Opinion

Kesahihan maklumat dalam era kecanggihan media

Betapa dunia maklumat dan media kita hari ini yang kita anggap sudah amat canggih, tetapi rupa-rupanya masih lagi kita boleh tertipu atau terkeliru dan dikelirukan hingga tidak dapat membezakan mana yang betul dan mana yang karut.

Kononnya media baru dengan Facebook, SMS, Twitter, WhatsApp dan sebagainya sudah berjaya merempuh dan memecahkan pelbagai halangan yang membatasi capaian maklumat kita.

Tetapi rupa-rupanya keadaan masih seperti di tahap lama juga. Maklumat yang benar masih dapat disembunyikan dan sebaliknya yang palsu masih dapat disebarkan sebagai berita yang benar.

Contohnya peristiwa banjir besar di Kelantan pada akhir 2014 itu. Ada banyak perkara masih tersembunyi daripada pengetahuan kita yang benar.

Satu contoh ialah kata-kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang dilaporkan tidak dapat turun membantu mangsa-mangsa banjir disebabkan dia terperangkap dalam rumahnya sendiri yang turut dilanda banjir.

Laporan peristiwa ini sudahpun menjadi seperti satu fakta yang bersemayam kukuh dalam minda kebanyakan orang Malaysia, dan membina suatu imej atau tanggapan yang negatif terhadap kepemimpinan menteri besar tersebut, yang akibatnya beliau dianggap tidak berkemampuan untuk memimpin – terlalu naif dan daif.

Peristiwa itu berlaku pada bulan Disember 2014. Hari ini Mei 2015, sudah 5 bulan berlalu. Apabila saya berbincang dengan seorang exco kerajaan Kelantan baru-baru ini dan saya menyebut hal ini, beliau segera menafikannya.

“Itu tidak betul. MB tidak kata pun begitu. Dan rumah MB pun tidak kena banjir. Orang sengaja buat cerita itu untuk memburuk-burukkan nama MB.”

Saya terkejut. Tidak pernah saya terfikir berita yang dilaporkan itu berkemungkinan tidak betul. Saya pun tidak pasti lagi apakah sumbernya berita tersebut. Apakah saya melihatnya di televisyen atau dalam WhatsApp?

Maka apabila exco itu mengatakan menteri besar sebenarnya tidak berkata begitu dan itu permainan pihak media yang memutarbelitkan fakta untuk kepentingan mereka, saya tidak pula menolak kenyataan baru yang dibuat oleh exco tersebut.

Ada beberapa faktor mengapa saya tidak menolaknya.

Pertama, saya percaya kepada exco tersebut. Maka saya tidak percaya dia akan membohongi saya dalam perkara ini. Kedua, ia sebahagian permainan manipulasi media yang lebih besar.

Di saat-saat rakyat Kelantan sedang menderita akibat serangan banjir tersebut, pada Disember 2014 itu, pihak-pihak media perdana negara kita yang dikuasai dan dikawal oleh pihak tertentu (kita semua tahu maksudnya, kan!) cuba membina satu gambaran kerajaan negeri Kelantan tidak berbuat apa-apa dalam menghadapi musibah terbesar itu.

Mereka cuba meyakinkan rakyat Malaysia di luar Kelantan yang kerajaan negeri Kelantan pimpinan parti PAS adalah sebuah kerajaan yang sangat lemah dan tidak pandai mentadbir, lebih-lebih lagi dalam menghadapi bencana yang berskala besar seperti itu.

Saya sendiri beberapa kali terpaksa menahan rasa marah dan kecewa, dan memaksa diri mendengar dengan penuh sabar celoteh orang-orang yang menganggap diri mereka pandai dan tergolong intelektual, apabila mereka ghairah bercerita mengenai kedaifan dan kenaifan kerajaan negeri Kelantan yang dikatakan tidak tahu dan tidak mampu mengurus bencana itu, dan mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada NGO dan kerajaan Persekutuan.

Sehinggakan apabila perkara banjir besar itu diperkatakan sahaja maka begitulah yang diungkapkan – di luar Kelantan. Dan lagak mereka itu apabila bercakap mereka begitu percaya itulah fakta yang benar mengenai banjir berkenaan.

Padahal mereka yang mahu mendengar sendiri cerita tersebut dari pihak pimpinan kerajaan negeri Kelantan atau mereka yang hadir sendiri dalam masyarakat yang mengalami musibah tersebut tanpa sebarang prasangka dan pengaruh daripada laporan media perdana, mereka akan mendapat maklumat yang berbeza sama sekali, dan menafikan maklumat awal mereka tadi.

Bukannya jauh pun Kelantan itu daripada Kuala Lumpur. Kalau kita mahukan yang benar eloklah kita pergi sendiri ke sana dan dapatkan maklumat berkenaan.

Tetapi kita pula berfikir sebaliknya. Kenapa kita perlu pergi ke sana sedangkan kita sudah ada segala alat dan kemudahan komunikasi yang membolehkan kita mendapat berita itu dengan mudah dan cepat!

Inilah paradoksnya zaman serba moden ini. Dunia menjadi semakin dekat dan cepat, tetapi di masa yang sama manusia boleh pula menjadi semakin jauh dan lambat.

Melalui media baru juga pembohongan boleh dilakukan dan disebarkan dengan lebih cepat dan lebih meyakinkan. (Kononnya ditemui mayat bergelimpangan apabila banjir mulai surut).

Saya sendiri, barangkali kerana menonton televisyen pada waktu itu, seperti percaya juga kerajaan negeri Kelantan begitu mengharapkan kepada kerajaan pusat untuk membantu mereka menangani permasalahan banjir yang begitu mendesak pada waktu itu; dan percaya juga betapa lemah dan naifnya kerajaan pimpinan Ahmad Yaakob.

Dan secara automatik fikiran saya akan membandingkan sekiranya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mentadbir Kelantan tentunya keadaan akan menjadi jauh berbeza.

Namun semuanya itu berubah apabila saya mendapat maklumat langsung daripada exco Kerajaan Negeri Kelantan yang dipertanggungjawabkan mengurus segala permasalahan banjir ini.

Anda yang di luar Kelantan yang belum mengenalinya barangkali akan terkejut dan berkata: Tugas dan tanggungjawab sebesar dan seberat itu diserahkan kepada seorang wanita yang belum cukup berpengalaman?

Beliau ialah Hajah Mumtaz Md Nawi, seorang peguam, kini exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat. (Sebelum ini pernah menjadi Senator). Beliaulah yang dipertanggungjawabkan untuk tugas yang besar dan berat itu.

Tetapi Alhamdulillah, maklumat yang dapat saya kumpulkan menyebabkan saya seperti mahu saja berkata memang tiada orang lain yang lebih layak daripada dia, untuk tugas itu.

Dan membayangkan bagaimana situasi banjir terbesar dalam sejarah kita itu, dan bagaimana Mumtaz Md Nawi berusaha menanganinya dengan para kakitangan dan pembantunya yang amat dedikasi, berserta lebih seribu sukarelawan ‘Mesra’ yang diberikannya latihan beberapa bulan sebelum itu, saya membayangkan sebuah filem Hollywood yang mengungkapkan pengurusan bencana paling cekap pernah dibuat.

Anda mungkin tidak percaya saya. Namun anda punya segala alat dan kemudahan moden untuk menyemak apakah dakwaan saya ini benar atau karut. Silakan! – 26 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments