Opinion

Kita langsung tak boleh percaya kuasa selain Allah?

Teater tradisional Melayu dikatakan banyak mengandungi unsur-unsur khurafat. Sebahagian daripadanya berkaitan dengan kepercayaan kepada kuasa ghaib dan kehadiran kuasa ghaib tersebut dalam persembahan teater berkenaan.

Wujudnya kepercayaan kepada kuasa ghaib itu, yakni kuasa ghaib selain kuasa Allah SWT, mendorong pihak tertentu untuk mengatakan atau menghukum itu syirik, kerana orang itu menyekutukan atau menduakan Allah yang maha esa dan maha berkuasa.

Dan syirik adalah dosa yang paling besar dalam Islam. Dosa yang tidak akan diampunkan, kecuali dengan taubat nasuha. (Dan orang yang melakukan dosa besar yang tidak diampun Allah SWT, di akhirat nanti tempatnya adalah di dalam neraka).

Seperti menjadi kebiasaan manusia, hal tersebut tidak menjadi masalah kepada kita kerana kita merasakan yang kita tidak terlibat dengannya atau kita tidak ada kena mengena dengan perkara tersebut.

Maka begitu jugalah dengan saya, hinggalah pada suatu hari saya menyaksikan sekumpulan anak-anak muda membuat latihan kuda kepang (satu daripada bentuk teater tradisional kita), di sebuah kampung di Sabak Bernam.

Sebelum itu pun saya pernah beberapa kali menonton persembahan kuda kepang. Perkenalan dengan satu kumpulan di Sabak Bernam melalui persembahan mereka di Tonggak Sepuluh dalam program Jelajah Budaya Selangor, Februari 2013, mendorong saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti mereka. Itu yang membawa saya menyaksikan latihan berkenaan.

Pada suatu peringkat ketika mereka sedang menggayakan gerak tari kuda kepang, dalam iringan muziknya yang khas itu, mereka akan menjadi ‘lupa’ atau masuk ke suatu dimensi alam yang lain, dan mereka melakukan perkara-perkara luar biasa seperti makan kaca, pecahkan kelapa dengan kepala, makan api rokok dan sebagainya.

Dikatakan mereka boleh melakukan perkara-perkara yang luar biasa seperti itu kerana mereka sudah kemasukan makhluk lain di dalam diri mereka, dan makhluk lain itu ialah dari jenis jin.

Kemampuan melakukan perkara-perkara luar biasa itu ialah kerana yang sebenarnya melakukannya bukanlah pemain kuda kepang tersebut, tetapi jin yang sedang berada di dalam tubuh mereka dan mengawal gerak-geri mereka pada masa itu.

Fenomena ini pernah dikaji Dr Amran Kasimin dan beliau mengesahkan akan kehadiran makhluk jin dalam persembahan atau permainan kuda kepang yang seperti itu. (Rujuk bukunya ‘Unsur-unsur Menurun Dalam Persembahan Teater Melayu Tradisional’, 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka, 235 hal.)

Sewaktu menyaksikan latihan kuda kepang itulah terlintas dalam fikiran saya persoalan apakah benar kehadiran makhluk ghaib dalam persembahan kuda kepang itu satu kepercayaan khurafat yang menyebabkan para pelakunya menjadi syirik?

Perlu kita fahami fenomena itu melibatkan dua pihak – para pemainnya (disebut juga penari) atau pelakunya, dan ketua mereka yang juga dikenali dengan panggilan pawang, bomoh, dukun, poyang dan sebagainya (berbeza mengikut tempat).

Para pemainnya mungkin tidak tahu pun akan kehadiran makhluk ghaib jin di dalam tubuh mereka. Yang mengetahuinya ialah ketua mereka, yang biasanya adalah juga seorang bomoh yang boleh mengubati penyakit-penyakit tertentu terutamanya yang melibatkan gangguan makhluk ghaib (atau makhluk halus). Dan bomoh inilah juga yang bertanggungjawab menghadirkan makhluk ghaib tersebut ke dalam permainan itu, melalui ilmu tertentu yang dimilikinya.

Maka persoalan khurafat dan syirik tadi tentulah terfokus kepada bomoh atau ketua permainan kuda kepang itu, kerana tanpa dia tentunya peristiwa tersebut tidak mungkin berlaku. Lalu apakah benar beliau mempercayai kuasa selain kuasa Allah, dan apakah benar beliau terlibat dalam perlakuan syirik?

Persoalan “percaya kepada kuasa lain selain kuasa Allah” ini sebenarnya satu persoalan besar yang tidak terhad kepada persoalan dalam teater tradisional kuda kepang (dan wayang kulit dan sebagainya) sahaja.

Terdapat banyak kekeliruan dalam persoalan ini dalam masyarakat kita. Persoalan mengenai kuda kepang ini hanya satu contohnya sahaja.

Sejauh manakah atau bagaimanakah bentuk kepercayaan sebenarnya yang dianggap sebagai menyekutukan atau menduakan Allah (syirik) itu? Di manakah sempadannya kita mempercayai sesuatu kuasa (selain Allah) itu yang dikatakan kita menyekutukan/menduakan Allah?

Sebagai seorang peminat dan pengamal teater, saya sangat tertarik dengan beberapa aksi yang ditunjukkan dalam permainan kuda kepang, (seperti dulu saya pernah terpesona dengan beberapa bentuk gerak dan suara dalam teater makyong). Antaranya termasuklah aksi-aksi yang melibatkan kehadiran makhluk jin itu.

Soalannya ialah bolehkah saya mengaplikasikannya ke dalam pementasan teater saya? Tentunya saya tidak mampu untuk mempelajari ilmu bagi memanggil dan mengawal jin bagi membantu saya membentuk teater baru yang saya inginkan itu. Maka saya memerlukan bantuan bomohnya, untuk tugas memanggil dan mengawal jin berkenaan.

Bolehkah? Tidakkah itu satu perlakuan syirik? Di pihak saya memang saya pasti yang saya tidak syirik, kerana saya sama sekali tidak menduakan kuasa Allah. Malah membandingkannya pun tidak.

Saya tahu dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan kuasa Allah yang Maha Berkuasa itu dan saya juga tahu dengan jelas batas-batas kuasa yang dimiliki jin yang akan dipanggil bomoh tersebut.

Memahami perbezaan antara kuasa Allah yang tidak terbatas dengan kuasa makhluk yang terbatas ini sangatlah penting. Banyak kekeliruan dan kesilapan berlaku apabila kita mengatakan atau menghukum seseorang yang percaya kepada kuasa makhluk ghaib itu, dia jatuh syirik.

Apa yang dimaksudkan dengan “percaya kepada kuasa makhluk ghaib” di sini? Apakah kita langsung tidak boleh percaya kepada kuasa makhluk ghaib? Dan apakah kita langsung tidak boleh percaya kepada kuasa yang ada pada yang selain Allah?

Ramai orang yang ketakutan apabila keseorangan di tempat-tempat tertentu, khususnya di dalam gelap di waktu malam, misalnya. Kenapa dia ketakutan? Kerana dia percaya akan wujudnya (atau kemungkinan wujudnya) di situ suatu makhluk yang tidak diketahuinya, yang boleh mendatangkan sesuatu yang tak diingininya atau yang ditakutinya atau yang boleh memudaratkan dirinya. Ertinya dia percaya kepada suatu kuasa yang ghaib.

Apakah kerana itu maka dia syirik? Padahal dia tidak bermaksud langsung untuk menyengutukan atau menduakan kuasa Allah. Saya sendiri pun mengalami situasi begitu. Apakah saya syirik? Dan kebanyakan orang yang saya kenal (orang Islam), juga mengalami situasi begitu. Maka apakah mereka juga syirik?

Kembali kepada persoalan kuda kepang tadi, saya kira bomoh yang mampu memanggil dan mengawal jin itupun tidak semestinya menjadi syirik kerana perlakuannya itu.

Hanya sekiranya dia menyamakan kuasa jin itu dengan kuasa Allah SWT, dan tidak dapat membezakan antara dua kuasa tersebut, maka barulah dia tergelincir aqidahnya, dan menjadi syirik.

Bukan dia jatuh syirik itu semata-mata kerana perlakuannya memanggil dan mengawal kehadiran jin di dalam permainan kuda kepang. – 25 September, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments