Opinion

Dr Mahathir baru sedar bangsanya masih terjajah (Bahagian II)

Dalam bahagian 1 tulisan ini dinyatakan mengikut logik fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan Khazanah Nasional melantik orang putih Christoph Mueller menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MAS yang baru itu menunjukkan kita “tak percaya diri sendiri” dan “kita mengaku kita bodoh”. Hal ini boleh berlanjutan hingga katanya: “Lepas ini bolehlah kita lantik orang putih pula jadi perdana menteri kita.”

Mereka yang mengikuti jalur fikiran Dr Mahathir tentu boleh membaca betapa kesalnya beliau terhadap sikap bangsanya (yang diasuh dan diperintahnya selama 22 tahun itu) yang masih tidak yakin dengan keupayaan diri sendiri, tidak menghayati harga diri, atau dengan kata lain: minda masih terjajah.

Bukanlah Dr Mahathir yang menyifatkan mereka itu “minda masih terjajah”. Saya yang mengatakan demikian. Ya kalau masih berfikiran yang baik itu adalah Barat/Eropah, atau yang baik itu berada di Barat/Eropah, sehingga untuk mengetuai syarikat penerbangan negara yang bermasalah pun difikirkan mesti ambil orang Eropah, tidakkah itu menunjukkan “minda masih terjajah”?

Dan tentulah Dr Mahathir pun beranggapan demikian. Kalau tidak takkan dia mengatakan “Lepas ini bolehlah kita lantik orang putih pula jadi perdana menteri kita”!

Ya, Dr Mahathir menyalahkan tindakan Khazanah itu dan menyifatkannya sebagai “pengakuan kita ini bodoh” dan “tidak percaya diri sendiri”, tanpa mahu mencari faktornya mengapa terjadi begitu. Sebab apa? Sebab dia sendirilah yang menjadi faktornya. Dia sendirilah yang menyebabkan orang Malaysia khasnya orang Melayu masih minda terjajah.

Hal ini memang sangat pelik. Ramai orang mungkin tak setuju dengan saya, kerana Dr Mahathir melakukan banyak usaha bagi memerdekakan minda bangsanya dan mengangkat martabat Malaysia di persada mata dunia.

Apa yang Dr Mahathir tak buat? Macam-macam dibuatnya bagi maksud itu, dan kelihatannya sangat berjaya. Tetapi pada hakikatnya tidak. Dan baharu sekarang dia menyedari hakikat dia gagal memerdekakan minda terjajah bangsanya.

Apakah faktor kegagalan Dr Mahathir itu? Biar saya jelaskan. Mula-mula mari kita lihat beberapa dasar dan projek mega Dr Mahathir bagi mengangkat martabat bangsanya di mata dunia, dan sekaligus memerdekakan minda bangsanya, di waktu dia menjadi perdana menteri.

Pertama, Dasar Pandang ke Timur. Ini antara dasar penting yang diperkenalkan dalam fasa awal pentadbiran Dr Mahathir. Ditambah dengan dasar Buy British Last – beli barangan dan perkhidmatan British akhir, yakni utamakan pembelian barangan dan perkhidmatan Jepun dan Korea Selatan terlebih dahulu, manakala barangan dan perkhidmatan British adalah sebagai pilihan akhir.

Tujuannya untuk mengalih perhatian dan kepercayaan orang Malaysia, daripada memandang dan percayakan pada keluaran British (bekas penjajah kita) sebagai yang terbaik, kepada memandang dan percayakan pada keluaran Jepun dan Korea Selatan, yang sama-sama orang Timur seperti kita.

Yang pentingnya dasar ini mahu mengubah minda orang Malaysia supaya tidak hanya percayakan British dan Eropah sahaja bagus dan maju, sebaliknya Jepun dan Korea Selatan juga bagus dan maju, dan sekaligus mendidik dan mengajar kita juga boleh menjadi bangsa yang maju seperti Jepun dan Korea Selatan itu.

Tidak dinafikan dasar itu sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada minda dan sikap orang Melayu.

Kedua, menjadi pengeluar kereta (kebangsaan) – Proton. Ramai orang mengkritik projek ini mengatakan kita tak sepatutnya membelanjakan wang begitu besar untuk sesuatu yang tidak menguntungkan. Tetapi Dr Mahathir berdegil.

Sebab apa? Saya percaya dia bukan sahaja melihat keuntungan ekonomi dan material, tetapi yang lebih penting ialah untuk membentuk jiwa dan sikap orang Malaysia supaya percaya pada diri sendiri, dan membina rasa bangga sebagai rakyat Malaysia yang mampu mengeluarkan kereta sendiri, dan mengeksportnya ke negara-negara luar.

Ketiga, membina bangunan tertinggi di dunia. Menara Berkembar KLCC. Siapa pernah terfikirkan negara sekecil Malaysia ini boleh memiliki sesuatu yang rakyatnya boleh berbangga kepada dunia di negaranya berdiri sebuah bangunan yang paling tinggi di dunia.

Walaupun gelaran paling tinggi di dunia itu tidak kekal lama, kerana ada negara lain pula membina bangunan yang lebih tinggi daripada KLCC sesudah itu, namun ia berjaya menanamkan rasa bangga di hati rakyat Malaysia; negaranya memiliki sesuatu yang jelas bertaraf dunia, yang tak siapa pun dapat menafikan. Ia membuktikan kita juga boleh membuatnya. Itulah ‘Malaysia Boleh’, menjadi slogan kebangsaan.

Keempat, Multimedia Super Corridor (MSC) – projek Dr Mahathir yang paling ambitious, dikatakan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. Seluruh kemajuan terkini dari seluruh dunia akan dikumpulkan di MSC. Dan bagi merealisasikan impiannya itu Dr Mahathir melantik tokoh-tokoh multimedia dan teknologi maklumat terkemuka dari seluruh dunia, termasuk Bill Gates, menjadi Panel Penasihat Antarabangsa MSC.

Tetapi sayangnya belum sempat impian menjadi kenyataan, ekonomi Malaysia dan beberapa negara Asia yang lain ditimpa kegawatan kewangan 1997. Ekonomi yang dibina bertahun-tahun itupun runtuh sekelip mata. Projek mega MSC itu diteruskan juga, tetapi tidaklah seperti yang dirancangkan pada awalnya.

Demikianlah antara yang terpenting, dasar dan projek Dr Mahathir bagi mengangkat Malaysia ke taraf negara maju, dengan rakyatnya yang berjiwa merdeka, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Ada banyak lagilah sebenarnya projek mega Dr Mahathir bagi tujuan tersebut, yang hampir kesemuanya adalah projek-projek ekonomi, sesuai dengan kepercayaan atau formulanya untuk memajukan sesuatu negara/bangsa kita hendaklah memajukan ekonominya, kerana yang lain-lain akan turut maju dengan sendirinya kemudian.

Formula itulah yang saya sanggah dan buktikan kegagalannya dalam buku ‘Gawat: Gagalnya Formula Mahathir’ (1998). Kini, awal Disember 2014, Dr Mahathir sendiri ‘mengakui’ kegagalannya itu  Dia terkejut apabila para pengurus perniagaan peringkat tinggi di negaranya mengundang tokoh pengurusan orang putih dari Eropah untuk mengepalai syarikat GLC kerajaan.

Langkah itu, kalau mengikut cara Dr Mahathir berfikir, akan menyebabkan suatu hari nanti para pemimpin politik peringkat tinggi di negara ini akan mengundang pula orang putih menjadi perdana menteri. Maka kembalilah semula kita ke zaman penjajah. Dan itu adalah bukti kukuh formula Mahathir untuk memajukan Malaysia dan memerdekakan minda rakyatnya selama ini sebenarnya adalah suatu kegagalan.

Kenapa Dr Mahathir gagal? Kerana dia meninggalkan aspek terpenting dalam pembinaan sesuatu tamadun, iaitu budaya bangsanya, melalui bahasanya sendiri. Tidak ada salahnya tumpuan kepada pembangunan ekonomi kalau pada masa yang sama pembangunan budaya dan bahasa sendiri juga dimajukan. Yang salahnya ialah minda terjajah yang tak disedari itu, yang masih mempercayai hanya bahasa Inggeris sahaja boleh memajukan bangsa dan negara kita.

Bukan tidak ada orang yang berhujah dengannya, menolak dasar yang mengutamakan bahasa Inggeris, dasar itu menunjukkan kita tidak mengakui hakikat jiwa kita sendiri dan kita tidak percaya diri sendiri (kerana kita tidak percayakan kemampuan bahasa kita).

Betapa banyak hujah dikemukakan oleh pakar-pakar bahasa dan pakar sains dan matematik, dasar PPSMI itu tidak sesuai untuk pelajar-pelajar kita meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, dan dalam konteks masyarakat kita dasar itu juga akan terus memperkukuhkan jiwa dan minda terjajah kita.

Sekarang barulah Dr Mahathir nampak kebenaran hujah-hujah yang selama ini enggan didengarnya itu! – 24 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments