Ada satu perancangan membuat teater menggunakan pokok besar yang dahan-dahannya pada ketinggian bangunan lebih dua tingkat sebagai ruang pentas, yang akan mengangkat dua puisi Usman Awang iaitu “Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar” dan “Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya”.
Bersama beberapa kawan-kawan yang akan terlibat dengan produksi ini kami meninjau dan melihat pokok tersebut di belakang surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak dan Kuala Lumpur.
Memang ia pokok yang besar, tinggi dan rendang. Bukan pohon beringin seperti yang dipuisikan oleh Usman Awang. Setakat ini kami belum tahu apa nama pokok itu. (Malulah!)
Tetapi tidak mengapa. Yang penting kami bersetuju pokok itu memang sesuai dijadikan ‘pentas’ untuk persembahan teater.
Zali akan bertanggungjawab menyediakan peralatan supaya pelakon dapat bergerak dan membuat aksi-aksi yang sesuai dengan keperluan teater ini. Tidak ada pentas yang akan dibina di atas pokok itu. Hanya dahan-dahan pokok itu seperti yang sedia ada, yang menjadi ‘pentas’nya.
Peralatan yang dimaksudkan ialah peralatan untuk bergerak, khasnya tali-tali dan peralatan keselamatan. Untuk itu, Zali sudah menghubungi beberapa syarikat yang menyediakan peralatan keselamatan, dan (sekiranya produksi ini jadi) pemasangan peralatan akan dilakukan tidak lama lagi, untuk sesi latihan, menjelang tarikh persembahan yang dijadualkan pada 25 Oktober.
Saya katakan “sekiranya produksi ini jadi” bukannya apa, kerana masalah kewangan.
Persembahan dicadangkan sempena program “Himpunan Budayawan 1Muharam”. Terdapat sedikit masalah pada peruntukan program itu kerana sebab-sebab tertentu. Namun sementara masalah itu cuba diatasi pihak pengurusan program, kami di bahagian kreatif meneruskan juga kerja seperti yang dirancang.
Idea ‘teater atas pokok’ itu suatu idea yang menyebabkan kami agak teruja untuk merealisasikannya. Meneroka sesuatu yang belum pernah dibuat. Kebetulan sesuai dan serasi pula dengan dua puisi Usman Awang yang terkenal itu.
Masyarakat burung menulis surat kepada Datuk Bandar. Kata puisi itu, “Kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung / pada suatu pagi yang manis dan ranum / di atas bangunan parlimen yang kosong.”
Masyarakat burung bermesyuarat di atas bangunan parlimen yang kosong. Tentulah bukan bangunan parlimen yang sama seperti yang digunakan masyarakat manusia, kan!
Maka saya memahaminya bahawa pokok besar yang tinggi dengan dahan-dahan yang rendang itu – itulah ‘bangunan parlimen’nya, tempat masyarakat burung itu bersidang bagi merumuskan isu-isu yang hendak mereka masukkan ke dalam surat yang akan dihantar kepada Datuk Bandar.
“Tapi manusia kota ini telah membunuh kehijauan alam / semata-mata untuk mengejar kehijauan ringgit / sejak lumpur kota ini menjadi batu-batu / kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu / Mendiang burung belatuk menjadi korban punggur rebah / burung merbuk telah ditipu dengan nama Padang Merbuk / sedang mereka dipenjarakan di tempat yang tuan namakan sangkar.”
Dan surat (puisi yang ditulis 1979) itu diakhiri dengan mesej yang sangat kuat dan lantang: “Tuan Datuk Bandar / Surat ini merayu kebijaksanaan tuan / Peliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan / tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunan / Itulah rumah kami, kediaman kami turun-temurun / malah demi kesejahteraan manusia / kesihatannya, kebahagiaannya, kedamaiannya / alam semula jadi seribu keindahan mekar / di bawah matari bersinar.”
Suara lantang dari masyarakat burung itu tidak jauh bezanya dengan jeritan batin masyarakat manusia di kampung-kampung warisan seperti Kampung Banda Dalam di Jalan Gombak itu, yang sudah sekian lama disuarakan oleh penyairnya Siti Zainon Ismail.
Maka itulah yang akan kami angkat ke dalam persembahan ‘teater atas pokok’ dalam perancangan ini.
Nizam Yamin sekarang sedang mencari pelakon-pelakon yang sesuai, berani dan sanggup melakonkan aksi lasak yang agak berisiko itu. Tambah berisiko lagi kerana ia dibuat di waktu malam, dengan suluhan dan silauan cahaya lampu berkuasa tinggi, dan mungkin bayang-bayang akan mengganggu dan sebagainya.
Sekitar 10 orang lelaki dan perempuan diperlukan untuk beraksi di atas pokok yang besar dan tinggi itu. Tidaklah aksinya sebagai burung-burung sahaja seperti yang diisyaratkan oleh puisi Usman Awang. Yang pentingnya dari teater ini bukan sekadar suara dari masyarakat burung, tetapi suara dari masyarakat kampung warisan.
Pokok besar yang teguh, kuat dan tinggi merimbun itu sebuah lambang. Seperti diucapkan Usman Awang: “Peliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan; tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunan;” kerana “Itulah rumah kami, kediaman kami turun-temurun.”
Dan bukankah itulah juga kampung-kampung warisan itu? “... rumah kami, kediaman kami turun-temurun”. Sekarang sedang diancam akan dimusnahkan melalui Plan KL 2020.
Maka inilah suara jeritan masyarakat kampung yang mewarisi tanah pusaka turun-temurun itu. Apa salahnya maka ia mesti dimusnahkan? Apakah pembangunan itu mesti memusnahkan?
“Balada terbunuhnya beringin tua di pinggir sebuah bandaraya” – juga suatu lambang. Usman Awang merakamkan peristiwa tragis dari kekejaman tamadun manusia yang bernama ‘pembangunan’ itu pada tahun 1979 lagi. Pohon tua itu – gambarannya hampir serupa dengan pokok besar di belakang surau Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam:
“Ratusan tahun usianya berdiri / menadah matari memayungi bumi / burung-burung berterbangan menyanyi / di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia / kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya / anak-anak bermain di keteduhan perdunya.”
Itulah sebuah masyarakat yang menjalani kehidupannya dengan penuh rukun damai dan bahagia. Tentulah yang dimaksudkan oleh Usman Awang itu ialah masyarakat manusia – di sebuah kampung di pinggir sebuah bandaraya. Kampung yang sudahpun menjadi mangsa kepada kekejaman bernama “pembangunan” itu.
“Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang / gergasi teknologi menyerangnya / dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi / sehingga terdengarlah jeritan ngeri / suara Beringin rebah ke bumi.”
Dan pastinya ‘teater atas pokok’ yang dirancang ini tidak akan mendramakan tragedi kemanusiaan itu dengan menumbangkan pokok besar yang akan dijadikan pentas persembahan tersebut. Sama sekali tidak. Dan tentulah ada cara lain bagaimana mesej dari puisi tersebut akan dipersembahkan.
Dan ‘teater atas pokok’ ini bukanlah sekadar menteaterkan dua buah puisi Usman Awang itu sahaja. Ada dialog lain lagi, dan ada aksi lain lagi yang akan mengisi teater tersebut.
Bagaimanapun semuanya bergantung kepada faktor pembiayaan, langkah keselamatan, dan pelakon-pelakon yang akan menjayakannya.
Perancangan, imaginasi dan kreativiti boleh saja meneroka pelbagai kemungkinan. Namun realiti yang berupa halangan dan keterbatasan akan turut menentukan hasil akhir sesebuah karya. – 13 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments