Tak puas dengan teaternya yang abstrak seperti “Bukan Bunuh Diri” dan “Menunggu Kata Dari Tuhan” yang dipentas di masjid-masjid, kini Dinsman mau pentaskan pula teater di atas pokok.
Apa signifikannya tindakan Dinsman ini? Pertama, ini adalah gambaran betapa terpinggirnya dunia teater.
Kedua, satu sindiran kepada Istana Budaya. Umum tau IB tak lagi pentaskan teater. Ini sindiran tajam pada IB. Tak ada pentas maka pokok dijadikan pentas. IB patut malu.
Itu catatan Razali Endun dalam satu mesej yang dimasukkannya ke dalam satu grup watsap yang dikongsi bersama aktivis-aktivis Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan kawan-kawan yang menyokong Paksi; pada pagi Rabu 13 Januari.
Razali Endun ialah penulis yang menghasilkan banyak novel, cerpen dan esei.
Novel terbarunya “Nenek” terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 2015, (satu-satunya) bagi kategori novel.
Saya tertarik dengan pandangan yang dilontarkan Razali Endun itu. Lalu saya mengangkatnya ke dalam status mukabuku saya pada hari yang sama.
Reaksi kawan-kawan terhadap Whatsapp dan status mukabuku itu pun menarik juga.
Komen saya dalam status mukabuku berkenaan: “Itu pandangan yang menarik, walaupun saya mungkin tak terfikirpun begitu ketika tercetusnya idea Teater atas pokok.”
Ya memang, saya tak terfikir pun apa yang dikatakan Razali Endun itu.
“Teater atas pokok” tercetus ideanya dalam diri saya secara spontan apabila saya terpandang pada sepohon pokok, ketika menjengok ke luar tingkap di surau Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, selepas solat Asar pada suatu petang.
Begitu saja. Saya “ternampak” suatu peristiwa di situ.
Tidak jelas apakah “peristiwa” itu tetapi saya tahu ia adalah benih kreativiti kepada sebuah karya seni yang telah lama (berpuluh tahun) bermain di kepala saya, iaitu sejak saya tertarik dengan hasil-hasil kerja seni Christo (Christo and Jeanne Claude), dan juga sejak saya terpukau dengan adegan pembuka filem Thai, “Ong-Bak”.
Itu terjadi sekitar pertengahan 2014.
Sejak itu, sehinggalah saat membaca teks Razali Endun berkenaan, tidak pernah saya terfikir untuk menyindir Istana Budaya melalui teater itu, atau memprotes terhadapnya walaupun saya memang sering mengkritik Istana Budaya kerana program-programnya yang tidak menyumbang kepada kemajuan teater, bahkan sebaliknya membawa faktor yang negatif terhadap kemajuan teater di negara ini.
Atau barangkali itu adalah reaksi spontan yang tidak saya sedari – saya bertindak balas terhadap pihak Istana Budaya yang selama ini saya anggap tidak berfungsi memajukan kesenian khasnya seni teater di negara ini, seperti yang diperjuangkan tokoh-tokoh seni-budaya yang memperjuangkan penubuhan Istana Budaya itu sendiri, sekitar 1970-an dan 80-an seperti Usman Awang, Ismail Zain, Baharuddin Musa, M Noor Azam dan lain-lain.
Mungkin itu barangkali proses kreativiti dalaman diri kita yang kita pun tidak menyedarinya.
Dan Razali Endun menyorotnya dari sudut itu, sekaligus mengangkat isu keselewengan institusi yang sepatutnya berfungsi memajukan “Seni Persembahan Kebangsaan Malaysia”; bukannya sekadar memenuhi citarasa hiburan bertaraf rendah seperti yang berlaku sekarang.
Isu ini sebenarnya saya perkatakan sebelum ini dalam forum-forum di Universiti Malaya dan di Universiti Putra.
Betapa seharusnya para aktivis teater hari ini tidak perlu lagi mengimpikan untuk menjejak kaki di pentas mewah Istana Budaya itu dan menganggapnya sebagai puncak pencapaian teater mereka.
Lupakan sajalah Istana Budaya itu sebagai institusi teater. Seperti seniman teater Syed Alwi pernah berkata: “Kita tak ada institusi teater.”
Berteaterlah kita di mana-mana saja pun. Kalau kerja seni kita itu bagus dan bermutu, di mana pun ia dipentaskan ia tetaplah bagus dan bermutu.
Yang pentingnya ialah kerja dan karya seni yang kita hasilkan.
Dan pada hari yang sama itu juga di laman-laman mukabuku tiba-tiba tercetus persoalan tentang teater atas pokok sebenarnya telahpun pernah dibuat oleh aktivis teater kita sekitar 1970-an dan 80-an dulu, iaitu Abd Aziz HM di Kota Baru dan kumpulan Wan Ahmad Ismail di Kuala Terengganu.
Hal itu ditimbulkan sebagai reaksi kepada satu status mukabuku yang seolah-olah mengatakan Dinsman sedang mempelopori suatu jenis teater baharu, iaitu “Teater atas pokok”.
Maka saya pun menjelaskan, di dinding mukabuku Anggun PerformingArts, begini:
“Tak penting pun pada saya menjadi pelopor T.A.P (Teater atas pokok) atau penerus kerja yang pernah didahului orang lain.
Kita buat teater pun, orang lain dah banyak buat dah. Tapi kita buatlah apa yang kita nak buat, kerana sebab-sebab tertentu.
“Saya nak buat T.A.P kerana kebetulan saya mendapat idea untuk buat itu di pokok di belakang Madrasah Tarbiyah, setelah lama saya terkesan dengan kerja-kerja seni yang dibuat oleh seniman instalasi Christo di seluruh dunia.”
Ya, sebenarnya saya masih lagi dalam proses mencipta T.A.P itu. Ia belum lagi tercipta. Belum jadi pun lagi.
Terasa malulah juga saya hendak bercakap banyak mengenainya, kerana belum tentu lagi bagaimana akan jadinya karya berkenaan.
Kalaupun ia akan jadi. Dan kalau ia tak jadi, bagaimana pula? Ha...
Harap-harap jadilah.
Dan kembali kepada apa yang ditimbulkan oleh Razali Endun itu. Saya fikir Istana Budaya memang tidak sesuai untuk kita terus mengharap agar ia menjadi puncak aktiviti dan pencapain teater kita. Elok kita cari alternatif yang lain.
Kita lupakan saja Istana Budaya sebagai institusi teater, dan kita mula fikirkan alternatif yang baru. Apa-apa sajalah.
Tetapi pihak kerajaan janganlah pula nak lupa kepada teater. Mereka melakukan kesalahan besar merosakkan impian para pejuang kesenian kebangsaan dengan menukar (dalam diam-diam) “Komplek Kesenian” yang diperjuangkan itu menjadi “istana hiburan murahan bertaraf dunia”.
Maka sebagai gantinya, sepatutnyalah pihak kerajaan membuat suatu yang baharu pula untuk teater.
Kita bukannya meminta dewan dan pentas yang canggih seperti di Istana Budaya itu.
Tak ada bangunan sehebat itu pun tak mengapa. Lihat saja Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sekarang.
Kita tak ada kewangan dan prasarana apa pun, tetapi kita tetap beraktiviti tak pernah henti, sampai ke peringkat antarabangsa.
November lalu 20 seniman dari 11 negara termasuk Jerman, Jepun dan China datang beraktiviti bersama Paksi, di Kampung Banda Dalam, selama 6 hari.
Paksi hanya ada sebuah surau yang pihak pentadbirannya suka dengan aktiviti-aktiviti Paksi.
Maka di situlah Paksi mengadakan pelbagai aktiviti seni budaya.
Antaranya program tetap bulanan baca puisi pada setiap Jumaat ke-2 atau ke-3 setiap bulan.
Teater atas pokok juga lahir di surau itu.
Tetapi disebabkan kerajaan Selangor (melalui exco budayanya) bersetuju membiayai perbelanjaan untuk pementasan ini, maka pementasan perdananya akan dibuat di Shah Alam. Insya Allah. – 16 Januari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments