Ada semacam tarikan tertentu kepada saya apabila membaca kisah Imam Ghazali (1058-1111) meninggalkan kerjayanya di universiti dan meminggirkan diri daripada masyarakat, atau ber‘uzlah. Dikatakan itu adalah usahanya untuk mengelakkan diri daripada bermegah atau menikmati rasa kepuasan dengan kejayaan hidup di dunia.
Dia meminggirkan diri daripada masyarakat untuk membina keikhlasan diri dalamannya dalam menjalani hidup yang bermatlamat memperhambakan diri hanya kepada Allah dan mencari hanya keredhaanNya. Dia berkelana ke tempat yang orang tidak mengenali siapa dirinya dan hidup menumpang di sudut masjid, atau ada yang mengatakan di menara masjid.
Namun di samping menumpukan diri beribadat kepada Allah, dia tetap juga meneruskan minat dan bakatnya dalam penulisan. Maka ketika dalam ‘uzlah itulah dia menghasilkan karyanya yang terbesar, dan sangat masyhur dan terus dibaca hingga ke hari ini, lebih 900 tahun setelah meninggalnya, iaitu Ihya’ Ulumuddin.
Saya jadi tertarik kepada peristiwa ‘uzlahnya Imam Ghazali itu barangkali kerana ada satu ingatan yang kuat di dalam diri kepada satu peristiwa ‘uzlah yang lain, iaitu ‘uzlahnya Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’, Mekah, menjelang umurnya 40 tahun. Pada suatu malam ketika ber‘uzlah itulah datang malaikat Jibrail kepadanya, membawa wahyu pertama daripada Allah – Iqra’ bismi rabbikal lazi khalaq.
Kemudian, kumpulan wahyu-wahyu yang berlangsung diterima oleh Nabi Muhammad dalam tempoh 23 tahun itu dikenali dengan nama Al-Quran – kitab suci yang menjadi pedoman orang-orang Islam sepanjang zaman, dan mukjizat terbesar yang terus menjadi bukti kerasulan Muhammad SAW.
Begitulah maka baru-baru ini entah mengapa, di waktu lewat malam ketika melihat-lihat barisan buku di sebelah meja kerja di rumah, saya menarik sebuah buku yang sudah lama di situ tetapi belum habis dibaca – ‘Perjalanan Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi’ oleh Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara), terbitan 2012, edisi baru kepada terbitan asalnya 2006.
Buku ini dihadiahkan oleh Shahnon (lahir 1933) kepada saya ketika kami rombongan Seniman Paksi Rakyat berkunjung ke rumahnya di Pulau Pinang, Januari 2013. Dan sejak itu saya pun tidak pernah berjumpa lagi dengannya dan tidak tahu apa perkembangan dirinya. Semoga dia sihat dan terus berkarya.
Melihat buku itu saya terus teringat kepada peristiwa ‘uzlah dalam perjalanan hidup Shahnon. Ya, setahu saya Shahnonlah satu-satunya penulis kita yang pernah mengalami ‘uzlah dalam hidupnya. Sekitar tahun 2000 begitu kita mendengar cerita atau membaca pengakuan oleh Shahnon sendiri yang dia telah memilih untuk menjalani hidup ber‘uzlah, kerana sebab-sebab tertentu.
Agak panjang juga Shahnon menceritakan hal ‘uzlahnya dalam buku ini. Ada satu bab khas mengenainya sepanjang 50 halaman (ms 127-177). Kata Shahnon: “Ber‘uzlah yang ku maksudkan ialah ‘bersendirian’ atau membawa diri keseorangan, mengelak diri daripada berkomunikasi dengan sebagian besar manusia kecuali manusia-manusia yang ku anggap perlu berkomunikasi, hanya sebagai keperluan, untuk ku mencapai matlamat utama perjalanan hidupku iaitu mati dalam keadaan husnul khatimah dan seterusnya berbahagia dan terus dikasihi Allah di ‘sana’ berpanjang-panjangan kekal abadi.”
Kenapa dia mahu mengelak diri daripada berkomunikasi dengan sebagian manusia? Kata Shahnon: “Maka hasil dari renunganku terhadap sebagian besar manusia yang korap, yang zalim dan yang berkehaiwanan di mana-mana sekarang inilah maka aku dengan senang hatinya menggolongkan sebagian besar manusia jenis itu adalah antara musuh-musuhku yang utama.”
Mengikut Shahnon lagi, dalam hidup kita di dunia “yang kontot ini” ada empat jenis musuh yang perlu kita awasi. Mereka ialah syaitan (atau iblis), nafsu, dunia dan manusia.
Berbeza dengan cerita ‘uzlahnya Imam Ghazali, untuk membina keikhlasan diri dalam perhambaan kepada Allah (dan tentunya saya tak akan membandingkan ‘uzlahnya Nabi Muhammad SAW dengan mana-mana cerita ‘uzlah oleh manusia lain), Shahnon ber‘uzlah kerana menganggap sebagian besar manusia sebagai musuhnya, yang perlu dihindari. Namun matlamat akhirnya tetap sama iaitu untuk mencapai kasih atau redha Allah yang berkekalan.
Kata Shahnon, “Di mana-mana pun sekarang ini sebagian besar manusia bukan manusia lagi tapi lebih buruk dari binatang-binatang.”
Dalam ber‘uzlah itu Shahnon menumpukan perhatiannya kepada makhluk-makhluk Allah di sekelilingnya, selain manusia. Dia berbicara atau lebih tepatnya bermonolog dengan makhluk -makhluk seperti pokok, lautan, sungai, bukit bukau, hutan belantara, gunung ganang, bayu dan ribut taufan, embun dan hujan, langit dan mentari, air, tasik, bumi, malam dan siang.
Katanya, “Sebenarnya sudah lama aku berdialog dengan mereka ini. Paling mutakhir aku berbicara dengan bukit bukau, gunung ganang dan rimba belantara melalui ciptaan sebuah cereka tapi tak pernah dibaca oleh sesiapa selain aku sendiri saja. Ia ditolak mentah-mentah oleh penerbit tanpa sebarang sebab.”
Dalam buku memoirnya ‘Setitis Embun Semarak Api’ (2006), pun Shahnon menyatakan hal yang sama: “Paling mutakhir, saya berbicara dengan bukit-bukau, gunung-ganang dan hutan belantara dengan mencipta sebuah karya, tapi tak pernah disiarkan. Ia ditolak mentah-mentah tanpa sebab.”
Mengenai karyanya itu dia menjelaskan: “...saya rasakan mereka lebih mulia daripada manusia itu sendiri... Akhirnya mereka menubuhkan satu jemaah. Hampir semua makhluk lain selain manusia, syaitan atau iblis, menganggotai jemaah itu, khusus untuk mencetuskan satu revolusi menentang manusia habis-habisan kerana manusia sudah tidak dapat lagi mempertahankan kemanusiaannya...” (ms 99)
Karya yang dicipta sebagai hasil ‘uzlahnya, yang dirujuk dalam dua buku berkenaan sebagai “bukit-bukau, gunung-ganang dan hutan belantara”, yang ditolak oleh penerbit itu, akhirnya diterbitkan pada 2009, oleh penerbit Alaf 21, dengan judul ‘Revolusi yang Ditangguhkan’ (240 ms).
Melalui karya ini Shahnon benar-benar memperlihatkan sisi pandangan negatifnya terhadap manusia. Tulisnya antara lain: “Mereka cepat terjebak dalam zina dan rogol yang sebahagian besarnya terlibat manusia di bawah umur dan juga yang melibatkan kaum keluarga sendiri yang terdekat. Mereka melakukan seks di luar tabii yang jauh lebih binatang daripada binatang.
“Mereka berkorupsi dalam setiap komunikasi, berpolitik yang tanpa segan-silu, berkonspirasi untuk menjatuhkan lawan dan juga kawan, berzina dan kemudian membuang bayi ke dalam tong sampah, menipu, bersonglap dan banyak yang membunuh sesama sendiri...” (ms 108).
Dari segi pandangan negatif terhadap manusia dan juga stail penceritaan terutama naratif monolognya yang banyak berulang-ulang itu kita mungkin boleh melihatnya sebagai perkembangan lanjut daripada novel SHIT (1999). Namun satu hal yang agak menarik ialah penggunaan ayat-ayat al-Quran yang disebatikan menjadi ayat-ayat biasa yang membina penceritaan novel ini. Lihat saja satu contoh ini:
“Memang manusia itu suka membantah yang benar (16:4). Sombong dan membanggakan diri. Allah tidak suka pada manusia yang sombong dan membanggakan diri (4:36). Manusia amat sedikit bersyukur (7:10). Sesungguhnya manusia itu sangat tidak berterima kasih kepada Tuhannya (100:6). Manusia itu sangat bakhil kerana cinta kepada hartanya (100:8). Manusia itu dicipta dengan sifat-sifat yang daif (4:28). Manusia itu adalah pelampau dan merasai diri serba sempurna (96:6-7).” (ms 107). – 26 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments