Opinion

Sebuah budaya bernama Ramadan

Memikirkan Ramadan sebagai sebuah budaya saya akan segera teringat kepada sebuah dokumentari video yang pernah saya siapkan kira-kira 10 tahun yang lalu, atau lebih, bersama dengan pengarah filem terkenal Nasir Jani. Dan rasanya apa yang kami rakamkan visualnya lebih 10 tahun yang lalu itu masih lagi sama begitu. Kalau ada perbezaan pun terlalu sedikit.

Walaupun Ramadan dikatakan bukan sekadar bulan puasa, tetapi juga bulan al-Quran, bulan ilmu, bukan bersedekah (infaq), bulan qiyamullail (berjaga malam untuk beribadah) dan sebagainya, namun gambarannya yang paling ketara pada tingkah-laku manusia Islam ialah tidak makan dan tidak minum di waktu siang sepanjang 30 hari atau 29 hari bulan Ramadan itu.

Tempat-tempat makan seperti restoran dan gerai-gerai makan orang Islam akan kelihatan lengang, tidak ada orang yang datang untuk makan atau minum di waktu siang. Tetapi kembali meriah dan ramai orang apabila menjelang waktu Maghrib.

Satu fenomena paling dominan mewarnai lanskap di seluruh negara ialah wujudnya bazaar di merata-rata tempat pada waktu petang. Seluruh negara khasnya di lokasi-lokasi yang ramai penduduk Islam, bertukar menjadi pesta makan minum besar-besaran yang cukup meriah. Ada juga jenis kuih-muih, lauk-pauk dan minuman yang spesial dibuat di bulan Ramadan sahaja; tidak dibuat di bulan-bulan lain.

Dan walaupun kebanyakan pesertanya adalah orang Islam, terdapat semakin ramai orang bukan Islam juga turut hadir mencari juadah-juadah istimewa di bazaar-bazaar yang dipanggil bazaar Ramadan itu.

Demikianlah rutin dan jadual makan-minum sebuah masyarakat, juga hal-hal yang berkaitan dengannya, bertukar sepenuhnya selama satu bulan, (pada setiap tahun). Bayangkan makan sahur pada pukul 4.00-5.30 malam. Sedang sedap-sedap tidur terpaksa bangun untuk makan, (kerana esoknya tidak boleh makan sepanjang siang).

Adapun bazaar Ramadan dan pesta makanan besar-besaran itu sebenarnya bukanlah menjadi tujuan dalam aktiviti asal Ramadan. Secara agamanya umat Islam dikehendaki mengurangkan makan dan minum di bulan Ramadan. Tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Walaupun tidak makan di siang hari, selera makan itu rupa-rupanya dilayan berlebih-lebihan pula di waktu malam. Di sini nampaknya naluri budaya mengatasi naluri agama.

Sehubungan itu terdapat satu perkembangan menarik akhir-akhir ini. Semakin ramai orang bukan Islam ikut berpuasa. Tentunya bukan kerana agama tetapi kerana naluri budaya. Pengalaman berpuasa di siang hari itu nampaknya memikat mereka.

Barangkali suasana kemeriahan di bazaar, restoran dan juga hotel menjelang waktu berbuka itu yang menjadi tarikannya. Ada yang terpengaruh kerana kawan dan ada juga yang sebab lain.

Rasa ingin tahu dan ingin mengalami pengalaman berpuasa dan berbuka itulah faktor utamanya. Ditambah pula kerana kemeriahan pelbagai ‘publisiti’ tidak langsungnya akibat daripada sifat budaya berpuasa itu, yang mengatasi sifat agamanya. Namun hal itu pun tentulah boleh memberi sumbangan positif juga kepada agama. 

Satu lagi fenomena yang ketara ialah menunaikan sembahyang beramai-ramai di masjid dan surau, kira-kira satu jam selepas waktu berbuka puasa, iaitu solat terawih. Ia adalah solat (sembahyang) yang istimewa ada pada bulan Ramadan sahaja. Ia ditunaikan sebanyak lapan rakaat ataupun 20 rakaat.

Tidaklah meriah dan dikunjungi ramai seperti di bazaar Ramadan. Tetapi masjid-masjid dan surau-surau menjadi lebih meriah dan dikunjungi lebih ramai daripada biasa.

Solat terawih hukumnya sunat sahaja, bukannya wajib. Ertinya kalau tidak dibuat pun tidak mengapa, maksudnya tidak berdosa. Tetapi oleh kerana ia istimewa ada di bulan Ramadan sahaja maka ramai orang Islam melakukannya, seolah-olah ia suatu yang wajib. Padahal solat yang wajib setiap hari sebanyak lima kali pada lima waktu itu tidak pula dilaksanakan oleh mereka serajin itu.

Satu fenomena agak baru di bulan Ramadan, sekitar 10 tahun begitu, ialah permintaan terhadap para penghafaz al-Quran, atau hafiz, untuk menjadi imam solat terawih. Imam hafiz ini akan membaca al-Quran di dalam solat terawih sebanyak satu juz (juzuk) pada setiap malam, dan mengkhatamkan al-Quran pada malam terakhir.

Apakah itu juga menunjukkan naluri budaya itu mengatasi naluri agama? Saya tidak pasti.

Bulan Ramadan juga adalah bulan al-Quran. Dikatakan demikian kerana al-Quran itu mula diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Dan pada bulan Ramadan jugalah Malaikat Jibril datang membaca al-Quran bersama dengan Nabi Muhammad. Oleh itu umat Islam sangat digalakkan supaya banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan.

Setiap perbuatan yang baik dilakukan dalam bulan Ramadan akan diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda banyaknya. Antaranya ialah membaca al-Quran. Maka selain daripada inisiatif individu melakukannya, pihak masjid dan surau juga menganjurkan bacaan al-Quran beramai-ramai, yang dipanggil Tadarus.

Di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Menteri Besar dulu menganjurkan sesi Tadarus khas al-Quran di bulan Ramadan, bukan setakat membaca sahaja tetapi juga memahami makna dan pengajaran daripada ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

Pihak yang ditugaskan akan memilih satu surah atau sekumpulan ayat yang sesuai, lalu diterjemah dan dihuraikan maksudnya, dan dicetak menjadi buku nipis dalam jumlah cetakan yang besar, dan diedarkan kepada pihak rakyat di seluruh negeri.

Pihak kerajaan negeri sendiri menganjurkannya, agar setiap masjid atau kelompok-kelompok rakyat tertentu melakukannya, dengan dipimpin oleh seseorang yang mempunyai ilmu di bidang berkenaan.

Hal itu dilakukan pada setiap tahun, dengan surah atau kumpulan ayat al-Quran yang berbeza pada setiap tahun. Maka tentulah manfaatnya sudah tersebar kepada seluruh rakyat. Adakah pihak negeri lain selain Kelantan juga melakukan Tadarus al-Quran seperti itu di bulan Ramadan? Saya tak tahu.

Apa yang saya perhatikan di Selangor sejak ditadbir Pakatan Rakyat mulai 2008, seperkara yang ketara selain yang disebut di atas ialah Tazkirah Ramadhan, iaitu ceramah agama selama kira-kira 30 minit diadakan pada waktu solat terawih, sama ada di pertengahannya atau di hujungnya.

Di negeri-negeri yang ditadbir oleh Umno-BN selalunya tidak dibenarkan Tazkirah Ramadan, kerana kecenderongan para penyampai tazkirah itu kebanyakannya tidak berpihak kepada Umno-BN. Walaupun isi tazkirah sebenarnya mengenai hal-ehwal agama Islam, tetapi Islam yang diamalkan oleh Umno-BN banyak yang menjadi sasaran kritikan para penyampai tazkirah.

Dan satu lagi keistimewaan Ramadan, khusus untuk orang Islam sahaja, ialah malam Lailatul-qadar. Lailatul-qadar ialah satu malam di antara malam-malam Ramadan yang Allah janjikan kebaikannya berganda sebanyak seribu bulan.

Istimewanya ialah manusia tidak diberitahu bilakah, yakni malam bilakah, anugerah hebat itu akan diberikan oleh Allah. Tetapi ia pasti berlaku pada salah satu daripada 30 malam Ramadan. Oleh itu orang Islam mesti mencarinya sendiri, dengan memperbanyakkan ibadat dan doa pada malam-malam Ramadan.

Demikianlah, antara lainnya – sebuah budaya bernama Ramadan; iaitu budaya yang asasnya ialah agama, dan akarnya ialah ibadat kepada Tuhan. – 24 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments