Opinion

Kembara seni Sutung Umar Rs (Bahagian 2)

Dan agak menggemparkan - bagi mereka yang kenal penulisnya - cerita 'Api Cinta' seolah-olah kisah benar, dengan watak menggunakan nama yang kita kenal orangnya, tempat yang kita tahu - sehingga ada orang mengatakan Sutung menulis cerita sebenar; dan ada orang mempersoalkannya - kenapa tulis perkara yang benar?

Ketika mengulas novel ini dalam akhbar Harakah, 17 Mei, 2010, saya menulis:"Saya tidak mengambil masa berhari-hari untuk menghabiskan novel setebal 273 halaman itu. Ada sejenis kuasa magnet yang mendorong saya terus membacanya. Memang saya ingin tahu apa lagi dan apa lagi yang diceritakan Sutung daripada kisah-kisah di sekitar dirinya itu.

"Setiap nama watak yang disebutnya semuanya saya tahu dan kenal (termasuk nama saya sendiri, pun ada di dalamnya); demikian juga dengan ceritanya, walaupun tak semuanya saya tahu tetapi ia kelihatan seperti cerita benar. Maka sambil membaca itu saya tertanya-tanya dan berfikir-fikir - apakah semuanya ini kisah benar?

"Tetapi apakah itu penting? Sama ada kisah yang dipaparkan itu semuanya kisah benar atau sebahagiannya khayalan - apakah itu penting untuk dipastikan? Bukankah ia sebuah novel? Bilakah pula novel meminta pembacanya berfikir apakah kisah yang dipaparkan di dalamnya itu disalin tepat daripada realiti atau ia hanya imaginasi pengarang?

"Lagipun, soalan itu timbul dalam fikiran saya hanya kerana kebetulan saya kenal penulisnya. Ada beberapa orang saja pembaca yang kenal penulisnya, dan mungkin merasai pengalaman membacanya sama seperti saya.

"Pembaca yang lain yang entah berapa ramai lagi membacanya atau akan membacanya atau mungkin akan membacanya (daripada kalangan manusia di seluruh dunia yang berbilion jumlahnya), tentu tidak perlu kepada soalan sebegini.

"Novel adalah novel. Ia sebuah fiksyen yang mengandungi unsur cerita, penceritaan, perwatakan, plot, tema, mesej, persoalan, bahasa dan sebagainya. Pemikiran adalah satu daripada unsur penting dalam sebuah novel. Apa yang kita cari di dalam novel apabila kita membacanya? Mahu apa kita pada novel itu?"

Demikian novel Api Cinta mendesak saya untuk kembali memikirkan asas sebuah novel. Apakah sebuah novel tidak boleh menceritakan cerita yang benar berlaku, dengan menggunakan nama yang memang benar seperti di dalam cerita benar itu? (Kita harus ingat 'benar' itu hanya kepada beberapa orang saja. Kepada khalayak umumnya tidak timbul pun soal apa yang dikatakan 'kisah benar' itu.)

Soalan ini penting, kerana rupa-rupanya semua novel Sutung begitu. Nama dan perwatakannya diambil daripada manusia yang benar-benar wujud di sekitarnya. Juga cerita-ceritanya, gambarannya - kebanyakannya adalah benar. Jadi di mana fiksyennya? Di mana imaginatif dan kreatifnya? Ada orang menimbulkan persoalan ini, dengan maksud mempertikaikan mutu atau nilai estetika dalam novel-novel yang ditulis Sutung.

Jawapan saya ialah - fiksyennya ada di dalam imaginasi pengarang. Walaupun kebanyakannya kisah benar, tetapi pengarang menulisnya dengan imaginasinya. Tanpa imaginasi Sutung tak mungkin menulis begitu - dengan penceritaan yang begitu lancar, segar, menarik.

Seni bercerita atau seni penceritaan atau naratifnya itu - memerlukan kepada kemahiran, kepada imaginasi, inovasi, eksplorasi. Fakta hanya bahan mentahnya saja. Dan akhirnya yang penting daripada sebuah novel itu, apa?

Yang penting ialah komunikasi atau dialog yang terjadi antara dalaman diri pembaca dengan novel itu. Ada 'pesan' yang sempat dibisikkan novel itu ke dalam diri pembaca. Tidak semua novel berjaya menghidupkan 'dialog' dan 'pesan' itu ke dalam diri pembaca. Api Cinta berjaya menghidupkan itu.

Dan proses bagaimana Sutung menulis Api Cinta itu pun menarik. Dia menulisnya dalam telefon bimbitnya, jenis communicator. Dan dia menulisnya di mana saja dia selalu berada. Misalnya saya selalu juga melihat dia sibuk menaip novel itu ketika duduk-duduk minum di kafe Istana Budaya. Dia selalu lepak di situ.

Sekarang kita masuk kepada puisi - Ratib Kalbu. Terlebih dulu saya mengakui sudah hampir genap 2 tahun saya memiliki buku ini, dan saya masih lagi belum berpuas hati dengan tanggapan saya mengenai puisi ini, atau perkenalan saya dengannya, setakat ini.

Apa yang kita cari pada puisi sebenarnya? Pertama, barangkali pengucapannya. Gaya pengucapan seorang penyair itu boleh mendekatkan kita kepada puisinya dan boleh tidak mendekatkan. Ini hubungan yang bersifat personal, yang wujud dalam diri puisi dan tidak ada pada prosa. Ini antara keistimewaan puisi. Pemilihan dan pengolahan kata-katanya - sangat penting.

Puisi-puisi Sutung yang diciptanya sebelum Ratib Kalbu, yang terkumpul dalam kumpulan Taburkan Bunga misalnya - membawa pengucapan yang mengandungi pilihan kata dan olahan puitis, indah, segar, mendekatkan kita kepadanya. Hal itu tidak saya temui secara jelas dalam Ratib Kalbu, kecuali sesekali pada tempat tertentu saja.

Penyair seperti tidak begitu memperhatikan lagi soal pilihan kata dan ungkapan yang puitis itu. Barangkali dirasakannya itu tidak penting lagi buat puisinya pada tahap atau fasa baru ini.

Dia tidak bercerita atau mengungkapkan pengalaman hidup, sama ada bersifat peribadi atau tidak, di dalam Ratib Kalbu. Seolah-olah diri peribadinya tidak terlibat atau tidak hadir langsung dalam alam puisi barunya ini.

Secara umumnya ini suatu gaya pengucapan baru, yang tidak mementingkan pilihan kata untuk menimbulkan nilai estetika. Sebaliknya yang dipentingkan ialah 'ilmu'. Dalam Ratib Kalbu ilmunya ialah ilmu keagamaan, kerohanian, ketuhanan. Lalu di sana sini kita temui terjemahan ayat Al-Quran dan Hadis, yang tidak diterjemahkan secara puitis tetapi terjemahan biasa saja. Hanya susunan ayatnya dibuat mengikut baris secara puisi.

Selain rujukan kepada Al-Quran dan Hadis itu kita juga temui senarai kitab atau buku agama yang agak banyak di bahagian akhir bukunya, 3 halaman, sebagai sumber rujukan. Ternyata di sini puisi seperti diberikan tugas atau peranan baru, sebagai wadah ilmu.

Ada semacam keterbalikan dalam kreativiti Sutung yang terlihat dalam fasa baru kepengarangannya ini. Dia menjadi personal dan akrab dengan realiti kehidupan sebenar dalam karya prosanya, dan menjadi terpisah seperti tidak terlibat langsung dirinya dengan alam puisi, dalam karya puisinya Ratib Kalbu.

Sedangkan kelazimannya di kalangan penulis selama ini sebaliknya. Menghidupkan unsur dan hubungan personal dalam karya puisi, dan tanpa unsur tersebut dalam karya prosa. Di sini sama ada Sutung membuat pilihan itu secara sedar atau tidak, namun itulah yang dihasilkannya.

Saya tidak mengatakan hasil usaha Sutung dalam penulisan puisi gaya barunya ini suatu kejayaan atau sebaliknya. Namun saya mendapat kesan ini usaha yang dilakukan secara agak cepat dan kurang diberi perhatian kepada susunan dan tertib ilmu itu sendiri, sehingga terasa ilmu itu seperti kurang mendalam olahan dan pendedahannya dalam bab atau mauduk yang diangkat; sebaliknya kerap diulang secara sentuhan di sana sini. Adunan antara ilmu dan puisi itu barangkali belum begitu masak adunannya.

Barangkali apabila kita membaca puisi panjangnya yang kedua diterbitkan selepas ini, sama ada 'Nyanyian Sukma Diri' atau 'Nyanyian Mazmur' atau 'Wasiat' - kita akan mendapat pemahaman yang lebih terhadap gaya pengucapan baru dibawa Sutung dalam puisi keagamaan, kerohanian dan ketuhanannya. – 15 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments