Opinion

Masihkah Islam boleh diamanahkan kepada PAS selepas muktamar?

Perwakilan Parti Islam SeMalaysia (PAS) berhimpun untuk Muktamar Tahunan mereka ke-61 di Kuala Selangor pada 4-6 Jun. Dikatakan ini antara muktamar tahunan PAS yang terpenting dalam sejarahnya, yang akan menentukan masa depannya.

Dalam muktamar ini, mereka memilih pemimpin yang bukan sahaja akan menentukan masa depan parti politik mereka, tetapi juga, bagi saya, akan menentukan masa depan Islam di negara ini dan juga seluruh dunia.

(Ia juga akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat. Tetapi sebagai orang Islam yang hidupnya bergantung dan berserah seluruhnya kepada Islam, saya melihat kepentingan dan masa depan Islam itu jauh lebih utama daripada kepentingan dan masa depan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat itu hanya pakatan politik, sedangkan Islam itu soal aqidah dan hidup-mati.)

Uniknya parti PAS di situlah – ia parti Islam. Beberapa pemimpin PAS sebelum ini, khasnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Fadzil Nor dan Yusuf Rawa berjaya mensinonimkan PAS dengan Islam.

Mereka mengurangkan warna dan corak politik di dalam parti itu dan memenuhkan ruang itu dengan kefahaman dan aktiviti Islam.

“Lebihkan bercakap mengenai Islam daripada parti” – begitu Nik Aziz selalu berpesan.

Namun hari ini, kejayaan mensinonimkan PAS dengan Islam itu menimbulkan kesan yang serba salah di kalangan pihak tertentu.

Kalau di zaman Nik Aziz yang baru saja berlalu, ia dianggap satu kejayaan, kini ia tidak lagi kejayaan. Kini ia seperti menjadi beban pula kepada Islam.

Konflik yang berlaku di dalam parti itu sekarang langsung tidak Islamik. (Macam mana nak kata ia parti Islam?)

Dan ini berlaku di peringkat paling atasnya. Orang awam, baik yang minat politik mahupun tidak, hilang kepercayaan kepada pimpinan atasan parti itu. Mereka dianggap tidak boleh dipercayai lagi.

Anda fikirkanlah, apabila seseorang pemimpin itu diisytiharkan (yakni didakwa) di khalayak umum, melalui pelbagai media, dia seorang pengkhianat yang kata-katanya tidak lagi boleh dipercayai, dan hal ini dibiarkan begitu sahaja tanpa diberi reaksi yang boleh menafikan atau mempertikaikan dakwaan itu secara awam mahupun secara legal – apakah maknanya itu?

Maknanya secara awam dakwaan itu sah. Maka gemanya apa? Gemanya bukan sahaja terkena kepada individu pemimpin itu seorang, dan bukan terkena kepada parti PAS sahaja, tetapi terkena juga kepada imej Islam itu sendiri. Imej Islam sudah tercemar.

Apatah lagi dalam suasana dunia hari ini di mana Islam dilihat pada warna dan wajahnya yang negatif – di mana-mana sahaja.

Hal inilah yang selalu diwacanakan dalam tulisan saya sejak beberapa tahun lalu yang Nik Aziz (dan Ustaz Fadzil Nor) melakukan sesuatu yang sangat besar nilainya untuk Islam universal. Tetapi sangat menghairankan ia tidak mendapat perhatian langsung di pihak pimpinan PAS, walaupun Nik Aziz sendiri memberi perhatian.

Apa yang dilakukan Nik Aziz, membangunkan Islam di negeri Kelantan melalui pentadbirannya yang tersendiri itu, mempunyai impaknya yang sangat besar.

Bukan sahaja impaknya kepada Islam di Malaysia tetapi juga kepada Islam di seluruh dunia. Tetapi sayangnya, dan amatlah sayangnya, ia dimusnahkan dalam sekelip mata sahaja oleh pimpinan PAS setelah Nik Aziz meninggal dunia.

Bahawa pendekatan yang diambil oleh Nik Aziz dalam pentadbiran dan kepemimpinannya itu sangatlah istimewa. Apa istimewanya? Ia mampu mengubah pandangan awam terhadap Islam. Dan sekiranya pendekatannya itu direkodkan dan disebarluaskan pasti ia juga mampu untuk mengubah pandangan dunia terhadap Islam.

Tetapi kini segala-galanya berlalu, dan menjadi sejarah. Imej atau wajah Islam yang sangat indah yang berjaya dibina Nik Aziz itu hilang dimusnahkan pemimpin-pemimpin yang mengambil amanah untuk memeliharanya.

Berlaku konflik yang begitu kasar dan ‘ganas’ yang belum pernah berlaku dalam sejarahnya. Dan minggu ini ahli-ahlinya yang mewakili kawasan masing-masing dari seluruh negara akan membuat pilihan – siapakah yang akan diberi mandat untuk memimpin parti itu seterusnya.

Saya dan beberapa orang kawan yang agak vokal menulis di dalam akhbar dan media baru Facebook dan WhatsApp sejak beberapa bulan ini – bukanlah ahli PAS pun. Maka ada ahli PAS yang menyindir dan mengkritik kami, mengatakan kami ini bising sahaja lebih, tetapi menjadi ahli pun tidak.

Inilah yang saya maksudkan tadi. ‘PAS for All’ yang pernah menjadi slogan perjuangan parti itu menjelang PRU13 lalu, memang PAS itu untuk semua.

Bukan semata-mata untuk ahlinya sahaja. PAS itu Islam dan Islam itu rahmat untuk seluruh alam. Itulah PAS sebelum ini, sebelum meninggalnya Nik Aziz.

Tetapi setelah meninggalnya Nik Aziz, para ulama di dalam parti tersebut yang rupa-rupanya sudah lama membuat persiapan (kerana dorongan tertentu), terus melancarkan suatu kempen secara bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan sebahagian ahli parti itu sendiri, khasnya mereka yang dikenali sebagai tokoh-tokoh pimpinan yang bukan ulama.

Jelas golongan ulama mahu supaya PAS hanya menjadi parti yang eksklusif untuk golongan ulama sahaja. Apa maknanya itu?

Parti politik apa jenisnya itu? Apakah hal itu dibenarkan perlembagaan parti? Tidakkah itu sudah bertukar menjadi sebuah kelab atau persatuan yang eksklusif sifat dan keahliannya? Bukan lagi parti politik.

Memang bercelaru. Kalau kita hendak analisa apa yang dibuat kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak meninggalnya Nik Aziz hingga sekarang, memang bercelaru habis. Sekejap begitu dan sekejap begini.

Dan yang paling menimbulkan kemarahan segolongan orang termasuk beberapa kawan rapat saya (Ya, sampai ke peringkat marah, walaupun mereka bukan ahli) ialah apabila ia menjejaskan imej, kehormatan dan kemuliaan Islam, dan bahkan menjejaskan imej, kehormatan dan kemuliaan ulama itu sendiri. (Ingat: PAS pernah disinonimkan dengan Islam).

Ulama yang dikatakan ‘warasatul-anbiyak’ atau pewaris para nabi itu sendiri pun sudah seperti dimanipulasi maknanya hingga... ya, menjadi bercelaru.

Siapakah mereka yang sebenarnya ulama pada hari ini? Apakah mereka yang berserban dan berjubah dan selalu bercakap menggunakan ayat Al-Quran dan Hadis itu sebenarnya ulama?

Dan tidakkah orang yang berpakaian serupa dan bercakap pun serupa itu juga, yang tidak berakhlak seperti akhlak orang Islam? Mana mungkin mereka juga diterima sebagai ulama!

Ya memang bercelaru – sehingga ada sahabat saya yang merumuskan segala hal tersebut adalah fenomena yang menunjukkan dunia sudah berada di akhir zaman, dan itulah tandanya kiamat sudah hampir.

Apa pun, ramailah orang yang sedang menunggu dengan penuh debar untuk mengetahui apakah hasilnya pemilihan dalam muktamar ini.

Masihkah Islam boleh diamanahkan kepada PAS, atau kita perlu mencari badan atau organisasi yang lain pula untuk diamanahkan kepadanya membangunkan semula imej dan wajah Islam yang syumul dan indah itu. – 3 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments