Opinion

Kemelut MB Selangor: Suatu bacaan budaya

Kemelut perebutan kerusi menteri besar Selangor antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan tersebut sejak 2008, memang peristiwa yang sangat menarik apabila dibaca daripada sudut budaya. Banyak perkara baru dan di luar jangka sedang berlaku, dan dijangkakan banyak lagi perkara demikian akan terjadi.

Ada orang kata apa yang berlaku ke atas Khalid sekarang, atau lebih tepatnya menjelang dia disingkirkan daripada partinya Ahad 10 Ogos itu adalah sama seperti apa yang dialami Anwar pada 1998, ketika dia dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir.

Dulu Anwar yang disingkirkan daripada jawatannya dan parti, sekarang Anwar pula menyingkirkan Khalid. Tetapi sehingga saat artikel ini ditulis Khalid masih lagi bertahan sebagai MB Selangor, walaupun dia dipecat daripada partinya.

Mereka yang melihat persamaan itu kurang bersetuju dengan cara Anwar cuba menyingkirkan Khalid daripada jawatan MB Selangor. Cara yang menunjukkan kurang hormat kepada Khalid itu, hujah mereka, menyebabkan Khalid bertindak balas sama seperti tindak balas yang dibuat Anwar sendiri terhadap Dr Mahathir 16 tahun lalu, demi mempertahankan maruah dan kehormatan diri, serta membersihkan diri daripada tuduhan jahat yang dilemparkan ke atasnya (sebagai alasan mengapa dia dikehendaki meletakkan jawatan itu).

Apa yang menariknya kemelut ini dilihat daripada sudut bacaan budaya? Pertama, kemelut atau krisis ini merupakan satu peristiwa besar yang melibatkan manusia besar atau tokoh penting masyarakat yang berkemungkinan akan membawa beberapa perubahan dalam masyarakat dan negara ini.

Kedua, krisis ini adalah perebutan kuasa dalam politik. Inilah matlamat akhir penglibatan manusia dalam politik. Dan inilah politik pada puncak aktivitinya, yang selalunya akan menyerlahkan sifat baik dan buruk manusia, siapakah di antara mereka (yang terlibat) itu yang lebih pintar dan bijak, dan siapakah pula akan kecundang disebabkan beberapa kelemahan atau kesilapan yang tidak disedari.

(Perkara seperti ini banyak diangkat menjadi tema dan persoalan utama dalam karya besar dunia di bidang seni sastera, teater dan filem, termasuk karya Shakespeare seperti King Lear, Macbeth dan Hamlet).

Di situ bukan saja ada Anwar, Khalid dan Dr Wan Azizah (yang dicadangkan Anwar dan PKR untuk mengambil alih kerusi MB Selangor daripada Khalid), tetapi di situ juga ada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berwatak keagamaan; dan di situ juga ada Penasihat DAP Lim Kit Siang dan ramai lagi tokoh sampingan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Watak Khalid itu misalnya, tiba-tiba saja berubah menjadi seorang manusia yang begitu degil, keras kepala dan tegas dengan pendirian dan 'perjuangan'nya walaupun disingkirkan kawan yang pernah seperjuangan dengannya, dan ditinggalkan sendirian. Dia barangkali umpama seorang pahlawan yang dilukai dan cedera di medan tempur tetapi masih tetap gigih berdiri dan merempuh musuhnya dengan pedang terhunus berlumuran darah.

Manakala Anwar pula seorang pahlawan veteran yang begitu kaya dengan pengalaman bertempur, dianggap sebagai pahlawan handal dan berwibawa, tetapi di sini dia mendapati Khalid panglimanya sendiri itu tiba-tiba berubah menjadi musuh yang begitu garang dan ganas, dan bersedia menghayunkan pedang memancung kepalanya demi mempertahankan takhta yang didudukinya, yang asalnya adalah amanah daripada ketua pasukannya sendiri bernama Anwar itu.

Sementara Hadi dan Nik Aziz pula adalah watak orang alim yang juga memimpin pasukan mereka sendiri; asalnya menjadi regu kepada Anwar dan juga Khalid, tetapi apabila Anwar dan Khalid bermusuhan mereka pun terpaksa membuat pilihan, dan buat sementara waktu ini mereka memilih menyebelahi Khalid.

Dan begitulah seterusnya dengan watak Dr Wan Azizah, Lim dan yang lain-lain lagi. Malah yang lebih menariknya ialah unsur ketegangan atau suspens yang berjaya dihidupkan peristiwa itu hingga berjaya menggetarkan hati dan rasa ingin tahu seluruh audiensnya iaitu rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama.

Belum pernah terjadi seorang yang disingkirkan keahliannya oleh partinya sendiri masih boleh berdiri tegak sebagai menteri besar di negeri paling kaya di Malaysia, sebagai seorang individu tanpa parti. Bagaimanakah itu mungkin terjadi? Kerana Adun PAS (15) dan Umno (12) menyokongnya. Bagaimanakah pula dia mendapat sokongan Adun Umno itu?

Nah, itulah permainan kuasa di kalangan tokoh politik. Khalid yang selama ini dituduh orang partinya sendiri sebagai tokoh korporat dan pentadbir yang tidak tahu politik itu - sekarang sedang bermain politik dengan tokoh dalam parti yang menganggap diri mereka lebih arif politik daripada dia (Khalid). Maka siapakah sebenarnya lebih pintar dan licik berpolitik?

Itulah suspens yang menyebabkan drama episod kedua perebutan kuasa menteri besar (episod pertamanya berlaku di Perak selepas PRU12) di kalangan tokoh politik ini menjadi sangat menarik. Malah episod kedua ini jauh lebih menarik lagi. Sebab apa? Sebab ketokohan atau perwatakan tokoh yang sedang 'berjuang' bersendirian ini.

15 Adun PAS itu mungkin akan berubah pendirian mereka berikutan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat pada Ahad 17 Ogos ini. Kalau itu terjadi apakah Khalid dengan sendirinya akan kalah dan tumbang? Atau apakah dia masih mempunyai strateginya yang lain pula? Saspens!

Bukan itu saja saspensnya. Saspens yang lebih besar ialah nasib Pakatan Rakyat (PR) juga akan ditentukan mesyuarat khas PAS itu - apakah PKR-DAP-PAS akan terus bersatu dalam PR, ataupun akan berpecah (kalau PAS terus menyokong Khalid)?

Sementara itu rakyat Malaysia (bukan rakyat Selangor saja) yang sejak beberapa bulan ini menjadi keliru dan celaru dengan permainan kuasa dan krisis dalaman PKR, (yang rupa-rupanya berakhir dengan natijah sangat tidak menyenangkan rakyat itu), mengalami satu proses apresiasi dan persepsi yang agak memenatkan pemahaman, lalu mengakibatkan minat mereka pun merosot dan jatuh teruk.

Namun apa pun, drama yang sedang berlangsung di Pejabat Menteri Besar Selangor, di persekitaran ketokohan Anwar, di persekitaran ketokohan Khalid dan juga di persekitaran ketokohan Hadi, kini adalah suatu drama yang sangat menarik dan penuh saspens, disaksikan rakyat Malaysia khasnya peminat budaya yang mengharapkan sesuatu yang positif akan muncul di akhir episod yang mendebarkan ini. – 15 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian  Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments