Opinion

Kembara seni Sutung Umar Rs (Bahagian 1)

Sempena ulang tahun ke-59 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penyair Sutung Umar Rs dipilih untuk diraikan dalam satu majlis yang dinamakan "Astaka Minda Kembara Seni Penyair Bangsa: Sutung Umar Rs", bertempat di Dewan Seminar, Menara DBP Kuala Lumpur, baru-baru ini. Saya dijemput membicarakannya.

Saya mengenali Sutung pertengahan 1974. Dia masuk bekerja di DBP sebulan sebelum saya. Waktu saya masuk, Sutung sudah berkawan akrab dengan Ajikik. Kemudian, entah macam mana, kami bertiga menjadi akrab. Barangkali kerana ada persamaan pada sikap, pemikiran dan minat kami.

Selama beberapa bulan itu kami sentiasa keluar minum bersama, makan tengah hari bersama dan selepas waktu pejabat kami akan cari tempat yang sesuai dan selesa untuk minum-minum bersama, sebelum pulang ke rumah masing-masing. Antara topik utama sembang kami ialah puisi.

Rutin ini berlangsung agak lama hingga akhirnya, kerana kami menghasilkan banyak puisi, ia mendorong kami untuk mengadakan 'baca puisi bersama - di hadapan khalayak'. Itulah maka lahirnya Grup Teater Elit, atau dikenali dengan sebutan GTE, pada 1976.

Waktu itu belum banyak orang buat majlis baca puisi atau deklamasi puisi. GTE dengan Sutung dan saya waktu itu masih muda - itu menjadi aktiviti utama kami. Baca puisi di mana-mana. Banyak kenangan yang pelbagai - kenangan masa muda - menjadi penyair yang bebas - dan kehadiran Ajikik melengkapkan apa saja yg dilakukan waktu itu.

Tahun 1978 GTE mengadakan baca puisi di hotel secara tetap 2 minggu sekali, petang Selasa. Lebih setahun, saya ingat sebab kita buat ulang tahunnya dan ada buku cenderamatanya. Waktu ini Ajikik tidak aktif lagi dalam GTE, digantikan Jaafa HS.

Antara yang datang regular di situ ialah Raja Nazrin, Sultan Perak sekarang. Waktu itu dia bekerja di Petronas, bersama dengan Dr Shanmugalingam.

Antara kemuncak aktiviti Baca Puisi GTE ialah Malam Puisi Tanahair yang Yang Dipertuan Agung (sekarang Sultan Pahang) hadir sebagai tetamu, dan tidak disediakan layanan VVIP sebagai YDP agung. Itu cara Teater Elit. Sebelum itu perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad pun, hadir dan duduk di kerusi biasa seperti penonton lain.

Selama beberapa tahun kami bergelumang dengan puisi, dengan aktiviti baca puisi, hinggalah memulakan siri Baca Puisi Pena.

Itu antara latar belakang kreativiti kepenyairan Sutung. Pengaruh mempengaruhi satu sama lain antara Sutung dan saya dalam penciptaan puisi waktu itu sangat jelas. Dan kami mencipta puisi memang untuk dibaca. Tidak semua puisi sesuai untuk dibaca di depan khalayak. Puisi Sutung, waktu itu, dan puisi saya hingga sekarang pun, dicipta dengan fikiran agar ia menjadi bagus untuk dipersembahkan di depan khalayak.

Di samping puisi, pada masa yang sama Teater Elit juga aktif teater. Selalunya saya jadi pengarah dan Sutung jadi penerbit. Banyak juga teater yang kami pentaskan, seperti Tamu Di Bukit Kenny (Usman Awang), Esok Untuk Siapa (Jins Shamsuddin) dan yang terakhir, Menunggu Kata Dari Tuhan (karya saya, 2009).

Dalam Pemain Api karya Max Frisch, anjuran Kedutaan Jerman, Sutung berlakon. Dia juga berlakon dalam teater Inggeris The Cord karya KS Maniam, arahan Krishen Jit.

Sekarang kita masuk kepada bicara karya pentingnya - sebuah puisi terpanjang di Malaysia setakat ini - Ratib Kalbu, 504 halaman, terbit 2013 (ITBM). Ratib Kalbu sebuah puisi yang mengandungi 59 bahagian atau bab.

Sebelum ini puisi Sutung terbit dalam buku kumpulan puisinya Taburkan Bunga dan Di Negeri Kalbu. Itu puisi biasa. Ratib Kalbu agak luar biasa. Tetapi sebelum bicara Ratib Kalbu saya nak sentuh sedikit novelnya Api Cinta. Ini pun agak luar biasa juga.

Daripada segi kembara seninya Sutung, Api Cinta ini penting. Ia memulakan fasa baru dalam kreativiti atau kepengarangannya. Bermula dari situlah kreativiti Sutung bersemarak dan marak menyala dengan stamina yang seperti tak dapat dibendung - suatu tenaga yang sangat menakjubkan.

Selepas Api Cinta, 2010, terbit novel Seluang Lepas Melaut (dua jilid), 2011. Kemudian kumpulan puisi Di Negeri Kalbu, kumpulan cerpen Anggerik Dari Bukit Tujuh, novel Dia dan Nya, dan puisi Ratib Kalbu - semuanya tahun 2013. Terbaru, DBP terbitkan novel Meski Jauh Dibatasi Bumi (2015). Berapa semuanya? 7 buah.

Sekarang, yang dalam proses penerbitan, dengan DBP dan ITBM, ada tiga: 'Nyanyian Mazmur' puisi panjang sekitar 300 halaman; 'Wasiat' - juga puisi panjang 200-300 halaman; dan novel 'Nursirnafitratulain'. 

Yang dalam proses penilaian penerbit ada 4. Satu daripadanya puisi panjang yang dua kali lebih panjang daripada Ratib Kalbu - 1,150 halaman kertas A4 - 'Nyanyian Sukma Diri' judulnya.

Dalam proses penilaian juga ada 3 lagi novel - 'Anggerik Dari Bukit Tujuh' (daripada cerpen dijadikan novel), 'Mimpi', dan 'Kedai Kopi'. Ada di antaranya ditolak penerbit, kerana sebab-sebab tertentu.

Yang sudah siap ditulis tetapi belum dihantar ke mana-mana penerbitan ada 3 lagi: 'Teksi', dan 'Diari Seorang Tua' - kedua-duanya novel; dan sebuah buku puisi berjudul 'Munajat'.

Tiga dalam proses terbit, 4 dalam penilaian dan 3 masih belum diproses untuk terbit, jumlah semuanya 10 buku lagi. Dicampur dengan yang sudah terbit tadi 7 buah, jadi semuanya 17 buah.

Memang menakjubkan! 17 karya, yang bukan nipis, dalam tempoh 6 atau 7 tahun, mulai 2009, ketika umurnya 61 tahun - memang sangat menakjubkan! Ratib Kalbu, puisi sepanjang 504 halaman itu, mengikut kata Sutung sendiri, disiapkan dalam tempoh 2 bulan sahaja.

Orang seperti saya, walaupun berkeinginan dan punya banyak idea serta bahan untuk ditulis, rasa-rasanya tak termampu untuk menulis sedemikian banyak. Luar biasa! Saya kagum. Daripada mana datangnya energi, stamina, power - untuk menghasilkan sekian banyak tulisan!

Dan karya itu bukannya karya yang biasa-biasa, tetapi yang luar biasa - seperti 'Nyanyian Sukma Diri' yang cuba masuk ke alam sufi dengan segala istilah yang kita mungkin tak pernah dengar. (Menjadi salah satu faktor yang dipertikaikan dalam penilaiannya). Novel 'Mimpi' - mengikut kata seorang yang membacanya, ia membawa persoalan yang berat, lebih berat daripada Dia dan Nya. Sedangkan Dia dan Nya itu pun sudah berat, dengan persoalan yang agak filosofikal.

Bagaimana Sutung melakukan semua itu? Bila saya katakan kepada dia novel Api Cinta itu memulakan fasa baru dalam kepengarangannya, dia mengaku dan berkata: "Aku semacam mendapat satu cara menulis - sesuatu yang tidak sukar sebenarnya."

Apa yang dimaksudkan Sutung? Mari kita tengok. Penulisan Api Cinta, novel pertamanya, dihasilkan ketika usianya 61 tahun. Novel ini diterbitkan tidak banyak - 20 naskhah saja. Mengapa? Saya pun tidak tahu. Pelik juga! Novel pertama, yang melancarkan fasa baru kepengarangannya, diterbitkan 20 saja. (Sekarang dalam proses untuk dicetak semula).

Saya tidak tahu di mana naskhah Api Cinta saya itu sekarang. Dipinjam seorang lepas seorang lepas seorang, akhirnya tidak tahu ke mana hilang. Panas! Sebuah novel yang panas. Sesuai dengan judulnya 'Api' Cinta. Penceritaannya lancar. Ditambah pula dengan adanya unsur erotik yang digambarkan dengan begitu berani. – 9 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments