Opinion

Teater bukan sarkas

“Dialog Teater Alternatif: Skala Kecil Idea Besar” yang berlangsung di Panggung Eksperimen Universiti Malaya petang 31 Oktober lalu saya kira berhasil dan berkesan.

Ini kesan peribadi sayalah, berbanding dengan beberapa majlis serupa yang pernah saya sertai sebelum ini.

Semua panel bercakap berdasarkan pengalaman selama terlibat dalam teater. Panel terdiri daripada Namron, Wahab Hamzah, Fasyali Fadzly dan Dinsman.

Marlenny Deenerwan sebagai moderator, manakala Syahrul Musa yang bertanggungjawab menganjurkan dialog itu bagi pihak Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya menyampaikan ucaptama.

Secara keseluruhannya dialog itu nampaknya bersetuju Istana Budaya sepatutnya menjadi institusi teater yang mementaskan karya-karya penting teater Malaysia tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Beberapa suara dalam kalangan hadirin cuba mengangkat Istana Budaya sebagai pentas yang menjadi idaman para aktivis teater.

Namun pandangan itu mendapat respons balas panel, khasnya Namrom dan saya sendiri – Istana Budaya bukanlah pentas untuk teater Malaysia yang kita inginkan, sebaliknya ia lebih mempromosi konsert muzikal yang bersifat komersil.

Saya menyoal hadirin apakah sebenarnya yang kita mahukan daripada teater?

Memang betul di Istana Budaya terdapat segala kemudahan teknologi pementasan yang canggih, tetapi apakah selama beroperasinya Istana Budaya dengan kecanggihan teknologi itu berjaya menghasilkan karya teater yang boleh kita banggakan?

Apakah kecanggihan teknologi pentas yang selalu mempamerkan bahagian tengah pentas yang boleh dinaikkan dan diturunkan lalu mencipta pentas dua lapis/tingkat, serta kemampuannya menunjukkan visual ala-ala magik, disamping kostum yang nampak mahal, dan segala yang extravaganza itu – kita anggap suatu pencapaian yang diidamkan untuk teater Malaysia?

Saya tegaskan itu bukan teater sebenarnya (Itu sarkas, kata Namron).

Saya tegaskan juga teater adalah lakonan. Selama bertahun wujudnya Istana Budaya apakah ia berjaya menghasilkan lakonan yang bermutu?

Kalau mengingatkan lakonan bermutu pernah saya tonton di atas pentas Malaysia, antara yang segera hadir dalam ingatan saya ialah lakonan Namron dalam Matderihdarikolaperlis.

Satu adegan yang dia ceritakan tentang pertarungan, dan dalam suasana yang cemas itu sebutir peluh di dahinya menitis di matanya lalu mengganggu pandangan.

Bagaimana saya sebagai penonton dapat membayangkan perkara sekecil itu – sebutir peluh menitis di mata. Itu tentulah kerana keberkesanan lakonannya, dapat menarik perhatian kita kepada perkara sekecil itu dan terus melekat dalam ingatan selama bertahun.

Apakah itu kalau ia bukan suatu lakonan yang bermutu?

Hal seperti itu tidak kita temui di Istana Budaya.

Saya menemuinya di Stor Teater DBP – sebuah ruang pentas yang sangat sederhana dan tanpa banyak kemudahan selain ruang lakon yang sederhana ukuran dan sedikit kemudahan lampu.

Penonton hanya muat sekitar 40-60 orang sahaja. Tetapi ia memberi sumbangan yang lebih besar daripada yang disumbangkan Istana Budaya terhadap teater.

Salah sebuah karya saya, “Tamu Dari Medan Perang” (TDMP), dihasilkan memang untuk dipentaskan di Stor Teater DBP, dan sebagai menyahut permintaan Wahab Hamzah sewaktu saya menonton “Hering” arahannya.

TDMP adalah versi kecil kepada “Siapakah Takutkan Amerika?” yang dihasilkan sebelum itu tetapi belum dapat dipentaskan, hingga kini.

Wahab Hamzah pun menceritakan bagaimana dia menggerakkan Dewan Bahasa dan Pustaka supaya berperanan aktif memajukan teater.

Antaranya dengan mewujudkan sebuah ruang lakon yang sederhana besarnya dinamakan “Stor Teater”, di bangunan lama DBP yang tidak lagi digunakan itu.

Serta bagaimana dia membahagikan dana yang pernah diperuntukkan DBP sebanyak RM100 ribu kepada 10 kumpulan teater (satu kumpulan dapat RM10 ribu).

Saya dan kumpulan Teater Elit adalah satu daripada 10 kumpulan yang mendapat manfaat daripada dana tersebut untuk pementasan “Tamu Dari Medan Perang”, 2006.

Terdapat perbezaan yang amat ketara di antara cara dan tujuan Istana Budaya menguruskan pementasan dengan cara dan tujuan Stor Teater menguruskan pementasan.

Barangkali cukup menarik kalau dibuat kajian perbandingan antara tiga institusi teater yang kita ada – Istana Budaya, Stor Teater dan Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac).

Saya juga terfikir – apakah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (yang menganjurkan dialog ini) tidak bercadang untuk menjalankan fungsi sebagaimana yang pernah dijalankan Stor Teater DBP itu?

Berfungsi untuk menguruskan pementasan teater serta memberi khidmat pengurusan pementasan, bertempat di pentas yang menjadi miliknya iaitu Panggung Eksperimen.

Panggung Eksperimen UM mempunyai sejarah yang panjang dalam bidang pementasan teater di Malaysia.

Saya mulai mengikutinya sejak 1969/1970 ketika masih menuntut di Kolej Islam Petaling Jaya.

Ketika menuntut di Universiti Malaya mulai 1971 banyak kali panggung itu memperkenalkan pelbagai karya teater bermutu kepada saya.

Antara teater yang saya tonton waktu itu (dan masih ingat) ialah “Bunga Rumah Makan” karya Utuy Tatang Sontani (Indonesia).

Beberapa tahun kebelakangan ini kita dengar panggung itu, dengan wajah dan bentuknya yang baru, aktif semula mementaskan teater, khasnya dalam bahasa Melayu.

Maka saya terfikir, ketika membandingkan cara dua institusi teater berkenaan tadi menguruskan pementasan – apakah Panggung Eksperimen tidak mahu mengembalikan zaman kegemilangannya ke dalam arena teater Malaysia kini?

Saya harap mereka yang berkenaan di situ sudilah memikirkan perkara ini. Mereka mempunyai segala kemudahan yang diperlukan, terutamanya panggung yang sesuai untuk teater.

Saya kira buat masa ini Panggung Eksperimen UM adalah panggung teater yang terbaik kita ada di Malaysia.

Kembali kepada dialog Teater Alternatif.

Fasyali Fadzli ketika membandingkan teater di Malaysia dengan di Kanada waktu dia belajar di sana, mengatakan di sana mereka mempunyai skrip yang tiada had (dalam bahasa Inggeris) manakala di sini kita mempunyai pilihan yang terhad, kerana kurangnya skrip teater dalam bahasa Melayu.

Wahab Hamzah juga bersetuju. Katanya, ketika pihak DBP membuat penilaian karya sastera untuk diberi hadiah atau anugerah setiap tahun, mereka mendapati tidak banyak karya drama yang ada untuk dinilai.

Maka saya mencadangkan kepada Wahab supaya pihak DBP mengubah pendekatan mereka, disebabkan sifat teks yang berbeza antara drama dengan prosa dan puisi.

Kita sebenarnya tidak kekurangan skrip teater. Yang kita kurang ialah skrip yang dicetak menjadi buku, atau diterbitkan dalam majalah.

Ini berlaku disebabkan sikap penulis skrip yang kebanyakannya juga adalah pengarah teater, yang kurang mempedulikan untuk mencetak atau menghantar skrip mereka untuk dicetak, hingga sering berlaku kehilangan skrip.

Saya kehilangan skrip “Projek Izie”, Namron juga mengakui ada skripnya yang hilang.

Wajarlah pihak DBP, atau Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), memikirkan suatu pendekatan yang sesuai untuk mengatasi masalah ini. – 4 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments