"Mereka sibuk dengan urusan parti Islam baru yang akan ditubuhkan tak lama lagi. Dan kami pun sibuk dengan urusan beberapa program seni budaya..."
Itu posting saya dalam Facebook (FB) beberapa hari lalu. Dan saya pun sebutlah beberapa program itu - 25-28 Julai, Hening Puisi Paksi di Tanjung Sedili; 4 Ogos, Sidang Meja Bulat Seni budaya Selangor, di Shah Alam; 8-9 Ogos, Seminar Falsafah Malaysia (ke-3), di Madrasah Seni, Kuala Lumpur; 14 Ogos, Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS), program bulanan Paksi; 21-22 Ogos, Bengkel Penulisan Banjir, Gua Musang, Kelantan.
Saya terpanggil untuk menyatakan demikian dalam media sosial itu kerana melihatkan keghairahan yang luar biasa, di kalangan kawan seni budaya juga, terhadap satu pergolakan baru dalam senario politik kita hari ini. Sebelum itu saya juga mencatatkan pandangan peribadi saya (dalam FB) yang kurang seronok dengan keghairahan tersebut.
Mengapa harus terbawa-bawa dengan keghairahan berpolitik yang berlebih-lebih itu? Bukankah terjadinya perkembangan terbaru itu, yang dikatakan kita memerlukan sebuah parti politik yang baru itu, (bukankah itu) adalah disebabkan oleh, atau akibat daripada kita yang terbawa-bawa dengan keghairahan berpolitik berlebih-lebih sebelumnya?
Memang beberapa orang ahli Paksi (Seniman Paksi Rakyat) sendiri terlibat dan dilibatkan dalam beberapa program dalam Gerakan Harapan Baru itu (di Sri Gading, Johor dan di Vistana Hotel, Kuala Lumpur). Paksi bukannya NGO seni budaya yang anti politik. Tidak. Paksi sentiasa bersikap mesra politik.
Tetapi dalam masa yang sama Paksi juga menganjurkan agar keghairahan berpolitik berlebih-lebih itu dikurangkan (atau dirasionalkan), serentak dengan aktiviti seni budaya diperbanyakkan, agar lahir suasana yang agak seimbang di antara keduanya; kerana suasana yang seimbang itu amat diperlukan oleh masyarakat yang bertamadun tinggi, yakni masyarakat yang sentiasa menyanjung tinggi nilai kemanusiaan.
Dan itulah dia Hening Puisi di Tanjung Sedili itu. Kata kuncinya ialah 'kemanusiaan'.
Apa maksud 'Hening Puisi'? Pada mulanya istilah yang digunakan ialah 'Retreat Puisi'. Kita selalu mendengar orang menganjurkan program 'retreat' beberapa hari ke sesuatu tempat, untuk lari daripada kesibukan kerja dan sebagainya, dan memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.
Rakan seniman Paksi turut merasakan keperluan itu - untuk tinggalkan urusan yang pelbagai itu buat sementara, dan beri tumpuan kepada puisi, bagi meningkatkan kreativiti penulisan masing-masing.
Dan entah bagaimana, timbul cadangan untuk ke Sedili, kampung kelahiran penyair besar kita Usman Awang, dan memilih puisi kemanusiaan Usman Awang sebagai fokus dalam retreat tersebut.
Tetapi kenapa mesti 'retreat'? Apakah tidak ada perkataan Melayu yang boleh membawa maksud yang sama? Maka kami pun mencari dan mencari, pelbagai perkataan dicadangkan - 'permukiman', 'perkampungan' dan sebagainya, dan akhirnya kami bersetuju dengan kata 'hening' ('hening cipta'). Walaupun ia bukan terjemahan yang tepat, tetapi ia boleh membawa maksud yang dihasratkan.
"Hening Puisi". Ia bukan bengkel dan bukan kursus. Ia suatu program santai sesama kawan penyair, dengan tujuan untuk mengasah semula dan meningkatkan kreativiti kepenyairan masing-masing.
Dipilih Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor sebagai tempatnya, mengambil sempena tempat kelahiran penyair legenda Usman Awang, yang terkenal dengan karyanya yang menjulang tinggi nilai kemanusiaan. Dengan sendirinya puisi Usman Awang menjadi rujukan dalam apa juga aktiviti yang dijalankan sepanjang program hening ini.
Dan rupa-rupanya pemilihan tempat Tanjung Sedili itu, berserta dengan Usman Awang sendiri sebagai sumber rujukan dan inspirasi untuk kreativiti puisi, menarik perhatian ramai penyair Malaysia untuk ikut serta, termasuk penyair terkenal dan lama pengalaman kepenyairannya, seperti Yassin Salleh, Siti Zainon Ismail, Wan A Rafar dan Raja Ahmad Aminullah.
(Manakala ramai lagi yang lain turut menyatakan minat tetapi tak dapat ikut serta disebabkan halangan tertentu).
Alhamdulillah, memang sasaran Paksi mengehadkan penyertaan kepada 20 orang sahaja, dengan mengenakan syarat setiap peserta hendaklah menyerahkan 3 puisi masing-masing yang bertema kemanusiaan, dan bersedia untuk bercakap mengenai mana-mana satu karya Usman Awang dalam sesi diskusi puisi sepanjang waktu 'hening' selama 4 hari 3 malam itu.
Tidak ada tokoh sastera atau tokoh puisi yang diundang untuk membentang makalah mengenai puisi atau mengenai Usman Awang kepada peserta hening. Dikira itu tidak perlu, memandangkan di kalangan peserta sendiri pun sudah ada beberapa orang yang berkelayakan demikian.
Yang diundang hanya 2 orang sahaja. Dr Syed Husin Ali, kerana hubungan akrabnya dan kefahamannya mengenai ketokohan, keperibadian dan kesenimanan Usman Awang; dan Tan Kai Hee kerana minatnya yang tinggi terhadap Usman Awang hingga mendorong dia menyumbangkan RM1 juta bagi penubuhan Yayasan Usman Awang.
Kebetulan juga Yayasan Usman Awang adalah penyumbang kewangan utama bagi program ini, di samping Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Demikianlah satu daripada program seni budaya yang sedang dianjurkan Paksi pada masa ini. Memanglah program ini nampaknya sebuah program yang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan pelbagai program yang dijalankan oleh parti-parti politik di negara kita yang menimbulkan suasana sibuk dan heboh itu.
Tetapi apabila kita perlu bercakap tentang kemanusiaan dan nilainya yang semakin hilang dalam masyarakat kita hari ini, apakah yang lebih besar dan bermakna daripada puisi Usman Awang dan pengaruh yang boleh diserapkannya ke dalam jiwa dan kesedaran manusia, sekiranya kita mahu melakukannya?
Maka saya sebenarnya tidak melihat program "Hening Puisi Paksi di Sedili" ini sebagai sebuah program kecil yang tidak boleh dibandingkan pentingnya dan relevannya dengan program 'besar' yang dianjurkan parti politik. Program Hening Puisi ini sebenarnya sedang memulakan satu agenda seni-budaya yang akan disusuli dengan banyak lagi program kemanusiaan dalam siri 'Tekad Budaya' yang sedang digerakkan Paksi.
Artikel ini ditulis waktu program Hening Puisi belum lagi bermula. Kita hanya berharap ia akan berjaya dan mencapai apa-apa yang dihasratkan dengannya. Maka kerana ia belum lagi terjadi eloklah saya pun tak usah banyak menceritakan apakah pentingnya dan apakah relevannya ia dalam pergolakan sosiopolitik kita hari ini.
Insya-Allah saya akan menceritakannya nanti apabila selesai ia dilaksanakan. Ingat - kata kuncinya ialah 'kemanusiaan'. Sebuah nilai yang kerana diabaikan ia dalam pelbagai sistem dan struktur kehidupan kita hari ini, mengakibatkan pelbagai masalah sosial dan psikologi tumbuh dan merebak hingga ke tahap yang sangat kritikal sekarang.
Memang sebuah program kecil seperti Hening Puisi di Sedili ini bukanlah jawapan kepada pelbagai masalah sosial dan psikologi yang dimaksudkan. Namun kata kunci 'kemanusiaan' itu mesti dihidupkan dan digerakkan, walaupun bermula dengan sesuatu yang nampaknya kecil saja! – 29 Julai, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments