Saya hadir ke program “Ziarah Karyawan Sempadan Tahun” di Ulu Rening, Batang Kali (Selangor), anjuran sebuah badan yang dipimpin Yassin Salleh dan Raja Ahmad Aminullah pada 27 Disember, pertamanya kerana janji yang termaktub pada poster di Facebook milik Yassin kira-kira 2 bulan terdahulu.
Janji pada poster itu ialah “Bicara Cendekia Falsafah Karyawan”, selain “Baca Sajak Sepuasnya Sampai Fajar” yang sudah menjadi sinonim kepada program “Ziarah Karyawan” sejak pertama kali diadakan di Baling, Kedah, lebih setahun lalu.
Memang tanpa janji itu pun saya akan hadir juga, seperti saya hadir ke “Ziarah Karyawan” di Janda Baik (Selangor) dan Kuala Sungai Baru (Melaka) sebelum ini.
Namun janji itu adalah tarikan kuat menyebabkan saya menantikan ketibaan “Ziarah Karyawan” ke-5 ini.
Tetapi penantian saya itu rupa-rupanya berakhir dengan ketiadaan apa yang dijanjikan. Tidak tahu apakah kewajarannya maka acara itu digantikan dengan acara lain.
Bagi kebanyakan peserta yang sekitar 70 orang itu barangkali mereka tidak merasakan pun ketiadaannya. Ada hal-hal lain menjadikannya begitu meriah dan menggembirakan para peserta.
Saya juga gembira dengan beberapa peristiwa sepanjang program itu, (kecuali pengumuman mengundur diri seorang orang kanan organisasi itu yang dibuat dalam majlis baca puisi yang meriah itu, agak mengelirukan dan sedikit membingungkan).
Dan saya terus terfikir mengapakah wacana dijanjikan itu dibatalkan, sedangkan ia diulang berkali-kali sepanjang kempennya di alam maya FB selama kira-kira 2 bulan itu?
Bagi saya wacana itu sangatlah penting terutama penulis-penulis baharu melibatkan diri dalam dunia penulisan.
“Bicara Cendekia Falsafah Karyawan” – apakah maksudnya? Ia boleh ditafsirkan pelbagai kerana ruang fahaman atau maksudnya terlalu luas.
Saya menganggapnya penting kerana menafsirkannya bermaksud membicarakan perkara-perkara asas seperti mengapa kita menulis, apakah yang hendak dicapai dengan penulisan dan hal-hal seumpama itu. Hal-hal asas yang diabaikan kebanyakan penulis.
Setahu saya Yassin mengangkat perkara ini untuk dibicarakan berikutan tercetusnya semacam konflik kecil (atau besar?) di kalangan para pendokong program “Ziarah Karyawan” mengenai apa yang dikatakan “sastera mereng” dan “sastera lurus’, yang dicetuskan seorang aktivisnya dan selepas itu disambut para kerabat lain secara agak ghairah.
Saya tidak pasti apakah saya juga terlibat (secara tak langsung dan tak sengaja) dalam mencetuskan polemik itu berikutan puisi yang saya baca dalam program di Kuala Sungai Baru (puisi itu menyatakan sokongan kepada A Samad Said).
Namun tidaklah penting sama ada saya terlibat atau tidak. Yang pentingnya ialah “bicara falsafah karyawan” itu boleh memberi pencerahan kepada para penulis mengenai tujuan dan komitmen mereka/kita dalam penulisan.
Ini bukan sahaja penting kepada para kerabat “Ziarah Karyawan” tetapi ia sebenarnya penting untuk semua penulis.
Mungkin ada yang menganggap wacana itu sesuatu yang serius dan tidak sesuai dengan suasana program yang bersifat santai seperti “Ziarah Karyawan”. Ya, itulah penyakit yang sedang menular dan mewabak dalam masyarakat kita sekarang.
Apakah ia akibat daripada kempen televisyen melalui pelbagai rancangan lawak jenakanya – itu tidak penting.
Tetapi hakikatnya itulah – masyarakat sudah menjadi takut kepada apa-apa saja yang bukan lawak-jenaka termasuk masyarakat penulis dan intelektual kita sendiri.
Takut kepada sesuatu yang serius. Sentiasa meletakkan hiburan sebagai sasaran untuk sesuatu yang dianggap baik.
Hinggakan program agama pun sudah dilawak-jenakakan. Dan jihad dalam agama pun sedang diberi tafsiran baru yang boleh menghiburkan. Tak perlu serius sangat beragama!
Padahal perkara yang berkaitan dengan ‘falsafah karyawan’ itu boleh saja dibicarakan secara dan dalam suasana yang santai pun. Siapa kata tak boleh? Dan kenapa pula mesti takut dengan sesuatu yang serius?
Maka biarkanlah orang menguasai dan menjajah kita asalkan kita sentiasa boleh berhibur. Hal-hal yang serius itu biarkanlah orang lain saja memikir dan melaksanakannya. Kita biarlah menjadi hamba kepada hiburan dan lawak jenaka! Begitu?
Saya tidak menulis ini semata-mata reaksi kepada peristiwa dalam program sastera “Ziarah Karyawan” itu. Peristiwa itu hanya menjadi sebabnya sahaja, menggerakkan saya memikirkan perkara ini – yang sedang menjadi penyakit kronik dalam masyarakat kita.
Dan tambah kronik disebabkan oleh golongan budayawan dan intelektual pun turut sama mahu berhibur dan bersenang-lenang walaupun ada pihak sedang menjajah dan merampas segala hak kita.
Kerabat “Ziarah Karyawan” hanya sekelompok kecil penulis baharu dan peminat sastera yang mendapat galakan dan rangsangan daripada tokoh berpengalaman, Yassin dan Raja Ahmad untuk berkarya, dan mereka bertemu dalam program itu yang diadakan setiap 3 bulan di tempat-tempat berbeza.
Di sana terdapat banyak lagi kelompok penulis dengan sifat-sifat dan aliran berbeza. Kebanyakannya cenderung untuk berhibur dan saling bergembira dan merayakan apabila karya mereka diterbitkan tanpa peduli kepada apa yang berlaku dan terjadi di sekeliling mereka.
Hanya apabila keadaan sudah menjadi bertambah sakit seperti sekarang, dengan kos hidup yang semakin naik melambung dan menekan perbelanjaan harian, barulah kita mendapati di sana sini mereka mengeluh dan menyalahkan pihak-pihak tertentu.
Pun begitu, belum ada yang berani tampil untuk membicarakan permasalahan ini secara serius dan bersungguh.
Terpulanglah kepada kita untuk melihatnya dari sudut mana. Apakah ia ada hubungan dengan kegemaran masyarakat kita untuk berhibur dan berlawak jenaka sepanjang masa dengan pelbagai program hiburan yang dipromosikan pihak-pihak tertentu itu, hingga mereka menjadi takut memasuki daerah yang serius.
Saya perhatikan wujud hubungan itu, yang tidak disedari pihak yang sepatutnya menyedarinya dan mengambil tidakan bagi memperbaiki keadaan merugikan kita dalam tempoh jangka panjang itu. Golongan penulis dan intelektual adalah antara pihak yang sepatutnya menyedari itu.
Demikianlah maka saya menunggu-nunggu “Bicara Cendekia Falsafah Karyawan” yang dijanjikan pimpinan Yassin dan Raja Ahmad pada 27 Disember itu.
Tidak mengapalah ia tidak menjadi pada hari tersebut. Harap-harap ia akan menjadi selepas ini, sama ada oleh kelompok kerabat “Ziarah Karyawan” atau kumpulan-kumpulan penulis dan intelektual lain yang banyak terdapat di negara kita. – 2 Januari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments