Opinion

Puisi Chan Yong Sin dalam tahanan

Lebih 40 tahun lalu, ketika dalam tahanan, dia menulis beberapa puisi. Sebahagiannya hilang, kerana keadaan di penjara atau tempat tahanan itu, atau mungkin sewaktu berpindah tempat. 

Dia mula ditahan di Muar, kemudian dipindahkan ke penjara Seremban, kemudian ke penjara Johor Baru, kemudian ke Muar lagi dan kemudian ke Kamunting dan akhir sekali ke Batu Gajah. Semuanya 11 tahun, 1967-1978). Tidak jelas kenapa dia ditahan. Tahanan ISA.

Chan Yong Sin bukan nama yang dikenali ramai dalam bidang tertentu. Saya mengenalinya sebagai aktivis sastera yang sering bersama-sama mengadakan aktiviti seni budaya sekitar awal 1980-an. Ketika mengusahakan "Malam Salam Benua" kerana meraikan Usman Awang dianugerahi Sasterawan Negara pada 22 Januari 1984, Chan Yong Sin adalah tenaga penting yang menjayakannya, di samping peneraju utamanya Tan Kai Hee. Selain itu dia juga menterjemahkan Muzika Uda Dan Dara karya Usman Awang ke bahasa Cina. (Dibuat ketika dalam tahanan).

Lebih 40 tahun lalu, ketika dalam tahanan, Chan mulai membuat catatan dalam bentuk puisi, bermula pada 1969. Katanya, dalam Prakata buku puisinya:"Pada waktu sekolah, saya minat baca puisi. Pada masa dikurung, saya mulai tulis puisi, khasnya puisi Melayu."

Dan dia memilih bentuk puisi kerana:”Puisi bentuknya ringkas, senang disimpan dan diseludup."

Dalam tahanan, kesepian adalah teman dan musuh sekali gus. Terkurung/terhalang dan kesepian menjadi faktor utama yang membangkitkan pelbagai perasaan resah, gelisah, marah, benci, dendam, berontak dan sebagainya. Juga mendorong pelbagai tindakan, termasuk menulis. Maka bayangkanlah, dalam suasana begitu, terkurung ketika usia sedang ghairah mahukan kebebasan, di awal 20-an, Chan Yong Sin (lahir 1945) terdorong untuk menulis dalam bahasa Melayu, di samping bahasa ibundanya.

"Saya yakin penguasaan bahasa Melayu berfungsi pada usaha perpaduan. Saya sedar kepentingan bahasa Melayu dalam masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Chan Yon Sin bukan seorang penyair (pada waktu itu). Tetapi puisi ternyata punya peranan besar dan penting baginya. Atau apakah dia berasa dan menganggapnya demikian kerana keadaannya yang terkurung dan kesepian dalam tahanan? Akuinya:"Saya tulis puisi untuk mencatat kehidupan, penderitaan, persahabatan dan perjuangan di penjara. Saya tulis puisi untuk menggalakkan diri sendiri tegak berdiri walau terbelenggu."

Puisi menjadi semacam motivasi untuk diri. Membaca keseluruhan 59 puisi Chan Yong Sin dalam kumpulan ini memberikan kesan betapa kuatnya jiwa dan semangat penulisnya menjalani kehidupan terkurung tanpa bicara itu, (hanya sebuah ditulis selepas dibebaskan), walau tidak pernah diketahuinya bila dia akan dibebaskan.

Puisi Semut ini misalnya, ditulis pada 1969, memberikan gambaran yang jelas:

Di lokap perseorangan

Di sebuah bilik di depot polis

Sunyi senyap

Ditemani semut-semut

Berjalan berduyun-duyun

Satu, dua, tiga, empat, lima…

Dikira setiap siang hari tak berhenti

Sampailah ke tiga puluh hari

Jumlahnya seribu ekor lebih

Terima kasih pada semut-semut

Menemani aku dalam dunia sunyi

Menggalakkan aku jangan berhenti

Terus bergerak ke depan tiap hari.

Sikap positif dan optimis penulis boleh dikesan dalam hampir keseluruhan puisinya. Bacalah misalnya puisi "Senyum-senyuman","Refleksi","Matahari, Bulan dan Bintang", "Do Re Mi…Mi", "Khayalan I - untuk helang", "Khayalan II - untuk merpati", "Untuk 161 buah hati", "Medan baru" dan "Berita suka melayang". Manakala "Jalan di Sanubari" boleh dilihat sebagai puncak sikap positif-optimis penyair:

Penjara dibina

Untuk memutuskan semua jalan perhubungan

Perhubungan berbentuk ataupun tidak

Oleh itu, perlu membina jalan

Jalan di sanubari

Untuk membebaskan segala perhubungan

Perhubungan berbentuk ataupun tidak

Di dalam penjara

Jalan di sanubari berjaya dibina

Untuk membebaskan segala ikatan

Ikatan berbentuk ataupun tidak.

Demikianlah seorang yang bersikap positif dan optimis berjaya mencari jalan lain "untuk membebaskan segala ikatan", walaupun jasadnya terikat dan terkurung dalam tembok tahanan. Dia tidak duduk merintih mengenangkan nasibnya yang dipenjarakan tanpa seba jelas itu.

Dia bukan orang politik, tetapi dipenjarakan sebagai tahanan politik. Selama 11 tahun, bukannya tempoh yang pendek. Namun tiada puisi yang marah-marah, berbahasa kesat, maki-hamun dan membawa nada yang penuh dendam kesumat. Kalau ada pun yang menggunakan bahasa agak kasar sedikit ialah "Pudu Jail", yang ditulisnya kesan kunjungannya ke situ selepas dia sudah dibebaskan daripada tahanan, (1978).

Penjara tua yang bersejarah keji dan bernama busuk ini

Ramai terkorban, ramai dianiaya, ramai menderita

Aku berperasaan dahsyat, ngeri

Dengan berat hati dan langkah

Aku tinggalkan Pudu Jail

Cis! Penjara syaitan.

Itulah sebuah puisi yang bernada marah, dendam dan berbahasa agak kasar sedikit. Lain-lainnya tidak demikian. Tidak tahul kenapa setelah dibebaskan pula dia menjadi marah-marah dan kasar begitu.

Satu lagi nilai yang ketara dalam puisi Chan Yong Sin ialah nilai persahabatan dan kemanusiaan. Walaupun dirinya dipenjara, namun perasaan persahabatan dan kemanusiaan tetap kukuh dan utuh. Beberapa puisinya ditulis begitu bersahaja bercerita seolah-olah penulisnya bukan di dalam tahanan.

Ini boleh dikesan dalam puisi-puisi "Sungai Mengkibol", "13 Mei - Peristiwa Hitam", "Senyum-senyuman", "Do Re Mi…Re", "Seorang Wadar Tua", "Violin Yang Bisu" dan beberapa lagi. Yang paling menarik di antara semuanya itu ialah "Irama abadi (buat cikgu Sa'at)".

Puisi ini bercerita mengenai hubungan persahabatan antara penulis dengan Cikgu Sa'at, guru yang pada mulanya mengajar Bahasa Melayu kepada tahanan di Tempat Tahanan Muar. Tetapi oleh kerana tidak mendapat sambutan yang baik, Cikgu Sa'at menukar kelas itu menjadi kelas muzik.

Kata Chan Yong Sin:

Semenjak itu, kami belajar main gitar dengan cikgu

Kami mengenali muzik Melayu, menyanyi lagu Melayu

Membezakan tempo-tempo iramanya

Lagu asli, joget, ghazal, zapin, keroncong, dondang sayang

Bersama muzik cikgu kian memahami kami yang menderita

Bersama muzik kami mulai meneghormati cikgu yang bersimpati

Cikgu bagai ahli muzik rakyat yang berbakat

Cikgu main gitar serta-merta mengikut irama

Walau lagu progresif senikatanya bukan bahasa Melayu.

Chan Yong Sin memasukkan juga dua puisi hasil karya dua sahabatnya ke dalam kumpulan ini, menjadikan semuanya berjumlah 61 buah. Ia akan diterbitkan tidak lama lagi. Sekarang dalam proses penerbitan. – 19 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments