Opinion

Kita memerlukan ‘Revolusi Budaya’

Sewaktu mempromosi buku “Jelajah Budaya” dalam program Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) di Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada 20 Mac (Solidariti Mejar Zaidi), saya memang menyebut “Revolusi Budaya”.

Buku kumpulan esei seni-budaya yang dinamakan “Jelajah Budaya” (sempena beberapa esei mengenai “Jelajah Budaya Selangor” yang diadakan pada akhir 2012-awal 2013) ini, kata saya, akan mencetuskan satu gerakan budaya di negara ini, berasaskan pada fahaman “Tekad Budaya” yang sekian lama diperjuangkan oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi), sejak penubuhannya pada 2008.

Saya sebutkan Revolusi Budaya itu untuk menarik minat hadirin pada malam itu, yang di antara mereka terdapat sekumpulan anak muda yang memang gemar sangat menyebut perkataan “revolusi” itu.

Lagipun, memang saya terasa aktiviti dan peristiwa seni-budaya perlu segera diperbanyakkan di negara ini, bagi mengimbangi aktiviti dan peristiwa politik yang sudah sampai ke tahap kemuncak melampaunya.

Orang-orang politik kita sekarang (tidak kira parti apa pun) berpolitik sangat berlebih-lebihan. Maka saya berasa masanya sudah tiba, atau kini adalah masa yang tepat, untuk ditonjolkan idea dan gerakan tekad budaya. Kalau boleh, semacam gerakan “revolusi”. Tujuannya supaya masyarakat yang sedang sakit dan membengongkan kita ini dapat kita usahakan mengembalikannya kepada situasi yang agak selesa, dan seterusnya membangunkannya menjadi masyarakat yang kita idamkan.  

Apabila parti Islam PAS, misalnya, yang selama ini kita hormati (kerana amalan agama tokoh-tokoh utamanya) sudah dianggap pengkhianat oleh beberapa orang tokoh masyarakat bukan Islam yang juga selama ini kita hormati mereka sebagai rakan seperjuangan kita bersama, apakah maknanya itu?

Apakah benar PAS hari ini sudah menjadi pengkhianat (mengkhianati perjanjian dan persefahaman bersama) kepada rakan-rakan seperjuangannya dalam politik? Mengapa DAP dan beberapa orang tokoh bukan Islam dalam beberapa NGO yang kita hormati itu mengatakan PAS (maksudnya pemimpin-pemimpin utamanya) tidak lagi boleh dipercayai?

Sesungguhnya situasi mutakhir itu sangatlah mengecewakan. Dan dalam keadaan yang sangat mengecewakan dan dikecewakan ini, saya mendapati buku “Jelajah Budaya” yang baru terbit itu sebagai memberikan satu jawapan tersendiri. Falsafah dan konsep tekad budaya yang terkandung di dalam buku itu patut digerakkan ke dalam masyarakat, bagi menimbulkan keharmonian dan keseimbangan kepada keterlaluan kita berpolitik.

Demikianlah maka saya tampil di hadapan khalayak ramai malam itu dengan cara yang agak luar dari kebiasaan. Saya melancarkan buku saya sendiri. Secara tidak rasmi dan bersahaja. Secara rasminya mungkin akan ada beberapa siri pelancarannya nanti.

Maka untuk menarik perhatian khalayak ramai kepada gagasan “tekad budaya” yang menjadi latar belakang atau falsafah di sebalik aktiviti-aktiviti seni-budaya yang dianjurkan oleh Paksi selama ini, dan yang mengisi sebahagian buku “Jelajah Budaya” itu, saya menggunakan istilah revolusi, Revolusi Budaya.

Apa maksud “tekad budaya”? Istilah ini asalnya lahir sebagai memberi penjelasan kepada sekumpulan penulis, pada tahun 2008, yang suka menyalahkan orang-orang politik kerana, kata mereka, tidak menunjukkan penghargaan sewajarnya kepada golongon penulis. Alasannya kerana mereka (orang-orang politik) itu dikatakan tidak mempunyai “political will” untuk berbuat demikian.

Saya menyanggah pandangan tersebut dengan mengatakan bukan orang-orang politik itu tidak ada “political will”. Mereka ada political will tetapi political will itu untuk melakukan perkara-perkara yang perlu bagi kepentingan politik mereka, bukannya bagi kepentingan golongan penulis.

Sebaliknya, saya berhujah, golongan penulis dan budayawanlah yang tidak menyedari akan wujudnya “cultural will” yang sepatutnya boleh menggerakkan mereka untuk mencapai apa-apa yang mereka fikirkan perlu, bagi kepentingan mereka dan juga masyarakat.

“Political will” itu diterjemahkan sebagai “tekad politik”, manakala “cultural will” diterjemahkan sebagai “tekad budaya”.

“Tekad politik” (political will) bermaksud keazaman kuat yang dimiliki seseorang atau sesuatu pihak untuk melakukan sesuatu yang penting dan berimpak, melalui kuasa politik. Manakala “tekad budaya” (cultural will) pula maksudnya keazaman yang sama seperti itu juga, tetapi (mencapainya) melalui “kuasa” budaya 

Ramai penulis dan budayawan seperti ternganga dan terkejut macam tidak percaya, malah ada yang bersikap sinis, apabila saya berhujah dengan menimbulkan “cultural will” atau tekad budaya itu, pada masa itu.

Kini masa lama berlalu. Seniman Paksi Rakyat banyak membuat aktiviti-aktiviti seni-budaya yang bermanfaat kepada masyarakat dan banyak berinteraksi yang secara tidak langsung membawa mesej tekad budaya itu kepada golongan-golongan tertentu, termasuk melalui penulisan.

Buku pertama saya yang menyentuh tekad budaya terbit pada tahun 2012, “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”. Kini terbit pula buku kedua, “Jelajah Budaya”, menyambung wacana mengenai tekad budaya tersebut. Dan kali ini bersama dengan Seniman Paksi Rakyat kami bercadang akan mengadakan siri dialog dengan pihak-pihak tertentu, membawa mesej tekad budaya.

Dan sewaktu merasmikan pameran lukisan A Samad Said, “Hitam dan Mereh” di galeri Xin Art Space, Setiawangsa pada 15 Mac, saya membaca sebuah puisi 17 para, yang empat para akhirnya dengan jelas membawa mesej Tekad Budaya, sekaligus Revolusi Budaya itu:

“Pernah ada kontrak sosial atau perjanjian apa-apa yang berhak memungut cukai daripada rakyat hanyalah orang politik, yang berhak membuat undang-undang peraturan negara hanyalah orang politik, dan yang berhak mengurustadbir masyarakat manusia pun hanya orang politik. Pernah ada perjanjian? Memang tidak pernah.

“Tetapi semua orang diam sahaja, biarkan orang-orang politik berkuasa menguasa sesuka hati, bergaduh berkelahi pun guna wang rakyat sesuka hati dan diam-diam tiba-tiba hutang kita bertimbun beratus bilion, kenapa tak orang politik sahaja selesaikan? Memang tidak mungkin. Kalau inflasi kalau negara muflis bukan orang politik saja yang tanggung tetapi kita semua menanggung balanya, segala deritanya kitalah rakyat marhaen menjadi mangsa pertama.

“Samad Said menegerti dan menghargai hak seniman budayawan dalam masyarakat dan dia istiqomah berdiri dan berjalan di tengah rakyat dengan dadanya tangannya terbuka pasrah dan dia terus berkarya dan berkarya dan mentadbir dengan daya seninya.

“Maka petang ini saya mengucapkan lagi, suatu hari Samad Said akan memerahkan jalan-jalan di Kuala Lumpur dan sesiapa yang masuk ke kota berlumpur ini pasti akan turut sama mewarnakannya merah dan hitam hingga seluruh Kuala Lumpur dan seluruh kota di negara ini menjadi merahhitam tiada lain melainkan merah dan hitam, waktu itulah barangkali para penulis seniman budayawan ilmuwan dan pelukis ternama di Malaysia akan faham – bukan politik sahaja boleh perintah negara.” – 27 Mac, 2015.

*Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments