Memang saya pun terkejut apabila pihak Khazanah Nasional Bhd mengumumkan nama seorang German, Christoph Mueller, untuk bakal menjadi CEO Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru, dalam usaha mereka hendak memulihkan syarikat itu daripada malapetaka kerugiannya yang sangat besar (setelah menyuntik modal baru sebanyak RM6 bilion).
Apakah sudah tidak ada lagi orang Malaysia yang layak untuk menerajui syarikat penerbangan negara yang suatu waktu dulu pernah menjadi kebanggaan kita itu? Ke mana perginya pengurus-pengurus perniagaan kita yang pandai dan cekap membuat keuntungan?
Apa sebenarnya sudah terjadi kepada tokoh-tokoh pemegang amanah harta Malaysia hingga mereka memerlukan ‘orang putih’ untuk membantu kita membuat keuntungan dalam satu perniagaan besar milik kerajaan?
Padahal suatu waktu dulu rakyat Malaysia sendiri yang mengangkat syarikat itu ke suatu tahap bertaraf dunia. Dan orang itu pun masih hidup lagi – Tan Sri Ab Aziz Ab Rahman. Dan dia pun terkejut juga Khazanah memanggil orang luar datang untuk memulihkan MAS.
Apa yang sedang berlaku ini sebenarnya? Kenapa institusi modal perniagaan kerajaan sebesar Khazanah Nasional itu boleh membuat keputusan ‘tak masuk akal’ begitu? Atau apakah itu yang dikatakan ‘berfikir di luar kotak’ bagi mendapatkan kesan luar biasa (kerana MAS pun luar biasa ruginya)?
Kata kawan saya, kelayakan dan pengalaman apa yang ada pada Tony Fernandes (sekarang Tan Sri) hingga dia boleh bina syarikat AirAsia ke tahap kejayaan yang besar dalam masa begitu singkat? Apakah dia itu bukan orang Malaysia?
Maka tidak hairanlah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun tampil menyatakan tidak setuju dan marahnya dengan keputusan itu, sambil berkata dengan gaya sarkastiknya yang terkenal – “Lepas ini bolehlah kita lantik orang putih pula jadi perdana menteri kita.”
Ya betul, saya setuju sangat dengan pandangan Dr Mahathir itu.
Dengan keputusan melantik CEO Aer Lingus (syarikat penerbangan Ireland) yang akan tamat kontraknya dengan syarikat itu tak lama lagi (setelah dikatakan berjaya memulihkan syarikat tersebut daripada kerugian besarnya) menjadi CEO MAS yang baru, kata Dr Mahathir, “nampak yang kita memberi pengakuan kita ini bodoh”.
(Ya, betul Tun, betul. Saya setuju! Nampak yang kita ini mengaku sendiri kita bodoh kepada orang putih).
Dr Mahathir dilaporkan khuatir dengan sikap “tidak percaya kepada diri sendiri” di kalangan rakyat Malaysia hari ini, khasnya di kalangan pengurus-pengurus atasan yang diamanahkan mengurus dan mentadbir negara. “Kalau kita percaya kita tidak ada kebolehan, kita jangan jadi kerajaanlah,” katanya.
Tepat sekali Tun! Saya setuju dan sokong pandangan Tun itu 100%. Keputusan Khazanah Nasional itu mewakili keputusan kerajaanlah juga. Maka betul sangatlah kata Tun: “Kalau kita percaya kita tidak ada kebolehan, kita jangan jadi kerajaanlah.”
Ini bukan perkara kecil. Bukannya satu keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah sebuah syarikat berhad yang biasa. Ini keputusan yang nilainya lebih daripada RM6 bilion. MAS ialah sebuah syarikat yang membawa ‘bendera’ Malaysia (yakni kehormatan, kedaulatan, kebanggaan dan juga keselamatan Malaysia) terbang ke merata-rata destinasi di seluruh pelusuk dunia. Mengapakah kita perlukan orang luar untuk membuat kerja mulia ini?
Saya sangat suka dengan kenyataan Dr Mahathir itu. Sebab apa tau? Sebab ia mengingatkan kita kepada beberapa perkara lain. Sekarang Dr Mahathir mengaku orang Malaysia lebih percayakan orang putih, akibat tidak percaya kepada diri sendiri. Tetapi siapakah yang menyemai sikap tidak percayakan diri sendiri itu di kalangan rakyat Malaysia?
Bukankah Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri Malaysia paling lama, 22 tahun, dan terkenal dengan dasarnya yang tidak menggalakkan kebebasan berfikir di kalangan pelajar dan kakitangan kerajaan?
Ha, inilah hasilnya. Dr Mahathir tentu tak akan mengaku. Tak mengapalah. Samalah seperti orang-orang yang membuat keputusan melantik Mueller itu pun tak akan mengaku mereka itu tidak percaya diri sendiri. (Jangan kata nak mengaku bodohlah!) Mereka mempunyai rasional dan kewajaran yang sangat kukuh mengapa MAS perlukan orang putih Mueller itu untuk memulihkannya daripada kerugian yang besar.
Memang ada orang akan terkejut saya mengatakan Dr Mahathir itu terkenal dengan dasar tidak menggalakkan kebebasan berfikir di kalangan pelajar dan kakitangan kerajaan. Ada orang tidak nampak perkara ini.
Bagaimana pelajar-pelajar kita dilatih dan dibentuk supaya tidak bebas dan tidak berani berfikir; dan bagaimana kakitangan kerajaan juga dilatih dan dibentuk supaya takut menyuarakan pandangan yang berbeza dengan orang atasan.
Bukankah Dr Mahathir selalu mengkritik orang-orang Umno misalnya, mengatakan mereka takut untuk bersuara mengkritik pimpinan? Seolah-olah dia menggalakkan orang berfikir bebas. Ya, betul. Tetapi itu bila? Setelah dia tidak menjadi perdana menteri lagi. Sewaktu dia menjadi perdana menteri dulu? Haha, waktu itulah orang paling takut untuk menyatakan pandangan yang berbeza.
(Kita memerlukan ruang yang panjang untuk membicarakan hal itu. Tak mengapalah. Untuk keperluan wacana ini cukuplah dulu saya menegaskan pandangan yang saya nyatakan di atas itu.)
Dan saya pun tak mahu berdebat dalam hal kewajaran bagi pihak Khazanah Nasional. Wajar tak wajar pelantikan Mueller itu, biarlah mereka berdebat. Saya hanya terangsang untuk memberi reaksi kepada kenyataan Dr Mahathir itu saja, terutamanya yang dia kata “bolehlah kita lantik orang putih pula jadi perdana menteri kita lepas ini.”
Itu pun ada orang berhujah juga, mengatakan bukanlah sampai ke peringkat jadi perdana menteri. Setakat peringkat CEO syarikat GLC sahaja. Kita mestilah mengambil kira konteksnya, kata mereka. Mengapa Dr Mahathir melalut sampai ke jawatan perdana menteri pula? Itu sudah melebih-lebih sangat. Sudah lari daripada konteks.
Tetapi itulah cara Dr Mahathir berfikir, dan itulah pemikirannya. Dan dia sudah berjaya mempengaruhi rakyat Malaysia selama lebih 20 tahun dengan pemikiran caranya yang tersendiri itu. Dengan cara berfikirnya begitulah juga dia melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), yang memperkukuhkan lagi penanaman sikap “tidak percaya diri sendiri” ke dalam jiwa dan minda rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu.
Tetapi Dr Mahathir tak pernah nampak pun kesan atau akibat ini. Dia menyalahkan tindakan Khazanah itu dan menyifatkannya sebagai “pengakuan kita ini bodoh” dan “tidak percaya diri sendiri”, tanpa mahu memikirkan atau mencari sebab-sebab mengapa terjadi begitu.
Selama ini pun bukan tak ada orang berhujah dengan dia, menolak dasarnya yang mengutamakan bahasa Inggeris itu dengan hujah itu menunjukkan kita tidak mengakui identiti diri kita sendiri, dan itu juga menunjukkan kita tidak percayakan kemampuan bahasa kita sendiri.
Saya akan lanjutkan lagi perbicaraan ini dalam bahagian kedua wacana ini. – 13 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments