Opinion

Ke Kuala Sedili untuk kemanusiaan

Awal Februari lalu, saya bersama Kassim dan Nasser bertolak awal pagi menuju Kota Tinggi. Singgah sekejap di Air Hitam, makan “kari kambing 40 hari”, kemudian teruskan perjalanan. Nasser yang memandu. Di Kota Tinggi kami mencari jalan untuk ke Kuala Sedili.

Kami bertiga belum pernah ke Kuala Sedili. Dengan bertanya orang akhirnya tengahari itu sampailah kami ke pekan kecil di pinggir kuala itu. Ternampak suatu papan tanda – SK Sri Setia Jaya, Jalan Datuk Usman Awang. Ah, gembiranya hati! Ada orang yang tahu menghargai jasa seorang seniman besar kita, dengan menamakan sebatang jalan utama di pekan kecil itu dengan namanya.

Belum nampak tanda nama jalan tersebut. Kami ikuti arah yang ditunjukkan papan tanda nama sekolah tadi, dan sampailah kami ke depan pintu pagar sekolah itu. Terpampang nama sekolah dengan tulisan huruf besar pada temboknya, dan di bawahnya tulisan “Jalan Dato Usman Awang” itu pun jelas terbentang. Seronoklah kami!

Kemudian kami bergerak menuju ke pusat pekan, (hanya deretan kedai di kiri kanan jalan yang hujungnya terdapat jeti untuk ke seberang – ke Sedili Besar). Waktu itulah ternampak papan tanda nama “Jln Dato Usman Awang” itu. Agak kecil ukurannya. Dengan latar warna kuningnya, mudah menyebabkan orang terlepas pandang. Tapi tak mengapalah, sekurang-kurangnya ada juga! Jangan sampai tak ada.

Kemudian sewaktu makan di sebuah restoran kami bertanya pada seorang gadis pelayan restoran itu – kenal Usman Awang? Dia mengerutkan keningnya dan bertanya semula: “Dia orang sini ke?” Kami balas dengan senyuman, kerana sudah pasti jawapannya dia tidak kenal siapa itu Usman Awang.

Tak mengapalah. Dia tak kenal tak bermakna semua orang tak kenal. Ada seorang lelaki yang sedang berjalan, kami tanya dia soalan yang sama. Dia kenal dan tahu siapa keluarga Usman Awang yang masih tinggal di daerah itu.

Dan apabila kami berjumpa dengan Ketua Kampung Tanjung Sedili (merangkap pengerusi JKKK), dia bukan sahaja tahu siapa Usman Awang tetapi dia juga telah berusaha untuk membangunkan sebuah Galeri Usman Awang di situ. Hanya malang sedikit ada pula pihak yang berpendapat bahan-bahan mengenai Usman Awang itu lebih sesuai ditempatkan di Muzium Kota Tinggi.

Bagaimanakah pengisian bahan-bahan mengenai Usman Awang itu dipamerkan di Muzium Kota Tinggi? Itu mungkin akan kami tinjau pula dalam perjalanan kedua kami ke Kuala Sedili tidak lama lagi. Ya, kami akan hadir lagi di kampung kelahiran seniman besar Malaysia ini beberapa kali lagi menjelang tarikh 12 Julai, kerana kami bercadang untuk mengadakan sambutan ulang tahun kelahirannya pada tahun ini, di situ.

Apabila pihak penganjur Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang Huazong mengajak saya berbincang bagi mengadakan beberapa acara untuk mempromosi agenda anugerah tersebut, itulah salah satu agenda yang kami bincangkan. Bukan sekadar sambutan ulang tahun yang biasa, tetapi mengadakan beberapa acara sempena tarikh kelahirannya. Dan oleh kerana tarikh itu berada dalam bulan Ramadan, terpaksalah kita awalkan sedikit program ini – seminggu sebelum Ramadan, iaitu sekitar 21-22 Jun.

Antara acara yang difikirkan ialah himpunan para penyair Nusantara. Maka ada kawan yang mencadangkan agar himpunan ini dinamakan Hari Puisi Kemanusiaan, mengambil sempena tema yang paling menonjol dalam karya-karya Usman.

Satu daripada acara istimewa Hari Puisi Kemanusiaan ini tentulah lawatan ke kampung kelahiran Usman Awang itu sendiri, dan juga apa-apa lokasi istimewa yang ada hubungannya dengan Usman Awang. Baca puisi atau persembahan puisi itu sudah semestinyalah, di samping beberapa perbincangan yang sesuai di sekitar puisi dan tema kemanusiaan.

Sempena dengan himpunan penyair Nusantara, yakni Hari Puisi Kemanusiaan itu, kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) mengumpulkan puisi-puisi dari penyair-penyair yang berminat menulis puisi bertema kemanusiaan, dan akan hadir ke perhimpunan itu, untuk dibukukan dan dilancarkan pada perhimpunan tersebut.

Turut memeriahkan lagi sambutan ulang tahun Sasterawan Negara Usman Awang ini diadakan juga satu pertandingan deklamasi puisi-puisi kemanusiaan Usman Aswang di kalangan pelajar-pelajar seluruh Malaysia, bagi peringkat tertentu (yang akan ditentukan nanti). Mereka yang berjaya ke peringkat akhir akan bertemu di Kuala Sedili, kerana kemuncak penilaiannya akan dibuat sempena Hari Puisi Kemanusiaan itu.

Kawan-kawan Paksi yang terlibat dengan teater, khasnya Nizam Yamin dan Nor Amani, sedang meneliti skrip Uda Dan Dara untuk melihat kemungkinan pementasannya “dalam versi kampung”, iaitu dipentaskan dalam suasana dan latar kampung – di ruang terbuka, laman sebuah rumah tradisional, dengan gaya kampung – kira-kira begitu.

Ideanya ialah kembali ke kampung, ke pangkuan rakyat desa yang memang merupakan masyarakat asal yang melahirkan salah sebuah karya terbaik dalam seni dan sastera Melayu kita. Dan kalau jadi, ini pun akan menjadi satu daripada program pengisian Hari Puisi Kemanusiaan yang dicadangkan itu. (Ah, harap-harap jadilah ya!)

Sementara itu, kawan-kawan Usman Awang seramai lebih 100 orang berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada Sabtu 15 Februari lalu, untuk tujuan menubuhkan sebuah yayasan yang akan dinamakan Yayasan Usman Awang. Ia inisiatif Tan Kai Hee, seorang sahabat karib Usman yang kebetulan menerajui sebuah perniagaan, syarikat Hai-o Berhad memperuntukkan sejumlah wang yang agak besar bagi menjayakan usaha mempromosi seni dan sastera untuk kemanusiaan ini.

Untuk dana awal menggerakkan yayasan itu misalnya, Hai-o menyumbang sebanyak RM1 juta. Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang itu pula, satu agenda utama daripada usaha ini, hadiah utamanya ialah wang tunai RM100,000; dan lima hadiah iringan RM10,000 setiap satu. Di samping itu beberapa aktiviti seperti yang akan dibuat di Kuala Sedili itu, bagi mempromosi integrasi dan kemanusiaan, akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Kita berharap aktiviti-aktiviti sastera dan budaya yang bertema kemanusiaan, seperti yang dipelopori oleh Usman Awang itu, akan dapat memberi sumbangan yang bererti kepada integrasi nasional di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai fahaman politik di negara kita,” kata Tan Kai Hee. – 1 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments