Opinion

Mengenang Tan Malaka hari ini untuk apa?

Cikgu Ishak Surin, Imam Madrasah Tarbiyah merangkap pengerusi Permuafakatan Perkampungan Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat), yang juga aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO), sudah beberapa kali menyatakan hendak mengadakan majlis bicara ketokohan Tan Malaka.

Baru-baru ini majlis Bicara Tan Malaka itu diadakan pada 10 Oktober lalu. Tempatnya di Madrasah Tarbiyah Jalan Gombak, yang terkenal dengan penganjuran pelbagai aktiviti seni budaya hingga ia dikenali juga dengan nama Madrasah Seni.

Siapa Tan Malaka? Jawapannya boleh diperoleh jika kita merujuk Google atau mencari buku mengenainya. Memang ada beberapa buah buku mengenainya di pasaran. Baru-baru ini, saya terbaca di Facebook, ada kumpulan anak muda yang menganjurkan wacana mengenai Tan Malaka.

Di kalangan kelompok kawan-kawan saya Tan Malaka bukanlah nama yang asing. Prof Shaharir misalnya pernah menyebut Tan Malaka ialah orang Melayu yang pertama memahami dan mampu mengkritik teori Einstein, iaitu melalui bukunya “Madilog” (Materialisme, Dialektika dan Logika), terbitan 1943.

Saya tanya Cikgu Ishak kenapa hendak buat program Bicara Tan Malaka? Dia jawab: “Tan Malaka ialah pejuang yang amat besar jasanya tetapi dilupakan.” Apa jasanya yang amat besar itu? Jawabnya: “Membebaskan Nusantara daripada penjajahan.”

Saya tanya lagi jika dibandingkan  dengan Sukarno, Hatta, Natsir? Jawabnya: “Dia lebih hebat daripada mereka, malah bukunya "Massa Aksi" yang ditulisnya pada 1926 jadi rujukan Bung Karno bahkan teramat banyak istimewanya.”

Lagi saya bertanya: Dia komunis? Maka dijawabnya: “Dia tinggalkan PKI (Parti Komunis Indonesia) pada 1927. Harry Poeze salah seorang pengarang yang banyak menulis mengenainya mengatakan Tan Malaka bukan komunis.”

Harry Poeze, seorang intelektual dan sejarawan dari Belanda, menjalankan penyelidikan selama 30 tahun dan berjaya menulis lima jilid buku mengenai Tan Malaka, setebal lebih 2,000 halaman. Katanya, Tan Malaka juga menulis tidak kurang daripada 69 buah karya dalam bentuk buku, brosur, suratkhabar dan sebagainya.

Memang Tan Malaka seorang komunis. Malah dia pernah menjadi wakil Komunis Internasional (Komintern) bagi wilayah Asia, yang berpejabat di Manila.

Sekitar waktu itu (1925) apabila PKI merancang hendak mengadakan pemberontakan besar-besaran di Indonesia, mereka perlu melaporkannya kepada Tan Malaka di Manila.  Tan Malaka tidak bersetuju dengan cadangan itu, namun pemberontakan dilaksanakan juga, tetapi gagal mencapai tujuan.

Sebelum itu, pada 1922 Tan Malaka ditangkap oleh pihak penguasa Belanda yang memerintah Indonesia waktu itu, kerana kegiatannya mendidik rakyat supaya menuntut kemerdekaan (yang disebutnya merdeka seratus persen) dan dia dibuang ke Belanda.

Kepercayaannya keperluan pendidikan untuk membebaskan fikiran rakyat mendesak dia menubuhkan sekolahnya sendiri, di Semarang dan Bandung. Kata Ihsanudin, “Tan Malaka mengungkapkan kunci perubahan masyarakat terletak dari cara berfikir yang kritis dan dinamis.”

Mengenai cara berfikir itulah Tan Malaka percaya kepada Marxisme. Tetapi tafsiran Marxismenya agak berbeda. Asuhan agama Islam yang terserap ke dalam dirinya ketika tumbuh dalam lingkungan masyarakat Minang yang kuat berpegang kepada agama itu, menyebabkan Tan Malaka tidak dapat meninggalkan Islam, betapa kuat  kepercayaannya kepada cara berfikir Marxisme.

Ihsanudin yang juga membuat kajian ke atas Tan Malaka merumuskan Tan Malaka beranggapan komunis dan PKI tidak mampu menjadi kekuatan revolusioner, kerana PKI tidak punya akar umbi dalam masyarakat Indonesia. Oleh kerana itu mereka memerlukan kepada kekuatan Islam.

Bahkan gagasan “Madilog” yang menjadi formula khas Tan Malaka itu pun, mengikut Ihsanudin “tidak bisa dipisahkan dengan spirit Islam yang dianuti sejak kecil. Tan Malaka ingin memberikan landasan berfikir dan arah bagi terbangunnya bangsa yang bermartabat.”

Sejak dibuang negeri ke Belanda,  Tan Malaka meneruskan perjuangannya dari Belanda dia ke Jerman. Di Jerman dia menulis buku pertamanya, “Toendoek Pada Kekoeasaan Tetapi Tidak Toendoek Kepada Kebenaran”. Waktu itu umurnya 25 tahun. (Lahir pada 1897).

Apabila parti komunis dunia mengadakan Kongres Komunis Internasional di Moscow pada 5 November ke 5 Disember 1922, Tan Malaka hadir dan turut berdebat dengan Stalin. Kata Ihsanudin dalam bukunya “Tan Malaka dan Revolusi Proletar” (2010):

“Saat berdebat dengan Stalin, Tan Malaka mencontohkan di Hindia Belanda, Sarekat Islam merupakan gerakan revolusioner yang dapat dirangkul untuk melakukan perlawanan kepada pemerintah kapitalis Hindia Belanda.”

Dalam kongres di Moscow itu juga diselenggarakan kongres Profintern – Himpunan Serikat Buruh Komunis. Tan Malaka sempat menyampaikan gagasan pentingnya dalam acara tersebut. Dia mengusulkan agar diwujudkan hubungan dan ikatan antara seluruh pekerja yang terdapat di pelabuhan-pelabuhan penting di sekeliling Lautan Teduh.

Cadangannya itu diterima baik oleh kongres berkenaan, lalu ditubuhkan Red Eastern Labour Union, berpejabat di Canton, China. Tan Malaka ditugaskan mengetuai biro tersebut, di Canton. Serentak itu juga dia dipercayai untuk memimpin majalah berbahasa Inggeris, The Dawn, sebagai suara politik komunis antarabangsa.

Barangkali sosok Tan Malaka sebagai seorang pemikir dan ideolog di sebalik gerakan revolusi di Indonesia itulah yang hendak diselongkar oleh wacana anjuran Majlis Perpaduan dan Pembangunan Kampung Banda Dalam (PADU), pada  9 Oktober lalu. Lihat saja barisan pembicaranya – Prof Emeritus Shaharir Md Zain, Dr Mohd Alinor Ab Kadir dan Kassim Mohamad.

Dr Mohd Alinor dalam satu status Facebooknya menyatakan dia sudah mendapatkan 10 buah buku mengenai Tan Malaka yang akan ditelaahnya, dan dia akan membicarakan aspek pemikiran Tan Malaka.

“Tan Malaka adalah sosok yang rasional, dinamis, tegas dan penuh disiplin,” kata Ihsanudin, merumuskan dalam bukunya itu.

Jelasnya lagi: “Di kalangan para ilmuwan, posisi Tan Malaka banyak diperdebatkan dengan sudut pandang yang beragam. Di mata seorang Indonesianis seperti Ben Anderson, ia disebut sebagai seorang nasionalis komunis. Prof M.Yamin mengelar Tan Malaka sebagai ‘Bapak Republik’.

Dalam suatu persidangan mengenai falsafah Indonesia, Tan Malaka juga diiktiraf sebagai seorang ahli falsafah yang setaraf dengan Sutan Takdir Alisjahbana.

Antara kata-katanya yang selalu diingat ialah ketika dia ditangkap polis di Hongkong pada1932, dia berkata: “Ingatlah dari dalam kubur suaraku akan lebih keras dari atas bumi.” – 14 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments