Pada 26 Disember 2013, bertempat di Alang Sedayu, Gombak. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan program “Makan Malam dan Santai Seni” bersama pelajar-pelajar kursus Penulisan Skrip Teater dari sebuah universiti di Lembah Kelang, yang tamat pengajian pada akhir Disember lalu.
Bukan selalu diadakan kursus penulisan skrip teater sedemikian di negara kita ini. Saya pun tak tahu pasti bilakah ia pernah diadakan sebelum ini. Tapi rasa-rasanya memang pernah diadakan. Apakah ia membawa hasil yang sepatutnya atau tidak, pun tidak pasti. Tetapi ternyata kita tidak pernah menyedari adanya sebilangan penulis skrip yang lahir dari mana-mana kursus sebegitu.
Setelah memulakan kursus tiga jam 14 siri (14 minggu) pada 12 September itu, saya mensasarkan untuk melihat sekitar 10 orang peserta (daripada 16 orang yang mengikuti kursus) akan lahir sebagai penulis, pada akhir kursus. Alhamdulillah, sebelum minggu ke-10 saya sudahpun diyakinkan bahawa sasaran itu akan tercapai. Maka perbincangan dengan kawan-kawan Paksi bersetuju untuk mengadakan program makan-makan santai seni, bagi meraikan penulis-penulis baru itu.
Ya, sepuluh orang atau lebih tiba-tiba muncul sebagai penulis baru mengkhusus di bidang teater (walaupun tiga daripada mereka bukan orang Malaysia) – ini tentulah bukan satu perkara biasa. Ia sesuatu yang bukan biasa terjadi. Maka itu Paksi mengambil sempenanya, menjemput kawan-kawan penulis dan budayawan yang biasa dengan Paksi dan teater, untuk hadir makan-makan sambil meraikan kehadiran penulis-penulis baru ini.
Alhamdulillah malam itu hadirlah A Samad Said (SN), Siti Zainon Ismail, Prof Shaharir, Pyanhabib, Rahimidin Zahari, Sani Sudin, Rahmat Harun, Nur Hanim Khairuddin, Chan Yong Sin, Ahmad Lutfi Othman, Lim Hong Siang, Amni Jagat, Hazayani, Tini Rahim, Nizam Yamin, Soleh, di samping beberapa orang Paksi sendiri seperti Kassim, Hasni, Dr Alinor dan Nasser; dan juga seorang pensyarah drama dari universiti tersebut.
Sebahagian kami hadir sejak petang lagi, kerana jemputannya pun bermula jam enam. Lokasinya yang masih terpelihara alam semulajadinya itu – itulah yang mewajarkan jemputan sedemikian. Dimeriahkan pula oleh buah-buah durian yang disumbangkan Tian Chua itu (sahabat Paksi orang politik yang mengerti seni-budaya).
Duduk-duduk, makan-makan, borak-borak, sambil menikmati persembahan kawan-kawan, dimulakan oleh penyair muda dari Johor, Amni Jagat. Kemudian Nik Norimani (Amani) pula melakonkan semula sebahgian teater mono yang dipersembahkannya di Kota Bharu baru-baru ini. Tanpa apa-apa persiapan – tanpa kostium, mekap dan cahaya yang diperlukan. Hanya lakonannya sahaja, dalam pelbagai watak mengenai lelaki yang kehilangan alat jantina kerana kesilapan tok mudim itu. Sangat menarik.
Panji Wilimantara pelajar wayang kulit dari Bali itu menyampaikan lagu khas Jawa dari wayangnya – juga sangat mengasyikkan. Sayang kawannya pelajar tari yang sama-sama dari Bali, Ida Ayu Sasrani (Dayu), terpaksa bergegas pulang ke Bali kerana suatu keperluan. Kita kehilangan suatu persembahan tarian solonya malam itu.
Pelajar jurutera elektrik dari Bangladesh, Pardita Jamal Parisa, menyampaikan puisi Inggeris. Pelajar Malaysia Norhan Fahmi juga menyampaikan puisi. Manakala pensyarah drama mereka menyampaikan sebuah lagu Melayu. Firdaus pelajar cacat penglihatan itu sepatutnya akan menyanyi bersama petikan gitar Amera Yusof, tetapi tak dapat melakukannya kerana Amera pun, sebelum itu, terpaksa bergegas ke rumah ibunya atas suatu urusan yang tak dapat tidak.
Apapun, yang pentingnya dalam program itu bukanlah persembahannya, tetapi kehadiran bersama antara penulis dan seniman yang sudah ternama dengan yang baru bermula untuk menjadi penulis itu. Seperti dikatakan tadi, bukannya selalu terjadi bahawa tiba-tiba lahir di kalangan kita sekitar sepuluh orang atau lebih penulis baru yang mengkhusus di bidang teater. Maka Paksi berbesar hati menyambut kelahiran itu.
Seperti dikatakan – bukan selalu terjadi kelahiran penulis yang seperti ini. Saya sendiri pun masih ada beberapa tanda tanya di dalam kepala. Bagaimanakah sebenarnya ia terjadi? Dan bagaimanakah seterusnya ia akan terjadi?
Antara dua soalan itu soalan kedualah yang lebih mustahak difikirkan sekarang. Bagaimana-kah seterusnya yang akan terjadi kepada pelajar-pelajar penulisan skrip teater itu? Apakah mereka akan benar-benar menjadi penulis selepas ini ataupun mereka menghasilkan skrip itu hanya untuk keperluan peperiksaan sahaja, dan selepas ini mereka akan melupakannya?
Memang ada seorang dua, selain daripada Panji dan Dayu, yang nampaknya akan terus aktif berteater. Panji dan Dayu itu memang jelas sudah menjurus untuk berterusan di bidang teater – seorang dengan seni tari dan seorang dengan wayang kulit. Tetapi mereka akan aktif itu di tanahair mereka sendiri – di Bali, Indonesia. Bukan bersama dengan kita di sini – di Malaysia.
Soalnya, di antara 13 peserta yang dari Malaysia itu berapa orangkah yang mungkin akan berterusan aktif di bidang teater dan/atau penulisan? Memang sebahgian mereka telah menunjukkan bakat yang sangat menggalakkan dan memberikan harapan besar kepada kita. Tetapi, seperti yang selalu dikatakan, di negara kita ini teater moden yang sebenarnya teater belum lagi mendapat penghargaan daripada masyarakat. Sedangkan dalam masyarakat Melayu lama dahulu teater dihargai.
Hari ini yang diberikan penghargaan oleh masyarakat kita (juga kerajaan) hanyalah kepada teater komersil atau teater hiburan – muzika dan konsert. Rahimidin sendiri seorang pegawai di Istana Budaya, mengaku akan hal ini.
Namun walau bagaimanapun teater moden Malaysia terus berkembang jua dengan caranya sendiri. Nik Norimani pun sudah berjanji akan mementaskan “Uri” karyanya itu pada akhir Februari. Dan kita menantikan peserta-peserta kursus yang lain itu pun akan mementaskan karya mereka masing-masing. Ayieat Farid dengan “Rumah Syaitan”nya, Panimalar dengan “Kemarahan”nya, Amera Yusof dengan “Perutusan Luka Memori Keluarga”nya, Firdaus dengan “Wasiat Arwah” dan seterusnya.
Pentas Santai Seni Paksi di Alang Sedayu malam itu diakhiri dengan penampilan A Samad Said. Dengan wajah dan penampilannya seorang seniman sejati dengan kebijaksanaan kesenimanannya, Samad Said menyampaikan amanat ringkas yang sungguh bermakna. Bukan sahaja buat penulis-penulis baru malah buat semua penulis dan aktivis budaya yang hadir dalam pertemuan itu. Memang demikianlah seorang seniman yang telah mencapai tahap kebijaksanaan kesenimanannya. Selalu ada sesuatu yang berhikmah darinya.
Prof Shaharir dan Siti Zainon tidak tampil ke pentas malam itu, tetapi kelihatannya begitu asyik dan ria sekali berbicara dengan teman-teman. Memang pun program itu bukan untuk menyampaikan sesuatu di atas pentas. Ia hanyalah satu lagi pertemuan keluarga besar Paksi, yang kali ini diadakan khas untuk menyambut kehadiran penulis-penulis baru itu.
Sesungguhnya kehadiran penulis-penulis baru, apatah lagi aktivis teater, ke tengah-tengah masyarakat hari ini adalah penting. Kerana itulah Samad Said, Prof Shaharir, Siti Zainon, Chan Yong Sin dan Rahimidin pun bersetuju untuk bersama-sama dengan Paksi, meraikan mereka. – 2 Januari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments