Opinion

Sindrom mediokriti dalam sastera Malaysia pasca-tamadun hari ini

Para penulis sastera Malaysia yang menyetujui dan menyokong segala dasar dan pelaksanaan pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak baru saja selesai melangsungkan apa yang mereka namakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM), pada 24-26 Oktober 2014, di Darulaman Golf Resort, Jitra, Kedah.

Pertemuan tersebut khabarnya dianjurkan bersama oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Bina Darulaman Berhad; dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia dan disokong oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Perbadanan Kota Buku, Biro Tatanegara JPM, dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi).

Saya tidak hadir dalam acara yang dihadiri sekitar 230 orang sasterawan dan sarjana sastera itu. Seorang kawan yang hadir di situ memberikan saya senaskah buku kumpulan makalah-makalah yang dibicarakan dalam pertemuan itu, “Sastera Teras Negara Bangsa”, diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden Pena) dan Rozlan Mohamed Noor.

Buku setebal 422 halaman itu mengandungi 28 makalah hasil tulisan 28 orang penulis yang dijemput membentangkan pemikiran mengenai sastera Malaysia di golf resort tersebut.

Mereka terdiri daripada nama-nama besar seperti Sasterawan Negara Muhammad Salleh, Anwar Ridhwan, Baha Zain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Saya membaca hampir semua tulisan dalam buku STNB itu, dan mendapati satu yang paling menarik dan relevan bagi saya, iaitu tulisan S.M.Zakir – penulis novel, cerpen dan esei; lebih menonjol dalam penulisan esei (dan sangat prolifik) walaupun novel dan cerpen-cerpennya pun sangat menarik.

Dalam tulisan tersebut (STNB:141-158) S.M.Zakir menggunakan teori Malek Bennabi yang berdasarkan kepada pemikiran Ibn Khaldun mengenai perkembangan hidup dan tamadun manusia. Ada tiga tahap atau fasa yang dilalui manusia dalam kehidupan, iaitu pra-tamadun (jahiliyah), bertamadun (maju) dan pasca-tamadun. Mengikut Zakir, kita sekarang berada dalam fasa pasca-tamadun.

Masyarakat pada tahap pasca-tamadun, kata Zakir, ialah “masyarakat yang mengalami kemerosotan nilai hidup oleh kemunduran, kekeringan atau kematian idea.... hidup dalam kekosongan (thingness), ketiadaan arah tuju yang jelas, tenggelam dalam hiburan, serta tiada keinginan atau kekuatan untuk berfikir. Masyarakat dikawal oleh material serta nafsu untuk mendapat kepuasan hiburan.”

Akibatnya, jelas S.M.Zakir selanjutnya, “berlaku keruntuhan moral, etika dan integriti. Masyarakat hidup dalam fasa mediokriti, yakni masyarakat ikutan yang tidak tahu bagaimana untuk mencapai matlamat hidup. Masyarakat yang terapung-apung tanpa keperibadian dan matlamat.”

Dalam masa sama kata Zakir, sindrom masyarakat mediokriti (mediacrity) atau pertengahan kelihatan merebak dan menjadi barah dalam masyakat Malaysia hari ini. Keadaan ini, katanya, “berlaku pada puncak kekuasaan politik dan budaya liberalisme sekular atau neoliberalisme”. (Atau ‘liberaruisme’ – terjemahan Prof Shaharir M.Z kepada ‘neoliberalisme’).

Dan jelas Zakir lagi: “Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, sindrom ini merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera.”

Perkembangan mutakhir dalam dunia sastera inilah yang menjadi fokus perbincangan dalam sidang kemuncak di Jitra itu, dan S.M.Zakir ditugaskan membicarakan topik khusus – “pembinaan mercu tanda sastera Malaysia”.

Dalam hal ini Zakir menegaskan pemerhatiannya ke atas perkembangan mutakhir mendapati ahli-ahli sastera kita, sarjana mahupun sasterawan, turut terperangkap dalam sindrom pertengahan/mediokriti tersebut. Mereka kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan.

(Perhatikan pada statement itu: “Mereka kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan.” Tidak hairanlah maka berlaku pemisahan dan pengasingan antara mereka itu, yang dianggap sebagai mainstream dalam sastera Malaysia, dengan kelompok seniman-budayawan yang bergabung dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), dan kelompok penulis-penulis muda yang lain itu.)

Memetik pendapat Bennabi, Zakir mengatakan masyarakat pasca-tamadun itu hanya mampu menjadi ‘pengekor’ kepada sejarah, dan bukannya pencetus kepada sejarah.

Maka bagi mengatasi ketidakupayaan (untuk membuat perubahan dan pembaharuan) itu, kata Zakir, “ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama, dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu.”

Keadaan itu, kata Zakir lagi, menutup dorongan untuk mencipta karya avant garde bagi merobohkan konvensi dan status quo. Lebih malang lagi, katanya, ia melahirkan “dunia sastera yang klisye, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai mangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.”

Sindrom pertengahan/mediokriti di kalangan penulis itu akhirnya melahirkan “sastera yang mediocre”, akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan “sastera serius” yang mengangkat pemikiran-pemikiran baharu. Maka jadilah sastera Melayu itu, dalam kata-kata S.M.Zakir: “semakin kecil dan lembik”, manakala ahli-ahli sasteranya “hilang keupayaan untuk melahirkan karya bermutu”.

Maka bagaimanakah agaknya reaksi para penulis, sasterawan dan sarjana sastera kita yang hadir mendengar wacana S.M.Zakir di golf resort di Jitra itu? Apakah mereka terkejut dengan pengakuan berani luar biasa daripada tenaga penting Pena ini, ataupun mereka bersikap tidak peduli sahaja kepada suara sumbang ini?

Ataupun, seperti kata Zakir tadi, mereka ‘tiada keinginan atau kekuatan untuk berfikir’ pun, kerana di kalangan mereka sudah ‘ketiadaan arah tuju yang jelas’, dan mereka pun ‘tenggelam dalam hiburan’?

Apapun, mari kita perhatikan wacana S.M.Zakir itu selanjutnya. Bagaimanakah pula idea atau fikirannya bagi mengembalikan sastera yang serius dan membawa pemikiran baharu (avant garde) ke dalam dunia kesusasteraan kita?

“Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masa kini.” Demikian antara cadangan dan harapannya, sambil menegaskan sastera mestilah menjadi “budaya tinggi”. Dan itu sesuai benar dengan judul makalahnya – “Pembinaan mercu tanda sastera Malaysia: Sastera sebagai budaya tinggi”.

Dan tambah Zakir, usaha untuk mengembalikan sastera sebagai budaya tinggi yang boleh melahirkan idea-idea besar dan sekaligus menjadi landasan memahami kompleksiti masa hadapan itu, hendaklah memberi perhatian yang serius kepada penulis-penulis muda yang berpotensi – yakni berpotensi untuk melahirkan karya-karya yang bersifat ‘garda depan’ atau avant garde.

Namun apa pun pemikirannya mengenai usaha untuk mengembalikan sastera sebagai budaya tinggi dan sekaligus menyumbang kepada pembinaan semula masyarakat yang bertamadun baru itu, bagi saya itu adalah perkara kedua pentingnya.

Perkara utama yang penting di sini ialah keupayaan Zakir untuk melihat dan memahami masyarakat Malaysia hari ini, termasuk dunia sasteranya, seperti apa yang diwacanakannya itu. Tahniah S.M.Zakir! – 5 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments