Opinion

Melihat hudud daripada perspektif budaya, masyarakat mula tunjuk toleransi

Polemik hukum hudud yang berlangsung selama beberapa bulan ini meliputi pelbagai aspek, ragam, sudut, perspektif dan dimensinya. Suatu hal yang cukup menarik untuk diperhatikan.

Masyarakat Malaysia dalam pelbagai nada dan rentak, walaupun ada yang agak emosional dan menunjukkan kemarahan, kebencian dan kebosanan, namun secara keseluruhannya boleh dianggap berjaya memperkatakan dan berbincang mengenai isu agama yang sensitif ini secara agak munasabah dan bertoleransi, dalam suasana demokratik.

Agak memeranjatkan juga bagaimana kita boleh mencapai toleransi dan demokratik hingga ke tahap tinggi yang seperti itu. Masyarakat yang dikatakan sangat liberal dan demokratik di Amerika Syarikat pun, terutamanya di Hollywood dan Beverly Hills, begitu cepat melatah dan menunjukkan ‘kuasa’ mereka dengan aksi memboikot perniagaan (hotel) Sultan Brunei di sana, kerana tidak bersetuju sultan itu melaksanakan hukum hudud di Brunei.

Begitu juga dengan tokoh usahawan British seperti Richard Branson yang memiliki Virgin Group itu. Mereka nampaknya langsung tidak tahu menunjukkan sedikit pun rasa hormat kepada budaya dan agama orang lain yang berbeza daripada mereka.

Dalam hal ini kita sangat bersyukur dengan masyarakat kita yang pelbagai kaum, agama dan budaya ini, walaupun dalam berpolitik kita masih belum mencapai tahap kematangan yang serupa. Barangkali kerana politik itu berhubungan dengan kuasa dan perebutan, pemilikan, penunjukan serta manipulasi kuasa. (Kuasa selalu menggoda dan menuntut manusia supaya menguasai orang lain secara tidak demokratik).

Saya sendiri pun tidak menduga implikasinya yang sebaik dan sesihat itu di peringkat awalnya apabila kerajaan negeri Kelantan menyatakan rancangan untuk membawa usul pelaksanaan hudud di Kelantan itu ke Parlimen (Rang Undang-Undang Persendirian).

Situasinya hingga ke saat ini, saya perhatikan, tanpa memikirkan implikasi politiknya (apakah akhirnya Umno-BN yang akan mengaut untung darinya atau Pakatan Rakyat akan berpecah kerananya), adalah sangat baik untuk masyarakat kita. Ia membuka medan perbincangan dan medan persefahaman bersama, berasaskan suatu hukum agama yang dianuti oleh sebahgian besar rakyat negara ini.

Pembicaraan hukum yang pada asalnya dianggap eksklusif hak ulama atau ilmuan Islam itu, kini terbuka menjadi medan perbincangan hampir semua orang – sesiapa sahaja, yang pakar mahupun yang jahil, Islam atau bukan Islam – walaupun hukum itu sebenarnya dicadangkan akan dilaksanakan eksklusif di Kelantan dan atas orang Islam sahaja.

Maka kita pun dapat mengikuti perbahasan dan pemikiran yang pelbagai ragam, bertujuan mencari rasional dan kewajaran bagi menegakkan pandangan dan pendirian masing-masing, hingga tidak kurang juga yang begitu melucukan, atau mengelirukan (tanpa disedari oleh pihak yang berhujah tentunya) apabila dilihat daripada sudut tertentu. Dan kadang-kadang kita pun tidak menduga hujah sedemikian itu boleh diucapkan oleh orang atau tokoh yang sedemikian.

Tidak dinafikan ada juga pihak yang cuba membuat ugutan dan yang seumpamanya, tetapi hingga saat ini belum lagi ada yang sampai ke peringkat melampaui batas-batas demokratik.

Dan perbincangan bukan sahaja mengenai apakah potong tangan (kerana mencuri) itu wajar dilaksanakan atau tidak, suatu tindakan yang selaras dengan nilai ketamadunan moden atau tidak, tetapi juga mengenai makna dan maksud ‘mencuri’ itu sendiri pun.

Misalnya pihak pemodal yang mendapatkan hak ke atas tanah rakyat secara tidak adil melalui pengaruh wangnya, apakah itu juga dianggap sebagai ‘pencuri’, makanya pemodal itu perlu dipotong tangannya? Begitu juga penguasa yang menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan kekayaan yang sebenarnya bukan haknya. Juga perasuah yang mendapatkan sesuatu melalui rasuah.

Tidakkah mereka itu juga sebenarnya mencuri, kerana mereka mengambil sesuatu yang bukan hak mereka? Maka apakah perasuah dan penyalahguna kuasa itu juga tergolong sebagai pesalah ‘curi’ yang akan dipotong tangannya?

Kita tiba-tiba berfikir sampai ke situ, atau membuka fikiran kita hingga seluas itu, sedangkan selama ratusan tahu lalu di bawah undang-undang jenayah biasa kita tidak pernah pun berfikiran demikian? Kenapa kini ketika memikirkan hukum hudud maka fikiran kita tiba-tiba menjadi kreatif dan meneroka makna mencuri itu hingga sedemikian?

Apakah kerana hukum Islam itu dikatakan pada asasnya bertujuan untuk keadilan, makanya kita pun berfikir dalam perspektif mencari keadilan? Kalau benarlah demikian alangkah bagusnya, kerana itu menunjukkan pembicara hudud yang sebahagiannya terdiri daripada orang bukan Islam itu menerima asas prinsip hukum Islam adalah berasaskan tujuan untuk keadilan.

Secara tidak disedari kita dapati proses pemahaman atau persefahaman bersama antara rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan budaya itu sedang berlangsung. Inilah perspektif budaya yang saya maksudkan. Kita melihat perkembangan polemik hudud yang sedang berlangsung itu bebas daripada sentimen dan pengaruh politik.

Memanglah polemik itu pada asalnya dicetuskan oleh suatu tindakan politik, atau cita-cita dan tekad politik (yang di suatu pihak itu bertunjangkan agama). Tetapi perkembangannya hari ini sudah melampaui perbatasan politik dan agama.

Saya pernah timbulkan persoalan nilai kemanusiaan pada denda potong tangan yang kebanyakan orang hari ini menganggapnya sebagai ketinggalan zaman dan bersifat kuno dan barbaric, (maka Dr Mahathir pun menyindir: akan kudunglah tangan-tangan orang Islam); sedangkan doktrin Islam menegaskan ajaran Islam, termasuk hukum-hukumnya, adalah sesuai untuk sepanjang zaman.

Persoalan itu dijelaskan dengan baik sekali oleh seorang pengamal undang-undang Mohamed Hanipa Maidin – tidak semestinya yang lama itu tidak baik dan yang baru itu lebih baik. Beliau mengemukakan hujahnya dengan bukti-bukti daripada apa yang berlaku dalam dunia perundangan dan kehakiman hari ini.

Memang hujahnya ada, tetapi bukan itu yang saya pertikaikan. Saya menyatakan persepsi orang ramai dan berdasarkan fahaman awam terhadap nilai ketamadunan moden hari ini, maka denda seperti potong tangan itu dianggap kuno dan barbaric. Itu terjadi akibat kegagalan umat Islam mempertahankan kedudukan mereka sebagai pemimpin tamadun dunia sebelum kebangkitan Eropah pada abad ke-17.

Hari ini nilai baik daripada denda potong tangan itu sudah tidak mahu diterima lagi oleh orang moden. Maka bagaimana dan apakah yang seharusnya dilakukan oleh orang Islam (dan parti serta kerajaan Islam) bagi mengembalikan nilai baik tersebut? Suatu jenis kempen secara lembut dan berseni perlulah dilakukan.

Misalnya saya teringat pada sebuah filem Iran terbitan 2001, Kandahar, karya dan arahan Mohsen Makhmalbaf, yang bercerita mengenai masyarakat Afghanistan yang ramai kehilangan kaki akibat peperangan. Bukan cerita pokoknya, tetapi menjadi sebahagian latar masyarakatnya. Maka kaki palsu menjadi barang yang sangat diperlukan oleh masyarakat miskin itu.

Akibat peperangan! Ramai orang kehilangan kaki. Yang mati di Iraq, Beirut dan Palestin jangan dikira, terlalu banyak. Juga yang cacat dan cedera. Akibat perang. Sejenis perbuatan yang masih terus dilakukan dalam tamadun manusia terkini, dipelopori oleh Amerika dan Eropah (yang bukan Islam itu).

Tetapi kenapa kita tidak berkempen menentang perang seperti kita berkempen menentang hudud hari ini? Kenapa perang tidak dicemuh sebagai aksi yang kuno, primitif dan barbaric? – 4 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments