Opinion

Tekad budaya Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Baru

Sifat merendah diri atau apa? Bersopan santun? Keikhlasan? Atau cuba menunjukkan kemesraannya seperti yang menjadi kelaziman di kalangan orang politik?

Ketika menerima mesej WhatsApp itu daripada Lee Kee Hiong pagi hari sehari sebelum bermulanya program 3 hari "Seni & Masyarakat" di Kuala Kubu Baru (KKB) pada 8 Oktober lalu sedikit pun tidak terasa atau terfikir yang dia cuba berlagak mesra seperti kelaziman kebanyakan orang politik..

Mesejnya pada 7.55 pagi itu, "Selamat pagi abang Dinsman, saya kurang pengalaman menganjurkan program seni budaya. Abang Dinsman kalau rasa ada lagi kekurangan dalam program '3 Hari Bersama Pak Samad' itu, tolong bagi cadangan, peringatan atau teguran ya."

Memang saya sudah beberapa kali bertemu Lee Kee Hiong sebelum itu dan apabila dia menyatakan rancangannya hendak membawa A Samad Said tinggal di KKB selama 3 hari itu saya tak terkejut. Saya rasa sudah kenal dia dan dia bukannya seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) biasa seperti yang biasa kita kenal.

Jemputan saya (melalui WhatsApp) meminta dia hadir membaca puisi dalam program bulanan Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) pada 18 September lalu diterimanya dengan mudah walaupun dia mengakui tak pernah lagi membaca selepas tamat sekolah.

Sungguhpun begitu, mesejnya pada pagi Rabu itu sedikit memeranjatkan. Seorang yang berhormat wanita Cina daripada parti DAP, merendah diri begitu sekali dengan saya. Ini suatu hal yang belum pernah saya alami selama berkomunikasi dengan orang politik dalam menganjurkan aktiviti seni budaya.

Ada lagi beberapa tawarannya untuk menyediakan kemudahan tertentu yang saya fikir tidak perlulah saya ceritakan di sini. Menunjukkan keprihatinannya dan penghormatan yang diberikannya kepada kita.

Siapa kata orang politik sangat sibuk hingga tidak ada masa untuk diluangkan sedikit kepada hal seni budaya?

Sayalah sebenarnya yang selalu berkata demikian. Apakah saya salah? Tidak. Sejak dulu sampai sekarang, masih begitulah. Tidak ada perubahan. Tidak ada kemajuan dalam seni budaya di negara kita.

Mereka sentiasa sibuk hingga tiada masa walau sedikitpun untuk seni budaya. Dan Lee Kee Hiong terkecuali daripada yang lain itu.

Sepanjang program 3 hari itu, dia sentiasa ada di situ bersama dengan kita. Bukan sekadar mengarah orang supaya buat itu dan ini tetapi dia sendiri membuat kerja. Hari pertama bermula jam 5 petang menyambut ketibaan Sasterawan Negara A. Samad Said tetapi kerja Lee Kee Hiong dilakukannya lama sebelum itu memanggil ketua komuniti supaya hadir di situ dan mengundang pegawai daerah untuk mengetuai upacara sambutan tersebut.

Acara kedua ialah malamnya, jam 9  "Bicara Falsafah dan Pemikiran A. Samad Said". Dewan kecil galeri sejarah yang boleh mengisi 60 orang itu penuh sesak sampai ke luar. Tentulah Lee Kee Hiong yang menjemput orang Cina hadir juga dalam majlis yang selalunya dihadiri oleh orang Melayu saja itu.

 Pemimpin nombor satu DAP juga hadir untuk mendengar bicara sastera malam itu, Lim Kit Siang hadir mendengar saja, tak berucap. Tentulah Lee Kee Hiong yang menjemputnya. Juga seorang lagi pemimpin DAP bekas exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu yang hadir sejak petang dan turut menyambut ketibaan A. Samad Said.

Hari ke-2 bermula dengan sarapan pagi, dan kemudian menyaksikan pameran lukisan di galeri seni dan sastera, yang bangunannya terletak di belakang bangunan galeri sejarah. Kemudian melawat sebuah lorong di tengah pekan KKB yang dinding bangunan di kiri kanannya  dilukis dengan pelbagai pemandangan dipanggil "Denai Masa".

Lee Kee Hiong juga menganjurkan melukis di dinding bangunan itu, beberapa bulan lalu. Pelukisnya dikalangan pelukis tempatan KKB. Melawatnya bersama Samad Said pagi Jumaat itu dia kelihatan begitu riang sekali.

Selepas itu kami pergi melihat Masjid Kuala Kubu Lama, di Ampang Pecah dan dari sana kami ke Pertak, perkampungan Orang Asli, berjumpa dengan seniman Antares Maitreya (dulu Kit Leee), yang sudah lama bermastautin di situ berkahwin dengan wanita Orang Asli dan kini sudahpun mempunyai cucu.

Kit Leee pernah berteater dengan saya, dan  ketika saya membuat persembahan puisi di Auditorium Dewan Bandaraya pada 1980-an, dia datang dari KKB membuat persembahan bersama saya.

Petang Jumaat itu kami berbicara mengenai tekad budaya. Kami menjadi panel forum tersebut, yang dimudah cara oleh Nadhirah Che Shahidan. Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor Mohd Zain Ab Hamid merasmikan forum yang dibuat di Dewan Serba Guna KKB itu.

Forum ini sangat menarik bagi saya. Huraian oleh A Samad Said mengenai "hard weapon" dan "soft weapon" atau "senjata keras" dan "senjata lunak" itu memang menepati maksud tekad budaya.

Diceritakannya suatu waktu dulu Amerika menghantar ramai guru mengajar bahasa Inggeris dan sains di negara kita, dikenali sebagai Peace Corps. Itu adalah sejenis "soft weapon" Amerika mempengaruhi rakyat negara ini.

Senjata lunak (soft weapon) itulah, kata A. Samad Said, kini diperjuangkan oleh Paksi sebagai tekad budaya. Memang, senjata lunak itu adalah sebahagian daripada tekadb yang diperjuangkan Paksi.

Saya selalu berhujah mengatakan masalah besar yang kita hadapi di negara ini ialah kita berpolitik berlebih-lebih. Tekad budaya ingin mengurangkan yang berlebih itu dengan memperbanyakkan aktiviti bukan politik, khasnya aktiviti seni budaya. Dalam forum ini seorang ahli politik sendiri (Lee Kee Hiong) membuat komitmen tekad budaya itu.

Lee mengakui dan malah meminta komitmen daripada aktivis seni budaya agar mengadakan aktiviti seperti "Seni dan Masyarakat" itu setiap 2 bulan sekali, di KKB. Komitmen ini diulanginya beberapa kali sepanjang program 3 hari itu.

Dan satu lagi hal menarik pada petang itu ialah kehadiran yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, bukan sahaja merasmikan forum itu tetapi duduk mendengarnya hingga ke akhir. Saya menganggap ini menarik kerana beliau adalah antara sasaran utama bagi menjayakan tekad budaya.

 Sekiranya mereka memahami keperluan dan peranan seni budaya dalam pembangunan masyarakat, merekalah sebenarnya yang boleh menentukan kejayaan usaha untuk mengurangkan politik berlebih dalam masyarakat kita.

Acara seterusnya dalam program itu ialah Malam Ekspresi Seni yang diadakan di dataran KKB. Ia dipenuhi dengan bacaan puisi, nyanyian dan teater pendek "Syed Mashur" yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar teater Universiti Pendidikan Tanjung Malim di bawah arahan Lena Farida Chin.

Program "Seni dan Masyarakat: 3 Hari Bersama A. Samad Said di KKB" diakhiri dengan acara "Santai Seniman bersama Pak Samad", di The Wood, Ulu Yam. Ini acara khas yang dihadiri seniman sahaja, bersama dengan A Samad Said dan Lee Kee Hiong bercakap hal seni dan sastera dalam suasana kehijauan alam sekeliling yang lebih memesrakan.

Demikianlah tekad budaya seorang ahli politik berjawatan Adun. Semoga ramai lagi Adun yang akan mengikut jejak langkah Lee Kee Hiong. – 21 Oktober, 2015.

 * Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments