Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama PAS Kawasan Batu meneruskan lagi usaha mereka "mengembalikan" Harakah kepada landasan awalnya, sepertimana sebelum ini Paksi pernah mengadakan kempen mengembalikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada landasannya, hinggalah Datuk Dr Awang Sariyan dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP (awal 2012).
Tak kiralah samada kempen itukah yang akhirnya "menyelamatkan" DBP yang waktu itu dikatakan sedang tenat, ataupun semua itu terjadi daripada proses yang lain, hakikatnya Paksi memang melakukan kempen berkenaan secaranya tersendiri (bersama dengan Gerakan Darurat Bahasa atau GDB, yang dipimpin presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid).
Itu terjadi pada 2011. Bermula dengan majlis baca Yasin dan puisi di warong kopi di depan bangunan lama DBP, yang dihadiri oleh tokoh budaya sahabat Paksi termasuk Sasterawan Negara, A Samad Said dan Prof Shaharir Mohd Zain pada Mac, dan diikuti beberapa acara lagi di warong tersebut, termasuk menyambut ulang tahun ke-55 penubuhan DBP, pada Jun.
Apakah untuk Harakah kali ini pun perlu dibuat baca Yasin juga seperti untuk DBP yang tenat dulu itu?
Rasa-rasanya Harakah belumlah sampai ke tahap tenat. Cuma cara pengurusannya meladeni pekerja wartawannya agak "kurang ihsan" mengikut akhlak Islam, atau kalau ikut istilah Cikgu Ishak Surin (YDP Pas Kawasan Batu), “zalim dan tidak Islamik”.
Bagi sebuah institusi yang letaknya langsung di bawah kepimpinan pusat PAS (parti yang mendakwa segala-galanya berkaitan dengannya adalah Islam), dakwaan atau kenyataan YDP PAS Batu itu adalah sesuatu yang sangat serius.
Tentunya Cikgu Ishak tidak akan membuat kenyataan atau dakwaan begitu saja-saja suka-suka, kerana membuat dakwaan demikian itu pun adalah suatu perkara yang serius.
Sangat serius. Apatah lagi Cikgu Ishak pun adalah orang dalam PAS sendiri. Seorang tokoh veteran yang dikenali sangat kuat berpegang pada prinsip. Dan dia sendiri adalah pengasas suratkhabar Harakah itu, pada awal tahun 1987, bersama dengan Rahim Kassim dan Yusuf Jalil.
Ada perkara yang memang tidak betul telah dan sedang berlaku dalam pengurusan Harakah. Ketika Naib YDP PAS Batu, Tarmizi Md Jam diberhentikan daripada jawatannya sebagai Pengarang Harakah pada 1 Oktober 2014, Cikgu Ishak tidak berbuat apa-apa.
Tetapi apabila Roslan Hamid pula diberhentikan pada pertengahan Disember, dan serentak dengan itu kolum Wacana Budaya juga dihentikan, dan Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman juga diminta berhenti, Cikgu Ishak tak dapat lagi menahan dirinya daripada bertindak.
“Mereka sudah melampau,” katanya. “Mereka hendak menyekat PAS daripada berkembang dan maju sesuai dengan keperluan zaman ini. Almarhum Ustaz Fadzil Noor bersama Tok Guru Nik Aziz telah membawa PAS maju ke depan hingga diterima oleh masyarakat kita yang pelbagai kaum dan agama, tiba-tiba sekarang mereka nak bawa PAS balik ke zaman Datuk Asri dulu. Ini tak boleh dibiarkan.
“Mereka ni cuma segan dengan Tok Guru Nik Aziz saja,” katanya lagi.
“Kalau tak kerana Tok Guru Nik Aziz, PAS dah rosak dah. Sekarang Tok Guru Nik Aziz uzur, sudah tak berdaya untuk menghalang mereka, tengoklah apa yang mereka buat! Saya memang tak percaya lagi dengan puak-puak ini.”
Seterusnya, Cikgu Ishak mengatakan terdapat ramai lagi pimpinan PAS pelbagai peringkat yang sedar akan "bahaya" yang sedang melanda parti mereka, tetapi kebanyakan mereka tidak berani hendak bangkit bertindak kerana nak menjaga imej PAS agar jangan tercemar.
“Tetapi sekarang imej PAS sudah tercemar,” katanya.
“Semua orang tahu. Tak dapat nak sembunyi lagi. Zaman sekarang mana kita boleh sembunyi perkara macam itu. Orang dah tahu semua. Cuma puak-puak mereka yang berapa kerat itu saja yang belum sedar.”
Dan Cikgu Ishak menegaskan dia amat sedar apa yang dilakukannya. Bukan dia mencemarkan imej PAS, tetapi imej PAS memang sudah tercemar, katanya. Dan dia bertindak bagi menyekat proses pembobrokan di dalam PAS itu daripada terus menjadi parah.
“Aku bukan menyerang dan memburukkan parti PAS,” jelasnya bagi mengelakkan salah faham.
“Aku cuma mengkritik beberapa individu dalam saf kepimpinan sahaja. Sebab itu aku menyeru Mustafa Ali supaya berhenti daripada menjadi pengerusi Harakah. Apa yang dia buat di situ selama bertahun-tahun, kalau kebajikan wartawan yang hanya berapa orang itupun dia tak boleh ambil tahu?
“Aku malu, Din. Sebagai pengasas Harakah aku juga berasa bersalah kalau Harakah diuruskan dengan cara yang bukan seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Apa orang kata, tidak Islamik. Itu aku rasa berdosa kalau aku tak tegur tu!”.
Memang dia nampak beremosi juga ketika bercakap mengenai perkara ini. Tetapi dia menegaskan berkali-kali bahawa dia sedar apa yang dilakukannya, dan dia bertanggungjawab serta bersedia menghadapi akibatnya.
Bagi Paksi, mereka bukanlah hendak bermain dengan api politik apabila mereka bergabung dengan Cikgu Ishak dan PAS Batu menganjurkan program pendedahan Harakah.
Seperti disebut di atas, sebelum ini pun Paksi pernah menjalankan program yang hampir sama – iaitu kempen bagi menyelamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedang sakit tenat pada tahun 2011.
Kini Paksi menganggap mereka menjalankan kempen yang sama, bagi menyelamatkan sebuah penerbitan akhbar yang sepatutnya mengamalkan pengurusan secara Islam, agar dapat dicontohi pengurusannya oleh pihak lain, di samping memperjuangkan hak kebebasan bersuara.
Saya sendiri mempunyai "bukti" cukup mengesankan dalam hal kepemimpinan PAS yang enggan menerima teguran dan kritikan, iaitu kepemimpinan Ustaz Azizan Ab Razak sewaktu menjadi menteri besar Kedah.
Saya melihat unsur negatif dalam kepemimpinan yang pantang dikritik itu, lalu mengambil sikap menjauhkan diri daripadanya, hinggalah ia berakhir dengan kekalahan PAS pada PRU13 yang lalu.
Maka saya berkata kepada diri sendiri, cukuplah membiarkan yang satu itu musnah kerana semua orang akur dengan kehendaknya dan mengumpulkan segala pujian kepadanya, sedangkan adab dan akhlak Islam tidak menggalakkan yang sedemikian itu.
Dan semoga kata-kata “kepimpinan ulama” tidak menjadi topeng slogan yang sendirinya mencemarkan kesucian, keadilan dan kebenaran Islam. – 25 Januari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments