Opinion

Mengapa tak ramai Melayu turun Bersih 4?

Sudah banyak pandangan dikemukakan bagi menjawab kemusykilan mengapa tidak ramai orang Melayu turun menyertai himpunan Bersih 4 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu. Namun pandangan saya agak berbeza.

Dianggarkan yang hadir semuanya sekitar 200,000 orang atau lebih dengan 65% daripadanya terdiri daripada orang Cina, manakala Melayu hanya sekitar 25% saja. Selebihnya 10% lagi India dan lain-lain.

Saya berpendapat hal itu menunjukkan betapa orang Melayu kini berada dalam keadaan yang sangat keliru, dan ramai juga yang mungkin kebingungan, akibat permainan politik berlebih-lebih dan keterlaluan; ditambah lagi dengan sentimen ketuanan (yakni ketuanan Melayu) dan fahaman Islam yang sempit di kalangan mereka.

Manakala orang Cina pula mereka nampaknya dalam keadaan yang lebih yakin diri, disebabkan kurangnya fenomena politik berlebih-lebih di kalangan mereka, akibat daripada mereka lebih aktif dalam ekonomi dan budaya.

Ini sebenarnya bukanlah satu pandangan baru. Saya lama mengemukakan pandangan atau teori yang mengatakan kita di Malaysia ini berpolitik berlebih-lebih dan keterlaluan, hingga mengakibatkan kehidupan masyarakat kita menjadi kurang harmoni, kurang seimbang dan tidak matang dalam berpolitik (malah kurang Islamik pun).

Perkembangan politik dalam negara kita mutakhir ini (sebelum Bersih 4 lagi) semakin menyerlahkan kebenaran pandangan atau teori saya mengenai berpolitik berlebih-lebih ini. Anda perhatikanlah apa yang berlaku, sejak pemerintahan Dr Mahathir lagi. Bagaimana 'kuasa selain politik' dihakis sedikit demi sedikit, dari semasa ke semasa.

Sekitar waktu itulah misalnya kita mulai bercakap mengenai pengasingan kuasa antara badan pentadbiran (executive), perundangan (legislative), dan kehakiman (judiciary). Kenapa? Kerana kita mulai sedar kepemimpinan Dr Mahathir sedang mengumpul kuasa sebanyak mungkin kepada pihak dirinya yang memegang tampuk kekuasaan politik dan pentadbiran pada waktu itu.

Profesionalisme, dalam pelbagai bidang, mulai tidak dihormati. Sebutlah dalam bidang apa saja pun, termasuk bidang pendidikan, kewartawanan, keagamaan, kesarjanaan akademik, perniagaan dan malah kehakiman. Bidang pentadbiran kerajaan apatah lagi. Cengkaman kuasa politik itu begitu kuat sekali hingga seluruh kakitangan kerajaan menjadi seperti alat dan jentera kepada orang politik yang berkuasa pada waktu itu.

Kehidupan masyarakat kita seluruhnya hendak dikuasai orang politik. Dan masyarakat atau rakyat dari pelbagai bidang dan peringkat pun seolah-olah bersetuju dan menyerahkan seluruh hak mereka kepada orang politik. Akibatnya berlakulah apa yang sedang berlaku sekarang.

Apabila orang politik berkrisis misalnya, kesannya turut dirasai rakyat keseluruhannya, walaupun krisis itu hanya atau sepatutnya hanya berlaku di kalangan dalaman parti tertentu saja. Tetapi penguasaan politik itu mencengkam ke seluruh sistem dan saraf kehidupan masyarakat, maka masyarakat umum turut terganggu dan terluka oleh krisis tersebut.

Apa yang berlaku dalam himpunan Bersih 4 dua minggu lalu, daripada segi kehadiran pesertanya, jelas menunjukkan kesan daripada krisis politik berpanjangan di kalangan orang Melayu kini. Mutakhir ialah krisis dalaman parti PAS, yang kemuncaknya pada muktamar tahunan mereka awal Jun 2015.

Masyarakat Melayu ramai yang mengalami kejutan atau kebingungan budaya (cultural shock) disebabkan oleh hal yang berlaku dalam kepemimpinan PAS itu. Selama ini PAS dianggap sebagai parti Islam dan bahkan autoriti Islam di negara ini. Tiba-tiba masyarakat umum menyaksikan beberapa tindakan yang dilakukan oleh pimpinan parti tersebut melanggar nilai dan hukum Islam, seperti yang mereka fahami selama ini.

Hal itu menggoncang kefahaman mereka mengenai Islam yang terpahat kuat dalam hati sanubari dan minda mereka sekian lama. Beberapa orang kawan saya turut mengalami kejutan dan kekecewaan yang amat sangat, disebabkan hal tersebut.

"Kau bayangkan, aku sekarang sudah 66 tahun. Sejak di sekolah menengah lagi aku berikan kepercayaan penuh kepada pimpinan PAS dengan anggapan merekalah yang menjaga dan berjuang untuk Islam di negara kita. Tiba-tiba setelah Tok Guru Nik Aziz meninggal, para pimpinan PAS yang ada khasnya golongan alim ulama menunjukkan perangai yang sama sekali berbeza dengan Tok Guru Nik Aziz.

"Kalau sekarang aku tak percaya lagi kepada alim ulama, mereka itulah sebabnya. Aku kecewa. Mereka merosakkan Islam yang selama ini kita percaya diperjuangkan parti mereka. Berceramah menceritakan pengorbanan para sahabat Rasulullah dan sebagainya, tetapi lihatlah apa yang mereka buat. Hipokrit besar."

Orang Melayu hilang keyakinan diri dan berada dalam keadaan keliru dan kecewa terhadap kepimpinan Islam, yakni kepimpinan Islam di dalam PAS. Kepimpinan Islam di luar parti PAS memang lama ditolak kebanyakan orang Melayu, disebabkan mereka itu kebanyakannya hanya menjadi tukang angguk saja kepada politik Umno, walaupun untuk yang jelas kemungkarannya.

Dan itu semua dan banyak lagi krisis dalaman parti yang seperti itu, termasuk dalam PKR juga, terjadi kerana apa? Ada banyak faktornya. Memang. Setiap penganalisis boleh menganalisisnya dari sudut dan perspektif serta pendekatan masing-masing. Namun satu perkara yang jelas ialah krisis tersebut terjadi adalah kerana keghairahan berpolitik yang berlebih-lebih.

Kita keterlaluan berpolitik. Hampir dalam segala hal kita berpolitik. Dan kita seperti percaya politik boleh menyelesaikan segala masalah. Walaupun realitinya menyerlahkan berpolitik yang keterlaluan itu menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan masyarakat kita, satu lepas satu tak habis-habis. Namun kebanyakan kita khasnya orang Melayu masih percaya dan berharap pada politik untuk menyelesaikan masalah kita.

Dengan perspektif ini saya sepatutnya menjadi tidak kecewa melihat kurangnya orang Melayu turun menyertai himpunan Bersih 4. Sebab apa? Sebab saya membaca aspek yang positifnya. Mereka keliru dan mengalami kejutan/kebingungan. Maka saya berharap selepas ini mereka pasti akan berfikir dan menilai semula kepercayaan mereka tentang politik yang boleh menyelesaikan segala masalah itu.

Saya berharap selepas ini orang Melayu akan mulai berfikir dan menyedari kesilapan mereka yang terlalu percayakan politik dan malah turut sama berpolitik secara berlebih-lebih itu. Semoga harapan akan menjadi kenyataan.

Dan harapan bukanlah sekadar harapan kosong semata-mata. Bersama dengan kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kami sebenarnya bekerja dan berusaha ke arah merealisasikan harapan tersebut.

Mungkin pandangan saya mengenai faktor kurangnya orang Melayu menyertai himpunan Bersih 4 ini agak berat sebelah atau 'bias' kepada pandangan saya mengenai berpolitik berlebih-lebih itu. Saya tak pasti. Namun saya percaya itulah faktornya: Orang Melayu sedang berada dalam keadaan yang sangat keliru dan kecewa.

Dan keadaan sangat keliru dan kecewa itu apakah faktornya? Faktornya tak lain tak bukan ialah akibat daripada permainan politik yang berlebih-lebih. Seorang penulis di laman sosial FB (Wak Rico Rock Kapak, 12 September) membandingkan tindakan beberapa orang tokoh politik kita bertukar parti kini seumpama yang lazim berlaku di kalangan pemain bola sepak dunia.

Anda fahamlah apa maksudnya, bukan? Bersetuju atau tidak, saya berharap ia tidaklah sampai ke tahap itu. – 16 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments