Opinion

Senang-lenang dan berlinangnya pembangunan

Agak pelik sedikit bunyinya judul makalah pertama dalam Seminar Konflik Pembangunan yang berlangsung di Ruang Perpustakaan, Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam, sempena Himpunan Budayawan 1Muharam pada Sabtu bersamaan 25 Oktober lalu – “Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan”.

Makalah pertama itu ditulis dan dibentangkan oleh Dr Shaharir Mohd Zain, profesor matematik yang kini bertugas di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Selain pakar matematik dan fizik, Dr Shaharir juga banyak mengkaji dan menulis dalam bidang pengurusan, kepemimpinan dan juga bahasa.

“Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan” – bunyinya macam judul tulisan sastera, atau judul sebuah cerpen. Tetapi ia bukan tulisan sastera. Ia sebuah makalah ilmiah, yang membicarakan soal pembangunan dan beberapa konflik yang terdapat dalam teori dan amalan pembangunan secara ringkas.

Apakah maksudnya judul tulisan tersebut? Cuba kita ikuti sebahagian daripada perenggan pertamanya:

“Kita kenal istilah pembangunan mulai Rancangan Lima Tahun Pertama Malaya 1956-1960 yang menumpukan kepada sektor ekonomi luar Bandar, sehingga rakyat menyekutukan pembangunan dengan pembangunan luar bandar sahaja. Namun datangnya Rancangan Malaysia Pertama 1965-1970 (penyambungan Rancangan Malaya kedua 1961-1965) istilah pembangunan ditujukan kepada seluruh negara (yang pastinya termasuklah bandar).

“Rakyat mula melihat pembangunan bukan lagi cuma penerokaan tanah hutan belantara untuk penanaman dan penempatan baharu sahaja yang menjanjikan senang-lenangnya para peneroka nanti (walaupun atas tangisan flora-fauna, dan mungkin sekali orang asal di tempat berkenaan), tetapi yang lebih ketaranya pembinaan bangunan baharu (gedung perniagaan, kilang-kilang dan rumah-rumah kediaman) di dalam kawasan bandar.”

Dan sambungnya lagi dalam perenggan sama: “Inilah yang menempa sejarah pembangu-nan negara kita yang tersendiri, yang bertukar tujuannya kepada melahirkan kekayaan individu yang bersenang-lenang dan seterusnya akaun kekayaan negara yang melonjak, tetapi semakin besarlah pula rakyat yang berlinangan kesedihan nasibnya akibat terpinggir dan dipinggiri oleh arus pembangunan sebegini.”

Dan ditegaskannya lagi: “Ternyata negara semakin kaya (KDNK semakin meningkat) tetapi jurang yang bersenang-lenang dengan yang berlinang tidaklah juga berubah seperti yang sepatutnya/dijanjikan bahkan adakala semakin meluas.”

Shaharir mengambil kenyataan Raja Nazrin (1 Oktober 2014) sebagai buktinya jurang yang semakin meluas itu – bahawa 78% ketua keluarga di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM3 ribu sebulan. Bertepatan dengan kenyataan menteri kewangan kedua sebelumnya (Mac 2013), bahawa terdapat seramai 6.1 juta penerima BR1M (berpendapatan kurang RM3 ribu sebulan).

Demikianlah yang dimaksudkan Shaharir sebagai "senang-lenang" dan "berlinangnya" itu. Yang senang-lenangnya ialah para pengusaha dan pemodal yang terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan, manakala yang "berlinangan" air mata ialah rakyat ramai dan apatah lagi rakyat marhaen.

Itulah krisis atau konflik pembangunan di negara kita hari ini. Menjadikan golongan yang kaya dan pemodal itu hidup bersenang-lenang, dan rakyat ramai pula berlinangan air mata kerana kesusahan dan kesempitan hidup, akibat tidak dipedulikan oleh kerajaan (yang melaksanakan pembangunan).

Mengikut Shaharir, kebanyakan teori pembangunan sedia ada dan diamalkan di seluruh dunia hari ini adalah berasaskan pada teori ekonomi yang berlandaskan aksiom manusia ini makhluk "homoeconomicus". Maksudnya manusia adalah makhluk yang rasional “yang sentiasa merasionalkan keperluan pulangan yang paling tinggi, atau istilah keramatnya optimum atau maksimum”.

Malah ilmu ekonomi sekarang, kata Shaharir, “ditakrifkan sebagai ilmu selok-belok membuat atau menghasilkan sesuatu secara optimum, ringkasnya ilmu pengoptimuman”.

Shaharir mengkritik dasar dan teori tersebut. Katanya, “Penggunaan matematik pengopti-muman mengaburkan mata dan melemahkan hati hampir semua orang, termasuk sarjana dunia, bahawa kononnya konsep ‘optimum’ itu bersifat semesta, neutral atau bebas nilai dan bebas budaya.”

Penerimaan konsep "optimum" tersebut atau fahaman itulah yang menjadikan para pelaksana pembangunan itu bersifat individualis, egois, rakus, tamak dan sebagainya. Malah orang Islam yang agamanya tidak pernah mengiktiraf manusia "homoeconomicus" itu pun, kata Shaharir, disebabkan sudah terbiasa dengan nilai pengoptimuman mereka pun terlupa yang Islam sebenarnya mengajar doktrin “paling baik itu ialah wustdo” – (ummatanwasatdan).

Shaharir memang sudah agak lama mengemukakan konsep "wustdo" ini (sejak 2005), yang didapatinya wujud juga dalam peribahasa Melayu sebagai doktrin "keberpadaan", iaitu “buat baik berpada-pada”. Wustdo ialah sederhana atau pertengahan, iaitu yang adil dan seimbang.

Shaharir menggesa para sarjana Muslim supaya merevolusikan teori pembangunan yang berasaskan ilmu ekonomi berpaksikan pengoptimuman, kepada yang berpaksikan pewustaan (pewustdoan). Tegasnya, “Sarjana Muslim perlu mengartikulasikan makna wusta (wustdo, wasatdiyyah) sehingga matematik pengoptimuman dapat digantikan dengan matematik pewustaan.”

Selain itu Shaharir juga bercakap mengenai "pembangunan terlestarikan" (sustainable development) dan juga mengenai "ekonomi kebahagiaan" yang sedang dipopularkan di Barat akhir-akhir ini.

Beliau merumuskan bahawa teori ekonomi sudah dilarikan daripada tujuan asalnya; bermula dengan ekonomia (pengurusan rumah tangga), ia menjadi sains kekayaan pada abad ke-18, dan kemudian menjadi sains orang kaya atau pemodal mulai abad ke-20.

Kata Shaharir, “Tidak hairanlah setiap kali pembangunan berjaya maka berlinanganlah kebanyakan para penerima bahana pembangunan itu.”

Paling menarik dalam wacana Shaharir itu ialah pendedahannya mengenai pembangunan "subhagia" (= bahagia), yang diambilnya dari batu bersurat abad ke-7M, yang ditemui di Talang Tuwo, Palembang, Sumatera.

Batu bersurat tersebut merakamkan suatu dasar pembangunan asli Melayu (dipengaruhi oleh nilai Buddha) yang diamalkan oleh kerajaan Sriwijaya di bawah pemerintahan raja bernama Sanjaya, pada abad ke-7M.

Shaharir nampaknya bersetuju dengan dasar "subhagia" abad ke-7M itu, hingga beliau mengesyorkan supaya kita menukarkan istilah “pembangunan” kepada “pensubagiaan” (singkatan istilah ‘pensubahagiaan’); atau tukar tujuan pembangunan sekarang kepada pensubagiaan makhluk di tempat yang ingin dibangunkan itu.

Adapun dasar asal yang berusia lebih seribu tahun itu bertujuan untuk mewujudkan rakyat yang "subhagia", melalui rancangan atau projek-projek yang dianggap Shaharir “masih amat relevan dengan masa kini”. Antaranya ialah seperti membina beberapa buah parlak (sejenis taman botani) yang dipenuhi tanaman yang boleh dimakan buah atau isinya, untuk diambil oleh rakyat secara percuma.

Juga memastikan pertanian berjaya – ladang dan kebun luas subur dan berhasil, binatang ternakan hidup segar dan biak, dan para pekerja sihat dan setia kepada majikan. Juga memastikan rakyat jelata jauh daripada segala bencana, siksaan dan swapnaghna (penyakit tak dapat tidur).

Juga memastikan setiap orang memiliki sahabat yang setia dan tidak menderhaka; segala haiwan tidak terancam pupus; seluruh negara tiada kecurian, kecurangan, pembunuhan dan perzinaan. Juga memastikan isteri setia kepada suaminya. Dan akhirnya mengharapkan supaya setiap orang bertambah hampir dengan tahap kerohanian yang tertinggi.

Demikianlah maka Shaharir mengesyorkan: “Konsep subhagia perlulah dibangunkan oleh sarjana kita sendiri kerana konsep ini jauh sarat nilainya berbanding dengan konsep-konsep ekonomi yang lain.”

Selain Shaharir, seminar Konflik Pembangunan itu turut diisi dengan makalah oleh Ir Hj Ansari Daud, Kassim Muhamad, dan Prof Abu Hassan Hasbullah. – 29 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments