Seniman Paksi Rakyat (Paksi) mengehadkan penyertaannya kepada 20 orang sahaja. Untuk duduk santai-santai di sebuah resort di tepi laut, di daerah kelahiran Usman Awang di Tanjung Sedili (Kuala Sedili), Kota Tinggi, Johor; sambil cuba “menghayati” mesej kemanusiaan dalam karya-karya penyair besar itu dan cuba mengenali kesenimanannya dengan lebih mendalam lagi.
Tujuan Paksi asalnya untuk meningkatkan kreativiti atau mutu penulisan puisi di kalangan ahli-ahli. Itu sahaja. Hanya Paksi percaya untuk tujuan itu maka yang diperlukan bukanlah kemahiran teknikal, tetapi yang lebih diperlukan ialah pengisian ilmu, pemikiran dan sikap diri.
Maka itulah sengaja dipilih lokasinya itu daerah kelahiran Usman Awang dan sengaja dikenakan syarat penyertaan mestilah dengan mengemukakan 3 buah puisi bertema kemanusiaan hasil karya sendiri.
Mulanya Paksi bercadang menjemput 2 atau 3 tokoh untuk hadir berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai Usman Awang dan karya-karyanya sepanjang tempoh 4 hari 3 malam itu. Tetapi apabila penyertaannya dibuka melalui fesbuk (Facebook) dan yang menyahut tawaran ialah nama-nama seperti Yassin Salleh, Siti Zainon Ismail, Raja Ahmad Aminullah, Wan A Rafar dan Daeng Ramliakil, maka cadangan tersebut pun dibatalkan, kecuali seorang iaitu Syed Husin Ali.
Dibatalkan, kerana di kalangan 20 peserta itu sendiri pun sudah ada yang boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan itu. Manakala daripada Syed Husin Ali pula pengalaman daripada kedudukannya yang paling rapat dengan Usman itu, tak mungkin ada orang lain boleh berkongsi seperti dia.
Hanya dia seorang sahabat Usman Awang yang mengenali bukan sahaja peribadi Usman tetapi juga aspirasi dan perjuangan kemanusiaan dan kerakyatannya.
Dan Alhamdulillah, Syed Husin Ali hadir ke program “Hening Puisi Paksi di Sedili” pada petang 26 Julai itu, sebaik sahaja kami selesai berkunjung ke rumah Zul adik Usman – satu-satunya waris Usman Awang yang masih bermastautin di daerah itu.
Selepas ke rumah tersebut, yang didirikan oleh Usman untuk ibunya, kami ke pekan kecil Tanjung Sedili untuk menggantung gambar poster Usman Awang di beberapa restoran di situ. Gambar poster itu memang dibuat khas beberapa keping untuk dihadiahkan kepada restoran-restoran, sekolah-sekolah (7 buah sekolah rendah dan sebuah menengah) dan dewan orang ramai di daerah itu.
Tujuannya supaya mereka yang melihatnya, khasnya orang tempatan, akan tahu Sasterawan Negara Usman Awang itu adalah anak kelahiran Kuala Sedili (ini dilakukan berikutan kunjungan kami ke situ beberapa bulan sebelumnya mendapati kebanyakan orang yang ditemui dan ditanya mengenai Usman Awang mengatakan mereka tidak tahu).
Turut dihadiahkan ke sekolah-sekolah ialah buku-buku karya Usman Awang (disumbangkan oleh Yayasan Usman Awang) dan buku-buku terbitan Paksi.
Sesi pagi esoknya 27 Julai diisi dengan penceritaan Syed Husin Ali mengenai Usman Awang yang dikenalinya. Banyaklah cerita yang belum pernah ditulis di mana-mana mengenai Usman Awang, diceritakan oleh Syed Husin pada pagi itu.
Dan sebelum itu Siti Zainon Ismail menjadi orang pertama menceritakan pengalaman hidupnya yang melibatkan kehadiran Usman Awang, khasnya di dalam aspek pertumbuhan kesenimanannya – bagaimana Usman memberi sentuhan suntingannya ke atas puisi-puisi awalnya dan sebagainya. Juga dari segi perwatakan peribadi Usman yang dikenalinya, yang memperlihatkan nilai-nilai kemanusiaan yang dihayati Usman.
Selain Siti Zainon, Yassin Salleh, Wan A Rafar dan Raja Ahmad juga turut menceritakan versi pengalaman masing-masing, yang semua itu tentunya sangat bermanfaat bagi penyair-penyair muda yang menyertai program ini – Rozan Azen, Raja Yusof Ariffin, Arif Atan, Amni Jagat, Tun Teja, H.Fansuri, Lena Farida Chin dan Eddy Hashim.
Bagi peserta-peserta lain yang tidak lagi muda seperti Daeng Ramliakil, Kassim Muhamad, Mohd Nasser, Tun Kreatif, Chan Yong Sin dan saya sendiri, dan malah Haslina anak Usman Awang sendiri yang hadir bersama anak remajanya Katriyana – pun tentunya dapat mengutip banyak faedah, kreatif mahupun bukan kreatif, daripada penceritaan dan perbincangan berkenaan.
Peserta juga berbicara mengenai sebuah karya Usman Awang yang paling diminatinya. Maka pilihan saya tentulah puisi 1954 berjudul “Pak Utih”, dengan baris pertamanya yang sentiasa melekat di kepala saya: “Punya satu isteri mau dakap sampai mati”, dan diikuti: “lima anak mau makan setiap hari/ teratak tua digayuti cerita pusaka/ sebidang tanah tandus untuk huma.”
Bayangkan puisi ciptaan sebelum Merdeka itu isi kandungannya yang mengkritik suasana politik zaman itu masih lagi relevan hingga ke saat ini: “Di kota pemimpin berteriak-teriak/ pilihan raya dan kemerdekaan rakyat/ seribu kemakmuran dalam negara berdaulat/ jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.”
Dan puisi itu ditutup dengan larik yang berimpak besar seperti pembukanya juga. Meninggalkan soalan yang masih bergema ke hari ini: “Pak Utih masih menanti dengan doa/ bapa-bapa pergi ke mana di mobil besar?”
Dan seterusnya – A Samad Said adalah kehadiran yang paling istimewa dalam Hening Puisi ini. Dia hadir bersama isterinya Rashidah daripada hari pertama 25 Julai hinggalah ke hari akhir 28 Julai. Dan dia mengikuti (tanpa banyak bicara) setiap sesi dengan tekun seolah-olah dia pun sebahagian daripada peserta, termasuk sesi yang membincangkan puisi-puisi wajib bagi penyertaan – salah satu sesi yang sangat bermakna bagi setiap peserta.
Namun ada satu yang mengejutkan. Sangat mengejutkan terutama bagi saya yang sama sekali tidak menduganya, dan juga tidak menduga kesannya begitu mengharukan emosi saya sendiri tanpa mengerti mengapa; iaitu apabila Samad Said membuat seruan terbuka kepada Siti Zainon Ismail agar segera kembali ke kampung kelahirannya Kampung Banda Dalam, mengisi perjuangan yang sedang berlangsung, dengan meninggalkan apa saja komitmen duniawi yang sedang ditunaikannya pada masa ini.
Saya merasakan itu peristiwa yang sangat bermakna. Dan dialog spontan yang terjadi antara mereka berdua (A Samad Said dan Siti Zainon Ismail) di tengah-tengah khalayak penyair Malaysia yang walaupun tak ramai itu – ia suatu peristiwa penting. Saya tak mahu membicarakannya lebih lagi di sini. Cukup sekadar merakamkan catatannya sahaja.
Dan sebenarnya banyaklah lagi peristiwa menarik sepanjang program yang dinamakan “Hening Puisi” ini. Insya-Allah, Paksi akan menerbitkan sebuah buku khas rakaman peristiwa yang mendapat tunjangan biaya daripada Yayasan Usman Awang (YUA), ITBM dan juga DBP ini.
Hanya persoalannya buat saya sekarang ialah apakah lagi seterusnya selepas ini? Apakah benar tujuan tersiratnya seperti yang saya rakamkan dalam puisi yang menjawab persoalan dilontarkan Kassim (mengenai berita “Anak Hilang”) beberapa hari sebelum program itu, tercapai?
Dalam puisi berkenaan itu saya nyatakan: “Apakah 'Hening Puisi' yang dibuat di Sedili/ bukan usaha bagi memantapkan kemanusiaan/ dan kemanusiaan yang semakin hilang kini/ bukankah puncanya ‘Anak hilang’?”
Semoga kata-kata puisi itu tidak hanya kekal menjadi kata-kata kaku tanpa pelaksanaan. Dan semoga program ini meninggalkan kesannya sesuai dengan pandangan Yassin Salleh, ia sebuah program yang sangat bermakna dan penting dalam perkembangan sastera dan seni-budaya mutakhir. – 19 Ogos, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments