Kali terakhir ia dipentaskan di Surau Taman Jenaris, Kajang, 6 April 2013, sebagai sebahagian acara Jelajah Budaya Selangor ke-7 (JBS-7). Kira-kira sembilan bulanlah sudah dan itu kali yang ke-60 begitu, kira-kira. Saya pun tak berapa pasti (sebab dah berhenti mencatatnya selepas kali ke-52 pada 9 Jun 2012).
Tapi kira-kira begitulah, setelah pementasan perdananya di hadapan Sultan dan Menteri Besar Kelantan, di Kota Bharu pada 30 Mac 2009. Teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT). Sudah hampir genap empat tahun usianya. Dan ia akan dipentaskan lagi pada 19 Januari ini, di laman letak kereta Tesco, Semenyih sempena sambutan Maulidur Rasul 1435, anjuran Masjid Rinching Hulu, Semenyih.
Masih Sani Sudin sebagai pemain muziknya (menggesek dan memetik biola). Sejak persembahan pertama di Stor Teater DBP pada 26 Mac 2009, Sani Sudinlah yang menjadi pemain muzik teater ini. Hanya tiga kali sahaja dia tak dapat mengambil bahagian, dan dua kali digantikan oleh orang lain. Ghani gitaris Blues Gang pernah sekali memetik gitarnya mengiringi lakonan Sabri Yunus dalam pementasan MKDT di Laman Budaya Shah Alam, 8 Ogos 2009.
Manakala pelakonnya sebagai Kaab bin Malik, sekarang sudah pelakon yang keempat. Yang pertama dan yang kebanyakannya ialah Sabri Yunus, sejak 26 Mac 2009 itu. Hanya kerana Sabri tak dapat menunaikan permintaan pada tarikh-tarikh tertentu (kerana ada komitmen yang lain), pihak penerbit terpaksa menawarkan kepada pelakon lain untuk melakonkan watak Kaab bin Malik itu, bagi menunaikan permintaan pementasannya.
Pernah Saufi Jikan memainkan peranan tersebut dalam pementasan di Taman Melewar (16 Mei 2009), di bawah arahan Nasir Jani. Kemudian Bob Lokman juga pernah beberapa kali, bermula pada 25 Februari 2012, di pekarangan surau Taman Muhibah, Kulai, Johor.
Kemudian Bob Lokman juga berlakon dalam pementasan di Masjid Kampung Delek, Klang; di Rumah Pangsa Sri Perantau, Pelabuhan Klang; dan di Masjid Nurul Iman, Rawang. Manakala Sabri Yunus pula, lakonannya yang terakhir dalam MKDT ialah di Masjid Darul Muttaqin, Sungai Udang, Klang (11 November 2012).
Pelakon yang akan menghidupkan watak dan pengakuan Kaab bin Malik sahabat Rasulullah SAW pada 19 Januari ini ialah Nizam Yamin, seorang pelakon muda lulusan Aswara dan Universiti Malaya. Ini ialah kali keempat Nizam bergabung tenaga dengan Sani Sudin bagi menjayakan pementasan MKDT. Kali pertamanya ialah di Auditorium Darul Quran, Kuala Kubu Baru, pada 30 Januari 2013 (sempena JBS-4).
Sani Sudin bukan sahaja bermain biola dalam pementasan MKDT yang dilakonkan oleh Nizam tetapi dia juga bertindak sebagai pengarah teater ini, iaitu bagi pementasan di Kuala Kubu Baru, di Sabak Bernam, dan Kajang.
MKDT ialah sebuah teater yang skripnya dihasilkan sebagai adaptasi daripada sebuah hadis Nabi iaitu sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang merupakan pengakuan oleh Kaab bin Malik (sahabat Nabi) mengenai rasa bersalah dan taubatnya kerana dia tidak ikut bersama Rasulullah SAW berjihad dalam Perang Tabuk.
Kaab bin Malik ketika tuanya (dan menjadi buta) telah menceritakan pengalamannya yang unik itu kepada anaknya, Abdullah bin Kaab dan meriwayatkan kisah pengakuan bapanya ini, hingga ia menjadi sebuah hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ketika membaca hadis ini saya sangat tertarik dengan keunikannya. Ia berbeza sekali dengan hadis-hadis yang lain. Paling menyentuh kreativiti saya ialah perihal seorang sahabat Rassulullah SAW membuat pengakuan akan rasa bersalahnya kerana tidak ikut berjihad dalam peperangan bersama Rasulullah SAW; dan dia mengaku bahawa dia sendiri tidak mempunyai sebarang alasan munasabah untuk tidak ikut berjihad itu.
Kaab juga mengaku, dalam ceritanya kepada anaknya itu yang dia mengalami dilema samada hendak bercakap benar atau berbohong kepada Rasulullah, mengenai sebab mengapa dia tidak ikut berjihad. Dan akhirnya dia membuat pengakuan di hadapan Rasulullah SAW, dengan berkata:
“Wahai Rasulullah, sekiranya saya duduk di hadapan siapa saja di dunia ini selain tuan, nescaya saya akan padamkan kemarahannya dengan mengemukakan alasan-alasan yang munasabah. Saya tahu saya dikurniakan bakat pandai bercakap. Tetapi wallaah saya juga tahu sekiranya hari ini saya memberi alasan dusta kepada tuan hingga tuan meredhakan saya, Allah pasti memerintahkan tuan supaya marah kepada saya. Sebaliknya sekiranya saya bercakap benar, tuan mungkin akan marah kepada saya, namun saya masih boleh mengharapkan keampunan dari Allah ‘Azza wa-Jalla. Wallaah saya sebenarnya tidak uzur apa-apa. Wallaah saya tidak pernah berasa lebih kuat dan selesa seperti waktu saya tertinggal dari mengikuti tuan hari itu.”
Akibat pengakuannya itu, Nabi menyerahkan persoalannya kepada Allah untuk diselesaikan sendiri oleh Allah. Apakah lagi peristiwa lain yang lebih istimewa daripada ini? Fikir saya. Allah terlibat secara langsung dalam penyelesaian masalah manusia, dan ia berlaku secara disedari oleh manusia.
Dan seluruh hadis itu, yang merupakan pengakuan oleh Kaab itu, disampaikan oleh Kaab dalam satu bentuk penceritaan yang sangat dramatik. Saya seperti menonton sebuah teater. Maka tidaklah susah untuk mengolahnya semula menjadikannya sebuah skrip teater lakonan seorang Kaab bin Malik bercerita kepada masyarakat hari ini. Dan saya memberikan iringan muzik sepanjang pengkisahan itu, untuk menjadikannya lebih menarik.
Ternyata sambutan masyarakat terhadap teater ini sangatlah menggalakkan. Tidak berapa lama setelah pementasan pertamanya kepada umum di Shah Alam pada 29 April – 3 Mei 2009, sebuah masjid di Pulau Pinang meminta supaya teater ini dipentaskan di sana. Maka pertama kali teater dipersembahkan di dalam masjid, iaitu Masjid Batu, Permatang Pauh, pada 30 Mei 2009.
Malam itu teater menggantikan tazkirah agama. Selepas solat Maghrib, jemaah yang memenuhi masjid malam itu tidak bergerak. Hanya mereka yang di saf hadapan sahaja bergerak untuk memberikan sedikit ruang. Selepas itu berlakulah suatu peristiwa yang belum pernah berlaku sebelumnya di dalam masjid iaitu muzik dimainkan di ruang solat utamanya dan diikuti sebuah lakonan teater selama 40 minit.
Itulah permulaannya yang diikuti pula oleh Masjid Al-Amaniah, Batu Caves, pada 18 Ogos 2009, dan selepas itu MKDT telah dipersembahkan di beberapa buah masjid dan surau lagi, di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Johor.
Sesuatu yang tidak pernah saya terfikirkan sebelumnya bahawa teater akan pernah dimainkan di dalam masjid. Bukan di dalam dewan kuliahnya tetapi di dalam ruang solat utama. Dan ia menggantikan tazkirah agama. Terima kasih kepada Cikgu Khairuddin, Pengerusi Masjid Batu Permatang Pauh, kerana meneroka kemungkinan baru ini.
Memang teater ini pun umpama suatu pengajian ilmu hadis yang disampaikan secara lakonan. Pelakon teater ini, di samping melakonkan watak Kaab bin Malik, juga tanpa disedarinya turut berperanan sebagai penyampai ilmu hadis.
Dan menariknya juga ialah peranan yang kini dimainkan oleh masjid-masjid dan surau-surau dalam mengaktifkan aktiviti teater. Pementasan di Tesco Semenyih pada Ahad 19 Januari ini pun adalah hasil anjuran Masjid Rinching Hulu, Semenyih. (Mereka yang berminat bolehlah hubungi saya melalui SMS 019-7172408). – 17 Januari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments