Opinion

Naratif satira P Ramlee (Bahagian 2)

Apek kena tipu oleh P Ramlee, atau Jamil namanya dalam Madu Tiga. Selamba sahaja dia menipu. Memang dalam filem ini penuh dengan adegan menipu. Hidup Jamil penuh dengan menipu. Dia tipu isterinya Latifah dia nak pergi makan kenduri, sebenarnya dia nak pergi kahwin.

Dia tipu keluarga bakal isteri mudanya kata dia sudah dapat izin isteri tuanya untuk kahwin lagi satu. Bila dua-dua isterinya dapat tahu mereka dimadu, lagilah macam-macam adegan menipu ditunjukkan.

Tak cukup Jamil yang menipu, bapa mertuanya pun ikut sama berpakat menipu, termasuk menipu anaknya sendiri, bersubahat dengan menantunya yang berkahwin lagi. Dan Jamil ini memang jenis lelaki pantang tengok perempuan cantik. Baru saja kahwin isteri kedua, jumpa dengan Rohani dia terus jatuh hati lagi. Kahwin lagi isteri ketiga, dengan mengaku/menipu yang dia masih bujang, belum pernah kahwin.

Begitulah, sebenarnya, P Ramlee mentertawakan orang yang kahwin lebih daripada satu isteri. Hidup terpaksa menipu satu demi satu demi satu dan terus menipu. Itulah Jamil. Kalau mengikut falsafah absurd atau cara fikir absurd, sepertimana mereka melihat Waiting For Godot (mahakarya absurd oleh Samuel Beckett) itu sebagai menggambarkan hidup yang penuh kehampaan, menunggu dan terus menunggu sesuatu yang tak kunjung tiba; maka di sini kita juga boleh melihat Madu Tiga sebagai menggambarkan bahawa kehidupan ini penuh dengan penipuan atau aksi-aksi menipu.

Manusia yang ingin mencapai kebahagiaan dalam hidupnya, atau ingin memenuhi keinginan dirinya (seperti nyanyi P Ramlee: “Senangnya dalam hati, kalau beristeri dua; seperti dunia ana yang empunya), maka dia terpaksa hidup seperti Jamil dalam Madu Tiga. Benar atau tidak – itulah pandangan P.Ramlee.

Satu perkara yang agak pelik – kita tak marah kepada Jamil walaupun dia asyik menipu isteri-isterinya. Dan saya rasa orang perempuan pun tak marah. Saya tak pernah dengar ada orang marah kepada P Ramlee kerana watak Jamil dalam Madu Tiga yang hidupnya penuh dengan menipu. Kenapa kita tak marah kepada watak jahat ini? Menipu itu ‘kan jahat?

Sebenarnya dalam filem ini kita tak terfikir dan tak terasa pun yang watak Jamil itu jahat. Sistem nilai yang membezakan baik dan jahat dalam diri kita seolah-olah tak berfungsi apabila kita menonton filem P Ramlee. Aspek kelakar dan lawaknya itu yang lebih menguasai perasaan dan minda kita.

(Betulkah begitu? Saya pun tak pasti. Tetapi saya perhatikan – begitulah. Misalnya dalam Ali Baba Bujang Lapuk, P.Ramlee jadi ketua penyamun. Adakah kita marah dan bencikan dia kerana menyamun harta orang? Tidak. Sebaliknya kita suka tengok dia berlakon dan kita ketawa dengan kelakar dan lawak lakonan dia; walaupun yang dia lakonkan itu ialah watak manusia jahat yang suka menyamun harta orang.)

3. Tiga Abdul

Satu lagi filem P Ramlee yang saya suka ialah Tiga Abdul. Ia lebih kurang macam Musang Berjanggut juga – kritikan atau kritik sosialnya begitu hebat sekali. Jelas, walaupun dengan cara menyindir; tepat mengena pada sasaran; dan kena itu begitu kuat sekali. Orang-orang yang tamak haloba dan hidup mengejar kekayaan wang dan harta telah dihukum oleh P Ramlee dengan hukuman yang cukup berat, iaitu semua harta kekayaan mereka dirampas dan mereka dijatuhkan taraf menjadi hamba abdi.

Cuba kita ingat kembali ceritanya. Tiga Abdul – Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub. Cara P Ramlee memberi nama kepada watak-watak dalam filemnya, pun satu keistimewaan. Ismet Ulam Raja – bapa kepada tiga orang Abdul itu, seorang saudagar kaya.

Itu bukan nama biasa. P Ramlee mencipta nama-nama yang di luar kebiasaan, tetapi menarik, hingga menjadi sebutan orang. Sadiq Segaraga – seorang lagi saudagar kaya. Dia ada tiga orang anak perempuan – Hamidah, Rafidah, Ghasidah. Dan ada satu lagi nama yang menarik dalam filem ini – Husein Lempoyang, saudagar unta yang beli Abdul Wahab dan Abdul Wahid ketika dijual sebagai hamba di pasar hamba abdi di kota Isketambola.

Ismet Ulam Raja ialah jenis saudagar atau bisnesman yang sanggup buat apa saja untuk merebut harta kekayaan, waimma menjual anak perempuannya sendiri. Di sini kita lihat plot cerita atau naratif yang menjadi trade mark P Ramlee, yang khas cara dan gayanya, termasuk lakonan.

Ada satu plot cerita yang istimewa, yang sengaja diadakan atau direkacipta, semata-mata bagi membolehkan P Ramlee memasukkan maksud dan menonjolkan mesej sesebuah karya. Kebanyakan filemnya dibuat begini.

Misalnya dalam Tiga Abdul apa yang dia buat? Dia buat syarat dalam perjanjian perkahwinan anak-anak Ismet Ulam Raja. Ini filem keluaran 1964. Orang Melayu-Islam berkahwin, ada perjanjian dan syarat, yang dibuat oleh peguam. Dan peguam itu menjadi rakan kongsi sebagai penasihat.

Ada komisyen 20 persen. Kemudian naik kepada 25 persen. Yang ini kemudiannya menjadi begitu popular apabila menteri-menteri kita termasuk Perdana Menteri dikatakan mengambil komisyen terhadap kontrak-kontrak dalam projek-projek kerajaan – Perdana Menteri 10 persen dan sebagainya.

Dalam Tiga Abdul kahwin mesti sain kontrak. Tak tahu samada masa itu sudah berlaku atau belum. Sekarang sudah berlaku. Syarat yang dibuat oleh P Ramlee itu memang tak pernah dibuat orang. Syaratnya saja sudah kelakar dan nakal. Menantu tak boleh marah kepada mertua walau apapun yang mertua buat. Kalau marah, kena jual. Mana pernah berlaku macam itu dalam realiti kehidupan? Tetapi itu yang P Ramlee buat. Mertuanya bagi syarat Abdul Wahab dan Abdul Wahid tak boleh makan. Hanya boleh cium ambil baunya saja. Dan tak boleh tidur bersama isteri dalam bilik. Mesti tidur dalam kandang kuda.

Tak masuk akal punya syarat. Absurd. Tapi masa menonton kita tak fikir pun pasal itu. Kita hanya ketawa kerana kelakarnya cerita itu dan kelakarnya lakonan. Dan cerita itupun mengalir terus seperti yang direka cipta oleh P Ramlee.

Tak timbul langsung soal logik dan tak logiknya mengikut realiti. Sebab apa? Sebab cerita atau naratif P Ramlee bukan naratif yang mengikut lojik realiti kehidupan. P Ramlee ada naratifnya sendiri. Naratif hasil rekaan dari kekuatan imaginasi dan kreativitinya. Di sinilah terbinanya satira filem-filem P Ramlee.

Dalam Tiga Abdul ditimbulkan perlawanan siapa yang lebih pandai/cerdik membuat supaya lawannya menjadi marah hingga tak dapat menahan rasa marahnya. Kalau siapa marah, dia kena jual sebagai hamba. Syarat dan undang-undang ini wujud untuk beberapa orang watak dalam filem ini saja.

Tak ada polis dan mahkamah yang hendak menguatkuasakan undang-undang yang sengaja direkacipta itu. Tetapi walaupun begitu, oleh kerana filem itu filem dia maka dia sendiri melaksanakan undang-undang itu.

Oleh kerana Abdul Wahab dan Abdul Wahid marah, maka Ismet Ulam Raja merampas semua harta mereka dan mereka dijual sebagai hamba di pasar hamba abdi di negeri itu. Tak kiralah negeri itu di zaman mana pun. Ada kedai muzik jual gitar dan ada muzik pop dan menari twist, tapi ada juga pasar hamba abdi. Tak mengapa. Dalam logik P Ramlee apa-apa pun boleh. Macam logik absurd juga.

Dalam filem Madu Tiga, bapa mertua Jamil buat peraturan untuk Jamil. Tiga hari tak boleh balik rumah sebab kena kerja overtime – alasan tipu. Tetapi peraturan itu dipersetujui dan diikut tanpa soal oleh isteri-isteri Jamil. (Maka jalanlah ceritanya. Kalau tak, tak berjalan ceritanya).

Dalam filem Anak Bapak P Ramlee buat mahkamah dalam pejabat. Mahkamah olok-olok. Tetapi perbicaraannya betul, dan hukuman serta dendanya pun betul. Maka berjalanlah ceritanya. Kalau tak, tak berjalan ceritanya.

Itulah naratif satira P Ramlee. – 10 April, 2014.

* Bahagian 1.

* Edisi lengkap dari teks disampaikan dalam Forum “Satira dalam Filem P.Ramlee” yang dianjurkan Penang Institute, pada 29 Mac 2014, di Kampung Melayu, Pulau Pinang.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments