Yang dibicarakan dalam majlis pendedahan Harakah malam 28 Januari itu bukanlah mengapa 3 wartawan kanan Harakah diberhentikan, tetapi yang dipersoalkan sebenarnya ialah “keislaman” pengurusan akhbar itu dan juga kepemimpinan parti PAS itu sendiri.
Itulah rumusan saya setelah mengikuti majlis yang berlangsung di laman Madrasah Tarbiyah (Jalan Gombak, Kuala Lumpur) selama kira-kira 3 jam, bermula selepas Isyak.
Cikgu Ishak Surin Yang di-Pertua PAS Kawasan Batu membuat pendedahan tersebut, berpandukan soalan-soalan panas yang diterjah 2 orang aktivis Seniman Paksi Rakyat, iaitu Kaki Sakat dan Tun Teja.
Hadir juga ialah Datuk Tarmizi Mohd Jam, salah seorang wartawan kanan yang diberhentikan.
Sebelum majlis itu berakhir, Tarmizi bangun menjelaskan perkara yang berlaku di Harakah berdasarkan pengalaman dan pengamatannya sendiri. Dan dia juga mempersoalkan “keislaman” cara pengurusan akhbar itu dijalankan.
Terutama dalam hal melayani para wartawannya, yang tidak dibenarkan menubuhkan kesatuan sekerja, dan tidak diserapkan menjadi pekerja tetap walaupun bertahun-tahun berkhidmat dan disahkan jawatan sebagai pengarang pun.
Sebabnya? “Supaya mudah diberhentikan bila-bila masa sahaja apabila dikehendaki,” kata Tarmizi. Tarmizi sendiri diberhentikan dengan serta-merta, tanpa sebarang notis.
Alasan diberikan: kerana tamat kontrak. Padahal sebab sebenarnya ialah kerana dia tidak bersetuju dengan pimpinan yang sedang berusaha untuk bergabung dengan Umno. Dan golongan yang dikenali dengan panggilan UG (Unity Government) itulah yang sedang mencengkam akhbar Harakah sekarang.
Cikgu Ishak Surin memang sejak awal lagi mempersoalkan “keislaman” pengurusan Harakah di bawah kekuasaan Datuk Mustafa Ali.
Pada malam itu, dia membuat penjelasan secara terperinci bagaimana akhbar Harakah itu dimulakan penerbitannya sejak 1987, dan perkembangan selanjutnya hinggalah ke situasinya hari ini. “Dulu kami mengendalikan Harakah itu secara jemaah,” katanya.
Dan dia berhenti dan diberhentikan apabila pengurusan Harakah mulai bertukar kepada cara yang bukan cara jemaah.
Cara jema’ah maksudnya ialah cara kerja berkumpulan yang saling membantu dan berkongsi kerja dan rezeki demi mencapai matlamat perjuangan, iaitu menerbitkan akhbar atau majalah bagi menyebarkan berita, idea dan perjuangan parti.
Dan kumpulan yang dimaksudkan pada masa itu ialah kumpulan kecil yang terdiri hanya 4-6 orang sahaja, manakala dana yang terlibat juga masih kecil jumlahnya, sekitar bawah RM50 ribu.
Walaupun Ishak Surin percaya cara kerja jemaah itu cara kerja yang mengikut syariah, namun itu bukanlah satu-satunya cara pengurusan yang sesuai syariah (Islamik).
Asalkan ia mengikut akhlak yang diajar oleh Rasulullah dan tidak menganiaya atau menzalimi sesiapa, maka itu dikira sebagai pengurusan yang sesuai syariah.
Pengurusan Harakah yang di bawah penguasaan Mustafa Ali sebagai Pengerusi Lembanga Pengarahnya sejak sekian lama itu, dikatakan melakukan pembaziran, zalim dan menganiaya pekerja. Beberapa contoh buktinya telah diperkatakan pada malam itu.
Tidak perlulah saya menyebutkan contoh-contoh buktinya itu lagi di sini, kerana bukannya tujuan tulisan ini pun untuk membuktikan perkara itu.
Seperti disebut di atas, saya merumuskan yang dibicarakan pada malam 28 Januari itu ialah ‘keislaman’ pengurusan akhbar Harakah dan juga kepimpinan parti PAS.
Ishak Surin juga menekankan kepemimpinan Islam ialah kepimpinan yang tidak menolak teguran dan kritikan.
Contoh-contoh buktinya banyak boleh dilihat dalam sirah Rasulullah dan juga Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Dan saya melihat faktor ini adalah sangat penting dalam permasalahan yang sedang dihadapi oleh PAS hari ini.
Sejak tercetusnya kemelut kepimpinan yang dikatakan bermula apabila segelintir pemimpin cuba mempengaruhi Presiden agar membawa PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno itu (UG), kita dapati akhlak pemimpin yang rela dirinya ditegur itu mula berganti dengan akhlak yang pantang ditegur.
Istilah “walak” (yakni taat kepada pemimpin yang ulamak) sentiasa kedengaran dijaja merata-rata. Ahli-ahli di bawah dikehendaki supaya ‘walak’ – yang seolah-olah pintu untuk teguran dan kritikan ditutup rapat.
Ahli-ahli dan pemimpin peringkat bawah menjadi takut untuk mempunyai dan menyatakan pandangan berbeza, apatah lagi apabila hal itu diiringi pula dengan Hadis Nabi bahawa “ulama waris kepada para Nabi”.
Saya bincangkan hal para ulamak dalam PAS yang kehilangan keyakinan diri lalu mengambil kaedah Umno untuk berkempen bagi menyingkirkan pemimpin yang bukan ulama, dalam tulisan sebelum ini.
Adapun yang hendak saya timbulkan di sini ialah sejenis lagi kempen yang dibina di kalangan ahli-ahli hingga ‘walak’ itupun menjadi suatu budaya yang sebati dengan konsep dan dasar “kepemimpinan ulama”.
Paling ketara ialah contoh kepemimpinan gaya Ustaz Azizan yang gemar memperleceh orang yang berkecenderungan untuk menegur atau mengkritik dia, hingga dia pun menjadi terkenal sebagai pemimpin yang “pantang dikritik”.
Rupa-rupanya gaya kepemimpinan yang pantang dikritik itu mendapat dokongan pula daripada pihak Presiden dan Setiausaha Agung.
Saya memang tidak faham bagaimana perkara itu boleh menjadi budaya dalam kepemim-pinan PAS. Ketika mengkaji kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor saya tidak menemui akhlak yang sedemikian.
Dan saya terus kehairanan melihat para pemimpin PAS peringkat pusat pun sekarang kebanyakannya menunjukkan sikap yang seperti serbasalah untuk menyatakan pendirian. Jelas kelihatan sikap yang bimbang kalau-kalau mereka tersalah menyatakan pendirian.
Apakah mereka sekarang masing-masing sedang mencari jalan selamat untuk diri?
Ke manakah perginya keberanian seorang pemimpin? Ke manakah perginya keyakinan diri seorang pemimpin ummah? Ke manakah perginya sikap ikhlas dan memihak kebenaran yang harus ada pada pemimpin Islam? Atau apakah kepemimpinan PAS hari ini telah kehilangan matlamat perjuangan disebabkan oleh hadirnya kepentingan diri?
Memang persoalan akhir ini tidak ada dalam pendedahan yang dibuat oleh Cikgu Ishak Surin pada 28 Januari itu. Tetapi persoalan inilah yang mengambil tempat dalam fikiran saya sejak hari itu hingga hari berikutnya.
Bukan sahaja berdasarkan apa yang diucapkan oleh Ishak Surin, tetapi juga berdasarkan respon dan reaksi yang ditunjukkan, secara sedar dan tidak sedar, dan secara langsung dan tidak langsung, oleh ahli-ahli biasa PAS dan juga pimpinan pelbagai peringkat, berikutan penglibatan saya dalam majlis pendedahan Ishak Surin itu.
Maka saya pun menghantar mesej kepada beberapa orang kawan yang berkedudukan di dalam paarti itu, begini: “Sekarang makin terserlah ramai pemimpin PAS yang lebih mengutamakan kepentingan politik diri sendiri daripada kepentingan Islam.”
Dan walau apapun, saya bersyukur masih ada seorang pemimpin Islam yang seperti Cikgu Ishak Surin, yang tetap berani menyatakan sikap dan perjuangannya, walaupun pelbagai kemungkinan risiko menanti di depan.
Dan saya masih menunggu sambil mencari-cari kiranya ada seorang lagi pemimpin PAS yang seberani dan ikhlas seperti Cikgu Ishak Surin! – 4 Februari, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments