acaranya juga berbeza.
Paling menarik bagi saya ialah acara petang Sabtu, yang akan diadakan di Kampung Jawa, Kerling.
Acara ini dibuat santai-santai sahaja, sambil minum petang sambil berbual-bual, di kelilingi suasana kampung, berhampiran dengan sungai yang jernih airnya.
Sengaja dipilih lokasi ini kerana Paksi (Seniman Paksi Rakyat) ingin mengajak para penulis dan seniman mendekati sungai, dan bercakap mengenai sungai.
Acara ini juga merupakan bermulanya program “Penjernih Sungai” Paksi.
Suatu program yang bertujuan mengajak masyarakat melakukan perkara yang bermatlamat untuk menjernihkan air di sungai yang dipilih.
Program ini melibatkan penglibatan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai yang dipilih itu.
Paksi memilih sebuah anak sungai di Kuala Kubu, dan masyarakat di sekitarnya, bagi memulakan program ini.
Satu lagi acara menarik dalam program S&M ke-2 ini ialah interaksi seniman dengan masyarakat di suatu pasar pagi di bandar KKB, pada Sabtu 26hb.
Seperti mana-mana pasar pagi pun, orang memang ramai untuk membeli-belah keperluan harian.
Maka kita memilih saat dan suasana khas ini untuk diterjuni para penulis dan seniman, sesuai dengan namanya program ini “Seni & Masyarakat”.
Pagi itu semua peserta menikmati sarapan di gerai di dalam pasar itu. Kemudian dibuat sedikit acara pengenalan ringkas kepada para pengunjung dan peniaga pasar itu mengenai apa yang akan berlaku di situ.
Juga pengenalan ringkas terhadap seniman yang diraikan, Siti Zainon Ismail.
Sementara itu beberapa gerai dan kaunter jualan buku pun dibuka di sekitar pasar, termasuk kereta Ujana Buku dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Lalu Siti Zainon dan para seniman akan bergerak menemui dan menyantuni orang ramai di dalam pasar.
Sambil itu beberapa orang seniman yang bergerak itu turut menawarkan buku kepada pengunjung pasar.
Siti Zainon memang terkenal dengan kemahirannya melukis sketsa. Tentunya sambil berjalan-jalan dan menyantuni orang-orang di pasar itu dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk melukis.
Ada beberapa orang lagi pelukis yang sudah menyatakan kesediaan mereka untuk turut melukis bersama dengan Siti Zainon di pasar itu.
Sementara itu ada juga penyair yang membaca puisi di situ. Maka orang ramai yang sedang membeli-belah pun sempatlah juga menikmati puisi pada pagi itu.
Ah, saya sangat teruja dengan program istimewa ini.
Alangkah cantiknya kalau ada pula penyanyi yang basking di situ. Siapakah dia si pemetik gitar itu ya?
Satu lagi acara istimewa ialah “Bicara Kesenimanan Siti Zainon Ismail”, yang akan berlangsung di Galeri Sejarah KKB pada malam 25hb.
Membicarakan keseluruhan Siti Zainon sebagai penulis puisi, cerpen, novel dan esei budaya; juga sebagai pelukis, pakar busana warisan Melayu, aktivis budaya, dan pengkaji seni warisan Nusantara keseluruhannya.
Istimewanya acara ini ialah pembicaranya seorang Sasterawan Negara – Muhammad Hj Salleh.
Kita mengundang SN Muhammad Hj Salleh kerana dialah orang yang paling mengenali Siti Zainon, dan paling layak untuk bercakap mengenai kesenimanan Siti Zainon.
Bacalah misalnya apa yang ditulis Siti Zainon sendiri, di dalam Facebook-nya (21 Disember, 2015), mengenai Salleh di waktu mereka masih muda dulu:
“Seorang Prof muda yang ikhlas menyaran saya belajar lagi dan saya dengan penuh kepercayaan diri membuktikan seni warisan lebih dihargai. Terima kasih Prof memberi saya kepercayaan, ilmu dan kesenian rakyat perlu diselidiki.”
Acara lain dalam program S&M (II) ialah bicara “Adab Berbusana Cara Melayu” yang akan disampaikan Siti Zainon, di Galeri Sejarah KKB, pada jam 3.00 petang hari Jumaat.
Diikuti dengan lawatan ke Pameran Lukisan Siti Zainon Ismail, di Galeri Seni & Sastera Hulu Selangor.
Pada petang hari ke-2 pula, sebelum minum petang di Kampung Jawa, Kerling, akan diadakan bicara buku di Perpustakaan Syed Mashor KKB. Khabarnya novel “Pulau Renik Ungu” akan dibicarakan novelis Mohamad Kholid.
Di perpustakaan itu juga pada petang itu akan berlangsung mini pameran buku karya Siti Zainon. Juga akan diadakan pertandingan melukis untuk kanak-kanak.
Acara kemuncaknya, persembahan Malam Seni-budaya, akan didakan di pentas khas di Kampung Jawa, berdekatan dengan sungai yang jernih airnya tadi.
Pihak penganjur sudahpun menjemput penduduk kampung berhampiran, untuk datang beramai-ramai menyaksikan sejenis seni persembahan yang mungkin belum pernah mereka saksikan sebelum ini.
Dengan itu berakhirlah sebuah pesta “seni untuk masyarakat” di daerah KKB, dan akan bersambung pula dengan sebuah pesta seni yang lain pula, dinamakan “Ziarah Karyawan Sempadan Tahun”, di Kem Seri Satria Kamal Amir, Hulu Rening, Batang Kali, tidak jauh dari KKB.
Antara acara dalam program pimpinan Yassin Salleh ini ialah bicara “Cendekia Falsafah Karyawan”; pelancaran 6 buah buku karya Kerabat Ziarah Karyawan, Raja Ahmad Aminullah; dan “baca sajak sepuasnya sampai fajar, sambil menikmati sajian kopi O, ubi rebus, lempeng pisang dan jagung bakar”.
Siri program Ziarah Karyawan anjuran Kerabat Pelaksana Ziarah Karyawan ini beberapa kali diadakan di beberapa tempat seperti di Sik (Kedah), Janda Baik (Pahang), Tanjung Malim, dan Melaka.
Ada beberapa orang penulis dari Singapura dan Indonesia yang sudah menjadi sebahagian daripada keluarga besar mereka. – 24 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments