Petang 12 Jun, saya terima beberapa panggilan telefon dan pesanan Whatsapp bertanya mengapa Datuk A. Samad Said bertindak demikian.
Dia tidak sepatutnya masuk parti politik, sebab kedudukan dia sendiri mengatasi mana-mana parti politik. “Kenapa dia merendahkan martabat dirinya sendiri?”
Dan mereka meminta saya menghubungi dia segera dan menasihati dia agar jangan meneruskan hasratnya dan rancangan mengisytiharkan dirinya masuk DAP pada keesokan hari.
Saya tak segera hubungi seperti yang diminta beberapa orang kawan itu.
Awal subuh tadi saya hubungi dia melalui SMS, memastikan dia akan hadir Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) malam nanti atau tidak. Jawapannya positif, akan hadir.
Dan kawan-kawan yang hadir awal di madrasah untuk BPMS malam itu mulai heboh bercakap: “Pak Samad masuk DAP – betul ke?”
Saya menghubungi Datuk Wan Rahim di Kota Baru untuk maklumat lanjut mengenai majlis yang dijadualkan pagi esok di Kampung Pasir Tumbuh, Gua Musang. Ada acara penyerahan rumah pasca-banjir yang diusahakan bersama oleh pihak Gabungan Impian Kelantan, Cakna UT, dan Impian Kelantan tajaan DAP, yang diseliakan oleh Wan Rahim. Dikatakan di situlah Pak Samad akan mengisytiharkan dirinya menjadi ahli DAP.
Berkali-kali saya hubunginya, menelefon dan Whatsapp, tetapi tiada respon. Seperti tak masuk talian. Mungkin dia sedang terlibat dalam apa-apa program dan telefonnya dimatikan/disenyapkan.
Adapun tujuan saya menghubunginya adalah untuk memastikan aturcara majlis pagi esok, kerana saya terfikir mahu hadir.
Sementara itu, saya menelefon Pak Samad memastikan kehadirannya di BPMS. Dia tak jawab panggilan tetapi sebentar kemudian saya terima pesanan SMS daripadanya: “Dinsman, oleh kehebohan soal abang sertai DAP, maka abang elak acara malam ini. Ramai wartawan akan menimbulkan kekeliruan.”
Saya sengaja tidak tanyakan dia hal di Gua Musang esok pagi itu. Soal desakan kawan-kawan agar menasihati dia juga tidak saya nyatakan.
Bukan tidak setuju yang kemasukannya dalam DAP itu akan merosakkan pengiktirafan awam bahawa kedudukan atau statusnya adalah di atas dan mengatasi mana-mana parti politik. Setuju, tetapi saya juga memikirkan hal lain.
Kawan-kawan risau apabila menjadi ahli DAP nanti Pak Samad akan menerima kritikan, tohmahan dan fitnah, seperti yang biasa di kalangan orang politik. Bahkan ada yang mengatakan DAP akan memperalatkannya demi kepentingan politik mereka.
Antara yang paling risaukan status Pak Samad tercalar dengan tindakannya masuk DAP ialah Hishamuddin Rais. Saya pun setuju dengan kerisauan Hishamuddin itu dan saya hormat pandangannya. Namun saya sendiri pun menyimpan satu kerisauan lain.
Pak Samad ialah ikon yang selalu saya sebut sebagai contoh apabila menjelaskan maksud Tekad Budaya. Faktor utamanya kerana dia mencapai status "mengatasi politik" itu melalui pencapaiannya dalam sastera dan budaya, bukan melalui jalan atau cara politik.
Itu membuktikan keunggulan seni-budaya. Tetapi sekarang tiba-tiba dia membuat keputusan untuk "masuk" ke dalam parti politik, yang selama berpuluh-puluh tahun sebelum ini dia menghindarinya.
Tidakkah itu mencabar fahaman mengenai Tekad Budaya yang selama ini diangkat dan dijulang oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi)? Bahawa "seni-budaya" itu mempunyai peranannya sendiri bagi mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan masyarakat, agar masyarakat tidak keterlaluan atau menjadi ekstremis dalam apa jua aktiviti, termasuk dalam berpolitik.
Tetapi dalam masa sama, saya juga percaya bahawa Pak Samad tentunya tidak akan mengambil keputusan yang mempunyai implikasi besar dan penting itu kalau dia belum memikirkannya semasak-masaknya, dan mempertimbangkan pelbagai sudut kepentingan terutama perjuangannya demi kebenaran dan keadilan mengikut aqidah Islam, dan bagaimana dia boleh memberi sumbangan terbaiknya di saat-saat menghayati usia 83 tahun.
Kepercayaan itu meyakinkan saya perlu berada bersama di Kampung Pasir Tumboh, tempat peristiwa bersejarah itu akan berlaku. Saya mesti menyaksikan sendiri peristiwa tersebut, bagi meyakinkan bahawa tindakannya menjadi ahli kepada parti politik itu tidak akan menjejaskan kewibawaannya sebagai ikon Tekad Budaya.
Maka dengan persetujuan dua orang sahabat, Nasser dan Kassim, kami bertolak menuju ke Gua Musang, selepas selesai acara BPMS sekitar jam 1.30 malam itu. Demikianlah alkisahnya.
Peristiwa itu penting dan bersejarah. Tetapi ada sahabat mengatakan itu bukan suatu sejarah kerana lama sebelum ini sudah ada seorang penulis/penyair Melayu bernama Dharmala NS menjadi ahli DAP.
Saya kata peristiwa itu bersejarah bukan kerana Pak Samad merupakan penulis Melayu pertama atau kedua masuk DAP, tetapi ia menjadi bersejarah adalah kerana Pak Samad yang melakukannya.
Kerana Pak Samad itu ketokohannya “berada di atas dan mengatasi politik”. Kerana dia adalah ikon Tekad Budaya. Kerana Pak Samad dihormati oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan suaranya sering diterima sebagai mewakili suara rakyat Malaysia (yakni yang bukan pro-Umno/BN).
Barangkali kekecewaan terhadap golongan ulama dan ustaz di dalam PAS juga menjadi faktor antara mendorong Pak Samad bertindak masuk DAP.
Hadir di Kampung Pasir Tumbuh, misalnya, anda akan menyaksikan komitmen DAP melalui projek Impian Kelantan (bersama Gabungan Impian Kelantan yang dipengerusikan Datuk Husam Musa) menyiapkan 70 buah rumah untuk mangsa banjir, sebelum Ramadan; adalah bukti bahawa nilai pelaksanaan itu jauh lebih baik dan mulia daripada sekadar bercakap dan menjanjikan semata (walaupun janji itu janji syurga).
Projek memulihkan semula kehidupan kampung mangsa banjir paling terpencil di Kelantan (dengan dipandukan oleh Wan Rahim, YDP PAS Kota Baru) itu, kini boleh menjadi model bagaimana seharusnya pemulihan 1,800 buah rumah yang roboh-hilang dalam banjir 2014 itu dilaksanakan.
Yang lain, dijanjikan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan siap sebelum Ramadan, tetapi tak sampai 50 buah yang siap. Kebanyakan mangsa masih tinggal di dalam khemah sementara.
Pak Samad hadir dalam pelancaran projek tersebut pada 31 Disember 2014, dan hadir juga menyaksikan penyerahan rumah-rumah tersebut pada 13 Jun lalu. Saya pun turut menyaksikan sendiri betapa orang-orang kampung Melayu-Islam itu percayakan DAP hingga memohon bantuan DAP membaik-pulih masjid di kampung mereka. (Tentulah dengan senang hati disambut positif oleh Lim Kit Siang sendiri).
Dari segi seni-budaya pula, rasanya tiada pihak yang lebih tahu dan faham Pak Samad melainkan Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Maka setakat ini, kami perhatikan walaupun beliau terlibat dalam pelbagai jenis dan lapangan aktiviti, yang menjadi intipati atau roh atau semangat penglibatannya adalah kerakyatan dan kemanusiaan.
Dia masih menjunjung dua prinsip tersebut, yang Paksi pun menganggapnya sebagai intipati, roh dan semangat kreativiti seniman dalam berkarya.
Saya percaya tersirat di bawah keputusan nekad Pak Samad masuk politik DAP itu adalah juga kekecewaannya terhadap sikap pimpinan PKR dan PAS terhadap seni-budaya.
Hal ini sangat difahami oleh saya dan kawan-kawan dalam Paksi, kerana Pak Samad adalah sebahagian gerakan Paksi. Dia sentiasa bersama gerakan Paksi, dan Paksi sentiasa bersama dengannya.
Marilah kita perhatikan perkembangan selanjutnya selepas ini. – 19 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments