Opinion

Polis tak perlu hormat sasterawan negara?

Apabila seorang sasterawan besar seperti A. Samad Said (yang berusia 81 tahun) itu didatangi tiga orang anggota polis ke rumahnya pada tengah malam pukul 12.30, untuk diambil dan dibawa ke balai polis – apakah makna dan implikasi maknanya?

Memang dia tidak ditahan hingga bermalam di dalam lokap. Tetapi dia didatangi tiga anggota polis ke rumahnya pada waktu lewat malam ketika orang mulai merehatkan diri di bilik tidur itu, tanpa didahului sebarang makluman rasmi hingga menimbulkan kejutan dan gangguan, dan membawanya pergi ke balai – apakah itu suatu tindakan yang wajar ke atas seorang yang telah dianugerahi gelar Sasterawan Negara oleh Yang Di-Pertuan Agong, dan telah menghasilkan sejumlah 71 buah buku (sebagai khazanah bangsa dan negara ini)?

Bukanlah kita mengatakan orang yang bergelar Sasterawan Negara itu tidak boleh disentuh langsung oleh penguatkuasa undang-undang atau pihak keselamatan. Sasterawan Negara pun manusia biasa juga, dan tertakluk kepada undang-undang negara juga.

Kalau dia melakukan kesalahan jenayah dia pun wajar ditangkap dan dihukum juga. Tetapi Samad Said tidak melakukan kesalahan jenayah, dan dia seorang warganegara yang bertanggungjawab dan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan polis sekiranya diperlukan (dan dimaklumkan secara rasmi).

Peristiwa tengah malam 3 September (atau pagi 4 September) itu bukanlah kali pertama Samad Said berhadapan atau berhubungan dengan pihak polis. Sebelum itu pun dia sudah beberapa kali berkunjung ke pejabat polis kerana diminta hadir dan juga kerana urusan perundingan (untuk perhimpunan Bersih).

Maksudnya kalau dia diperlukan, dia sedia bekerjasama. Tidak ada masalah. Sudah ada rekod membuktikannya. Dia bukanlah jenis orang yang akan lari bersembunyi seperti yang didakwa oleh pihak polis itu.

Kita tidaklah mempersoalkan hak polis untuk mengambil keterangan daripadanya berikutan kehadirannya membaca puisi di kalangan mereka yang membawa bendera merah-putih Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka malam 30 Ogos itu. Yang kita persoalkan ialah cara mereka mendatangi rumahnya dan membawanya pergi ke balai di waktu tengah malam itu.

Yang kita persoalkan ialah sikap angkuh sombong para menteri Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang mencemuh dan menghina dia – (“memalukan” dan “tidak senonoh?”). Kata Kassim Muhamad (S/U Seniman Paksi Rakyat), orang-orang besar politik Umno itu bukan sahaja angkuh sombong tetapi “bengis sombong” (brute force).

Langsung mereka tidak tahu menghormati orang berjasa, apatah lagi menghormati hak dan kebebasan bersuara seorang budayawan-seniman berbakat besar satu-satunya sepertinya yang kita miliki itu. Mereka langsung tidak menghormati hak rakyat untuk berbeza pandangan pun. Maka melalui barabarajiwa.blogspot Kassim bertanya:

“Apakah Bengis Sombong belum sedar bahawa rakyat termasuk anak-anak muda yang menghadam maklumat yang berbeda – yang bukan made in and by Umno – mengetahui bahawa sesungguhnya dalam perjuangan kemerdekaan itu, ada watak-watak lain yang disembunyikan yang sebenarnya berjuang untuk memerdekakan negara ini?”

Kassim Muhamad menjudulkan entrinya 8 September itu “Brute force as a culture”, dan memulakan tulisannya dengan bertanya: “Bengis sombong (brute force) yang ‘memalukan’ dan yang ‘tidak senonoh’ sebagai budaya?”

Ya persis itulah juga yang mengganggu fikiran saya. Apakah bengis sombong atau angkuh sombong itu sudah menjadi budaya sebahagian masyarakat kita, khasnya bahagian yang masih bersama dengan Umno itu?

Hingga orang seperti Samad Said itupun apabila dia menggunakan hak kebebasannya sebagai rakyat negara demokrasi untuk menyatakan pandangannya yang berbeza itu lalu diherdik dan diancam oleh menteri bahawa gelar Sasterawan Negaranya patut ditarik balik.

Maka tidak hairanlah kalau anggota polis pun boleh “menyerbu” ke rumahnya di tengah malam lalu mengambilnya ke balai, semata-mata kerana hendak bertanya maklumat mengenai kehadirannya di Dataran Merdeka bersama anak-anak muda yang membawa bendera berbeza pandangan itu.

Apabila bengis sombong sudah menjadi budaya pihak kuasawan negara kita, maka begitulah! Polis pun tidaklah diperlukan untuk “tahu beradab” dengan tokoh-tokoh penting yang telah mencapai tahap ‘negarawan’ berjasa bagi negara kita. Sesiapa pun boleh saja dilayan bagai penjenayah apabila dia tidak disukai oleh pihak kuasawan.

Inilah tanda-tanda sebuah masyarakat yang belum cukup matang, sebuah kerajaan yang kurang tahu beradab, dan sebuah tamadun yang kurang nilai kemanusiaannya.

Saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku dua tahun lebih yang lalu, apabila Samad Said kali pertama dipanggil ke balai polis. Waktu itu Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) mengeluarkan kenyataan akhbar, antara kandungannya:

“Seniman Paksi Rakyat di samping menyatakan kesyukuran dan berbangga kerana puisi sebagai suatu karya seni yang indah tiba-tiba mendapat perhatian umum khasnya apabila pihak polis pada 27 Jun lalu mengambil tindakan memanggil seorang Sasterawan Negara ke balai polis untuk disiasat kehadirannya membaca puisi di suatu majlis pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun itu, kami juga berasa kesal dan sedih kerana berpendapat tindakan pihak polis itu agak kurang wajar.”

Kata kenyataan itu lagi: “Betapa murninya niat dan geraktindak seorang seniman yang luas pengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agamanya. Kita tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia baik yang sebaik A Samad Said ini, penyair yang menekuni kehidupan mulia Rasulullah (saw) dan menghasilkan sebuah puisi panjang-tebal mengenai insan agung itu – Al-Amin.

Seterusnya kenyataan itu menegaskan: “Sasterawan dan seniman besar yang amanah dan bertanggungjawab setaraf Datuk A. Samad Said itu, yang jelas menjadi ikon rakyat kerana kejujuran kata-katanya, biarlah dia terus menikmati kebebasannya berkarya, agar dapat dia menyumbangkan sesuatu yang sangat berharga, yang menjadi idaman semua bangsa di dunia ini. Apakah kita tidak mempunyai idaman yang murni itu?”

Kenyataan akhbar Paksi itu ditutup dengan kata-kata: “Apabila insan luhur seperti A Samad Said bersuara dan memberi teguran ikhlasnya, marilah sama-sama kita mendengarnya. Usahlah kita menjadi takut kepada bayang-bayang sendiri.”

Suatu kebetulan yang cantik. Pada Sabtu ini, PAKSI dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan bicara buku Samad Said yang terbaru, iaitu kumpulan puisi “Di Atas Padang Sejarah”.

Panel pembicaranya terdiri daripada Rahmat Harun, Fadhallah Pit dan Hasni Abas. Moderator: Ariff Atan. Tempat: Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Waktu: 9 pagi hingga 1 tengahari. Minum dan makan disediakan. Semua dijemput hadir. (Maklumat lanjut, hubungi 016-672 4825/012-475 3516).

Marilah kita hadir!


 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments