Opinion

‘Nenek’ novel yang berbicara masalah zamannya

‘Nenek’ ialah novel karya Razali Endun yang ke-10 sejak novel pertamanya ‘Meniti Gelombang’ (2001). Saya agak mengikuti perkembangan penulis ini, yang juga menulis cerpen, esei dan puisi. Saya menganggap cerpen-cerpennya mempunyai tarikan estetika yang lebih berbanding novel-novelnya, hinggalah saya membaca ‘Nenek’.

‘Nenek’ bukan sahaja menjadi karya Razali Endun yang terbaik sehingga kini, malah ia juga menimbulkan persoalan apakah salahnya kalau novel ini dianggap antara novel kita yang penting (terbaik?) dalam tahun-tahun mutakhir?

Memang ia agak berbeza untuk dianggap demikian kerana sifatnya yang terlalu sederhana dan tidak ada kompleksiti dalam plot, perwatakan dan sebagainya. Tetapi apakah sebenarnya yang kita cari dalam sebuah novel? Kita cari pengalaman estetika yang baru, kita cari pengertian kehidupan yang diungkapkan secara berseni, dan seterusnya.

Dan mengapa pula saya menganggap novel ‘Nenek’ ini penting? Kerana ia berjaya mengungkap satu persoalan besar dalam masyarakat kita hari ini, iaitu persoalan konflik pembangunan. Memang Razali tidak mengungkapkan persoalan konflik pembangunan itu secara menyeluruh mencakupi segala bidang yang diperlukan oleh masyarakat yang sedang membina tamadunnya.

Razali hanya memfokus satu bidang sahaja dan bidang itu antara yang penting dalam kehidupan masyarakat kita hari ini, setahu saya belum pernah digarap oleh penulis-penulis novel kita yang lain.

Mahfus seorang ketua kerani di Pejabat Tanah di Melaka. Tugasnya menyediakan kertas cadangan yang akan diangkat ke mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, untuk kelulusan sesuatu bidang tanah yang akan dimajukan, termasuk menukar status rizab Melayu kepada geran umum.

Pegangan amanahnya mulai goyah apabila sebuah sampul berisi RM10 ribu dicampakkan ke dalam laci pejabatnya oleh Tan Sri Dahan, pengerusi sebuah syarikat pemaju perumahan/hartanah.

Di situlah bermulanya cerita pembangunan sebuah negara yang selamba meminggirkan rakyat marhaennya terdiri daripada orang-orang Melayu dan sekaligus memusnahkan kampung-kampung tradisi yang menyimpan pelbagai nilai yang bernilai tinggi dalam tamadun Melayu.

Di situlah juga bermulanya perubahan sikap seorang pegawai kerajaan yang baik dan beramanah, menjadi seorang yang bercita-cita tinggi dan inginkan kemewahan (setelah ditunjukkan jalannya), dengan melanggar peraturan dan hukum agama.

Perkaranya kecil sahaja, dan permasalahannya pun kecil. Dia hanya membantu mempermudahkan proses. Yang mengusahakan proses (projek) itu orang lain, seorang Tan Sri yang dihormati masyarakat. (Dan yang empunya projek pula seorang pemodal/kapitalis bernama Dato’ Siew Mang Kang).

Tetapi kerana sedikit bantuan Mahfus itulah maka tanah bukit itu berjaya ditukar statusnya dan dibangunkan menjadi kawasan perumahan kelas menengah.

Dan itu hanya langkah mula yang kecil, yang akan diikuti dengan langkah lain yang lebih besar. Wujudnya taman perumahan di atas bukit itu menyebabkan sistem perairan tanah sawah di bawahnya terganggu dan kawasan seluas 100 hektar (kepunyaan 80 orang kampung) itupun mulai menjadi tanah terbiar.

Syarikat Tan Sri Dahan dan Dato’ Siew pun meneruskan aktiviti mereka dengan projek yang lebih besar. Tanah itu hendak dimajukan menjadi sebuah bandar baharu dengan pelbagai binaan dan kemudahan moden, lengkap dengan kodominium (25 tingkat), rumah kedai, bank, klinik dan rumah teres kos tinggi, sederhana dan banglo.

Tanah sawah terbiar itu adalah tanah rizab Melayu, yang mengikut akta tidak boleh dipindah milik kepada orang bukan Melayu. (Begitu juga tanah di atas bukit yang dijadikan perumahan Taman Mega Jaya itu).

Namun Tan Sri Dahan dengan jaringan hubungan politiknya dan kemudahan kewangaan yang disediakan oleh Dato’ Siew, tahu bagaimana cara mengubah yang tidak boleh diubah itu. Maka demikianlah terhakisnya sedikit demi sedikit keluasan tanah rizab Melayu di negara ini.

Perkara semakin terhakisnya tanah rizab Melayu adalah suatu isu besar masyarakat Melayu masa kini. Isu besar yang nampaknya tak siapa pun mahu/mampu menyelesaikannya. Razali Endun mengangkat isu ini dan membentangkannya dalam novelnya, melalui suatu jalinan penceritaan yang agak kompleks, walaupun tidak sekompleks novel-novel besar lain.

Memang Razali tidak memfokus penceritaannya kepada permasalahan tanah rizab Melayu itu secara menyeluruh. Fokusnya kepada watak ‘nenek’ bernama Mak Som, dan watak Mahfus atau Dato’ Mahfus. Mak Som seorang nenek berusia 75 tahun yang berjiwa kental memperjuangkan kelestarian warisan Melayu, khasnya tikar mengkuang anyaman dan seni bina rumah Melayu, dan juga Tanah Rizab Melayu.

Bagi Mak Som tanah adalah maruah. “Menjual tanah sama seperti menjual maruah,” katanya. “Bangsa yang tidak bertanah bagaikan pelarian. Bagaikan bangsa yang tidak punya apa-apa.”

Maka Mak Som menjadi benteng pertahanan yang cuba menasihati Mahfus (anak sulungnya sendiri) supaya tidak menggadaikan maruah Melayu dengan bersekongkol bersama Tan Sri Dahan, menukarkan tanah pertanian rizab Melayu 100 hektar itu menjadi pusat komersial yang boleh dimiliki sesiapa sahaja; sedangkan pemilik asalnya hanya mendapat 40 sen sekaki persegi, bersama hadiah RM500 seorang dan pergi ke Mekah menunaikan umrah percuma.

Demikianlah 50 keluarga orang Kampung Bertam Malim yang letaknya hanya 8 kilometer daripada bandar Melaka itu, diperdayakan oleh seorang Tan Sri Dahan. Hanya 30 keluarga sahaja, bersama tiga keluarga Cina pekebun sayur di kampung itu, yang mahu bersama dengan Mak Som dan Hj Khamis (ketua cawangan sebuah parti pembangkang), berarak menghantar memorandum kepada Ketua Menteri, menuntut hak mereka

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian yang turut sama hadir menerima memorandum itu, memberitahu rombongan Mak Som: “Unit Perancang Ekonomi Negeri bersetuju dengan pelan cadangan pihak pemaju. Malah exco pun sudah meluluskannya. Kami sedang mengedarkan Borang E di bawah Seksyen 10 Akta Pengambilan Tanah 1960, iaitu Notis Siasatan.”

Jelasnya lagi, “Seksyen 3 Akta tersebut memberi kuasa kepada kerajaan mengambil mana-mana tanah yang diperlukan bagi apa-apa maksud awam. Pemilik tanah tidak punya kuasa untuk menghalang. Tidak ada peruntukan dalam akta itu untuk perundingan.”

Itu kalau hendak dilihat pada isu tersebut. Tetapi saya lebih berminat melihat persoalan makna pembangunan yang juga ditimbulkan novel ini. Pembangunan Bandar Baru Seri Andalas di atas tanah rizab Melayu Kg Bertam Malim itu hanyalah satu contoh daripada sekian banyak pembangunan serupa yang berlaku di seluruh Malaysia sejak beberapa tahun mutakhir.

Maka bolehlah kita bayangkan apa sebenarnya yang sedang terjadi pada perancangan dan pelaksanaan apa yang dikatakan “pembangunan” di negara kita sekarang. Sistemnya sudah terbina demikian rupa hingga apabila Dato’ Mahfus ingin kembali memihak kepada yang benar, pun dia tak dapat, kerana sudah termasuk perangkap Tan Sri Dahan.

Dan novel ini adalah novel, yang membawa pengalaman estetika menarik di dalamnya. Antaranya kisah lima rombongan serentak datang meminang Tipah Lawa, janda muda beranak satu, diikuti dengan angan-angan masing-masing setelah mendapat duit pampasan dan kahwin dengan janda lawa. Lima itu termasuklah Dato’ Mahfus. Tetapi yang dipilih Tipah rupa-rupanya orang keenam, Tan Sri Dahan.

Dan ada banyak lagilah yang lain. – 14 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments